SCDF tungkus lumus padam kebakaran dekat tanah perkuburan Lim Chu Kang
Para anggota bomba bertungkus lumus cuba memadamkan kebakaran belukar dekat tanah perkuburan Cina Lim Chu Kang yang tercetus sejak pagi tadi (4 Mac). Usaha memadamkan api dijangka berterusan malam ini.
Kebakaran melibatkan timbunan sisa kayu. (Gambar: SCDF)
SINGAPURA: Para anggota bomba bertungkus lumus cuba memadamkan kebakaran belukar dekat tanah perkuburan Cina Lim Chu Kang yang tercetus sejak pagi tadi (4 Mac). Usaha memadamkan api dijangka berterusan malam ini.
Kebakaran menjejas kawasan seluas saiz satu padang bola sepak, menurut Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF), sambil menambah bahawa ia melibatkan timbunan sisa balak.
(Gambar-gambar: SCDF)
SCDF memberi respons kepada kebakaran itu pada sekitar 7.05 pagi.
Menurutnya, oleh kerana pili bomba terdekat terletak sekitar dua kilometer dari tempat kejadian, 25 anggota bomba daripada Unit Penyelamat Khas perlu menyusun hos secara manual sepanjang jarak tersebut bagi memastikan bekalan air yang berterusan.
Pam-pam mudah alih juga digunakan di beberapa tempat bagi meningkatkan tekanan air.
"Oleh kerana api membakar dengan perlahan dan mendalam, ditambah dengan belukar yang tebal dan cuaca berangin, operasi memadamkan kebakaran masih diteruskan," menurut SCDF menerusi catatan Facebooknya pada 8.23 malam.
"Ia dijangka berterusan sepanjang malam ini."
Kesemuanya lapan kenderaan kecemasan dan 52 anggota bomba dikerahkan, menurut SCDF.
"Sebuah kawasan rehat disediakan di tapak kejadian supaya mereka dapat bergilir-gilir berehat sepanjang operasi dijalankan," tambahnya.
Punca kebakaran masih disiasat.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.