Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Scoot mulakan penerbangan langsung dari S'pura ke Miri pada 23 Feb

Anggaran Waktu Membaca:

KUCHING: Syarikat penerbangan tambang murah Singapura, Scoot Tigerair Pte Ltd (Scoot) akan memulakan operasi dua kali seminggu bagi laluan terus dari Singapura ke Miri, Sarawak pada 23 Feb depan.

Menteri Pengangkutan Negeri Sarawak Lee Kim Shin berkata pihaknya menerima surat rasmi yang mengesahkan perkara itu daripada Scoot pada Khamis lalu.

Beliau berkata kaunter Scoot di lapangan terbang Miri sudah siap dan bersedia menguruskan pelawat serta penumpang bagi laluan itu.

“Penerbangan bagi laluan itu kini dibuka untuk tempahan kepada orang ramai dan pengembara boleh terus ke laman sesawang syarikat berkenaan di https://www.flyscoot.com.

“Hari operasi ialah pada setiap Rabu dan Sabtu, dengan waktu ketibaan pada 2.20 petang di Miri dan berlepas semula ke Singapura pada 3.00 petang pada hari yang sama,” menurutnya dalam kenyataan hari ini (5 Feb).

Menurut Encik Lee, penerbangan sulung pesawat Scoot bagi laluan Singapura-Miri sepatutnya bermula pada 19 Jan lalu, namun disebabkan oleh beberapa perkara yang tidak dapat dielakkan, ia ditangguh sehingga 23 Feb depan.

Beliau berkata ketika ini, Scoot mengendali penerbangan dari Singapura ke Kuching sebanyak tiga kali seminggu dan sudah tiba masanya untuk syarikat penerbangan itu beroperasi dari Singapura ke Miri serta sebaliknya kerana Miri merupakan pintu masuk ke bahagian utara Sarawak.

“Ini juga merupakan manifestasi keyakinan syarikat penerbangan itu serta perbadanan besar yang lain terhadap Sarawak terutama dari segi kemudahan yang boleh ditawarkan oleh Miri kepada pemain industri besar sebagai destinasi pelaburan pilihan khususnya bagi industri minyak dan gas di Malaysia,” katanya.

Sumber : Bernama/AW/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan