Scoot akan lancar penerbangan ke Okinawa, Labuan Bajo berikutan penutupan Jetstar Asia
Scoot, Jetstar dan Singapore Airlines pesawat di Lapangan Terbang Changi pada 18 Jan 2021. (Gambar fail: Reuters/Edgar Su)
This audio is generated by an AI tool.
Menjawab pertanyaan Mediacorp, jurucakap SIA berkata pada Jumaat (13 Jun) bahawa rancangan peningkatan itu, yang tertakluk kepada kelulusan pengawalseliaan, akan dilaksanakan mulai Ogos.
Penutupan Jetstar Asia akan menyebabkan pembatalan penerbangan di 16 laluan, dengan empat laluan dari Singapura - Broome (Australia), Labuan Bajo (Indonesia), Okinawa (Jepun) dan Wuxi (China) - terjejas secara langsung kerana ia dikendalikan secara eksklusif oleh syarikat penerbangan tersebut.
Scoot sedang bersiap sedia untuk mengambil alih laluan tersebut, dengan maksimum empat penerbangan mingguan ke Okinawa dan dua kali seminggu ke Labuan Bajo yang dirancangkan bagi musim sejuk utara, dari 26 Oktober hingga 28 Mac. Syarikat penerbangan itu juga merancang untuk melancarkan penerbangan harian ke Medan, Indonesia.
Jadual penerbangan akan dikongsi pada masa yang sesuai dan tertakluk kepada kelulusan pengawalseliaan dan penjajaran dengan rakan kongsi syarikat penerbangan itu, kata jurucakap tersebut.
"Kumpulan SIA akan terus memantau permintaan untuk perjalanan udara dan menyesuaikan rangkaian dan kapasiti kami mengikut keperluan."
Bagi destinasi lain, Scoot mahu meningkatkan kekerapannya kepada 28 penerbangan dalam seminggu ke Pulau Pinang, 39 penerbangan dalam seminggu ke Bangkok dan tujuh penerbangan dalam seminggu ke Clark, Filipina mulai Ogos.
SIA merancang untuk meningkatkan penerbangannya ke Manila kepada 35 kali dalam seminggu, manakala separuh daripada 14 penerbangan Scoot ke ibu kota Filipina setiap minggu akan menggunakan pesawat yang lebih besar.
Scoot akan meningkatkan jumlah penerbangan ke Bangkok kepada 42 setiap minggu semasa musim sejuk utara, manakala penerbangan ke Phuket akan meningkat kepada 21 kali dalam seminggu. Selain itu, SIA bercadang untuk mengendalikan 42 penerbangan ke Phuket setiap minggu.
Penerbangan ke Jakarta juga akan melihat peningkatan dari segi kekerapannya, dengan 70 penerbangan SIA dalam seminggu dan 35 penerbangan Scoot untuk tempoh tersebut.
Scoot akan meningkatkan penerbangannya ke Bali kepada 28 kalidalam seminggu, manakala SIA akan menggunakan pesawat yang lebih besar untuk lebih banyak penerbangan ke pulau Indonesia itu.
SIA juga akan mengendalikan 10 penerbangan dalam seminggu ke Colombo, Sri Lanka, dan Scoot akan melancarkan 12 penerbangan dalam seminggu ke Surabaya, Indonesia.
Jetstar Asia, yang mula beroperasi pada Disember 2004, mengendalikan sekitar 180 penerbangan setiap minggu dari Lapangan Terbang Changi, menurut Kumpulan Lapangan Terbang Changi (CAG).
Anak syarikat kos rendah Qantas yang berpangkalan di Singapura itu akan meneruskan penerbangan untuk tujuh minggu akan datang mengikut "jadual yang dikurangkan secara progresif" sebelum ditutup sepenuhnya.
Syarikat penerbangan itu mengendalikan sekitar 2.3 juta penumpang di Lapangan Terbang Changi pada tahun 2024, yang meliputi sekitar 3 peratus daripada jumlah penumpang di lapangan terbang tersebut.
Lebih 500 kakitangan Jeststar Asia akan diberhentikan kerja akibat penutupan tersebut.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.