SCDF tingkat pemeriksaan pusat komersil sempena musim perayaan
Dua pusat beli-belah dan sembilan pusat hiburan didapati melanggar peraturan keselamatan kebakaran dalam satu operasi penguatkuasaan pada Jumaat (13 Dis).
SINGAPURA: Dua pusat beli-belah dan sembilan pusat hiburan didapati melanggar peraturan keselamatan kebakaran dalam satu operasi penguatkuasaan pada Jumaat (13 Dis).
Antara pelanggaran yang dilakukan termasuk menghalang laluan kecemasan dan gagal memastikan pemadam api berfungsi dengan baik.
Semasa operasi dijalankan, Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) memeriksa jika pengesan asap rosak. Mereka juga memastikan gelung hos dan sistem pemadam api dapat mudah diakses.
Lampu kecemasan yang nyala jika bekalan elektrik terputus dan papan tanda keluar turut diperiksa.
SCDF menyatakan pemeriksaan keselamatan kebakaran sedemikian akan dipergiat di premis-premis komersil sempena musim cuti ini.
Pihaknya menggesa orang ramai agar melaporkan sebarang risiko kebakaran.
Pesalah kali pertama boleh didenda sehingga S$5,000 sementara pesalah berulang pula akan didakwa di mahkamah dan jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda sehingga S$10,000, dipenjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali.
Bagi kesalahan menjalankan kerja keselamatan kebakaran tanpa kelulusan, mereka boleh didenda sehingga S$200,000, dipenjara sehingga 24 bulan atau kedua-duanya sekali.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.