Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

SCDF tidak lagi bawa pesakit bukan kecemasan ke hospital

Mulai 1 Apr, Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) tidak lagi akan membawa para pesakit yang tidak memerlukan khidmat kecemasan ke hospital.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 30 Mar 2019 12:51AM Dikemas Kini : 30 Mar 2019 12:56AM

SINGAPURA: Mulai 1 Apr, Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) tidak lagi akan membawa para pesakit yang tidak memerlukan khidmat kecemasan ke hospital.

Sebaliknya, para pesakit seumpama itu akan dinasihati supaya mendapatkan rawatan di klinik-klinik berdekatan atau ke hospital sendiri.

Langkah itu adalah sebahagian daripada usaha SCDF untuk memberikan respons lebih pantas terhadap kes-kes yang mengancam nyawa. Ia juga merupakan sebahagian daripada fasa kedua rangka kerja respons Khidmat Perubatan Kecemasan (EMS).

Tahun lalu, SCDF menangani lebih 187,000 kes kecemasan - iaitu sekitar 500 panggilan setiap hari.

Dalam setiap kes kecemasan, seorang paramedik akan menilai keadaan berdasarkan pengetahuan perubatannya dan protokol yang ditetapkan, sebelum menentukan jika kes tersebut mengancam nyawa.

RANGKA KERJA RESPONS BERTAHAP

Rangka kerja respons barisan hadapan bertahap SCDF pertama kali dibentangkan pada 2017, dengan fasa pertamanya menumpukan kepada nasihat perubatan menerusi telefon dan melengkapi para anggota bomba dengan kemahiran untuk memberikan respons dalam waktu-waktu kecemasan.

Fasa kedua rangka kerja itu menetapkan prosedur bagi kes-kes yang mengancam nyawa, kes kurang serius dan kes-kes kecemasan kecil.

Untuk mencapai matlamatnya, SCDF akan memberi bantuan pernafasan kecemasan (CPR) berprestasi tinggi kepada para individu yang mengalami serangan jantung mulai 1 Apr. Keupayaan CPR berprestasi tinggi ini akan dilaksanakan secara bertahap-tahap sepanjang tiga tahun akan datang.

Gambar hiasan. 

Sekitar 2,300 kes serangan jantung dilaporkan di luar hospital setiap tahun.

Buat masa ini, respons standard SCDF bagi kes-kes serangan jantung adalah untuk mengerahkan seorang anggota bomba yang dilatih dalam bidang perubatan kecemasan. Anggota berkenaan akan ke tempat kejadian dengan motosikal bomba bersama tiga pegawai lain yang menaiki ambulans. Dengan menaiki motosikal, ahlil bomba itu boleh tiba di tempat kejadian lebih dahulu untuk memberi bantuan perubatan segera.

Pada masa akan datang, SCDF akan mengerahkan tambahan empat anggota yang menaiki Red Rhino, sebuah kereta bomba atau kenderaan perubatan bomba.

Pasukan dianggotai lapan orang akan meningkatkan peluang seseorang bertahan hidup, menurut SCDF.

Pasukan itu juga akan bekerjasama bagi memastikan bantuan pernafasan kecemasan dilakukan dengan sewajarnya, menurut SCDF lagi.  

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan