Skip to main content

Singapura

SCDF, SPF siasat bungkusan mencurigakan di Masjid Al-Istiqamah; jemaah diarah tinggalkan bangunan masjid

Anggaran Waktu Membaca:
SCDF, SPF siasat bungkusan mencurigakan di Masjid Al-Istiqamah; jemaah diarah tinggalkan bangunan masjid

Para jemaah dan kakitangan Masjid Al-Istiqamah diarah supaya meninggalkan masjid yang terletak di Serangoon North Avenue 2 pada 24 September 2025, selepas sebuah bungkusan mencurigakan ditemui di pekarangan masjid tersebut. (Gambar: CNA/Abigail Ng)

Diterbitkan : 24 Sep 2025 09:43PM Dikemas Kini : 25 Sep 2025 11:33AM
  • Para jemaah dan kakitangan Masjid Al-Istiqamah diarah supaya meninggalkan masjid yang terletak di Serangoon North Avenue 2 itu petang tadi (24 Sep).
  • Pasukan Polis Singapura (SPF) menyatakan ia dimaklumkan pada kira-kira pukul 5.20 petang tentang bungkusan mencurigakan yang dihantar ke masjid itu.
  • "Orang awam dinasihatkan untuk elak kawasan di sekitar 2 Serangoon North Avenue 2. Siasatan masih dijalankan," menurut kenyataan SPF.
  • Menurut satu kenyataan MUIS kepada BERITA Mediacorp, ia menyatakan bahawa MUIS sedia maklum bahawa Masjid Al-Istiqamah menerima bungkusan yang mencurigakan.
Dijana oleh AI

SINGAPURA: Para jemaah dan kakitangan Masjid Al-Istiqamah diarah supaya meninggalkan masjid yang terletak di Serangoon North Avenue 2 itu petang tadi (24 Sep).

Menurut pihak berkuasa, ini selepas bungkusan mencurigakan ditemui di pekarangan masjid tersebut.

Pasukan Polis Singapura (SPF) menyatakan ia dimaklumkan pada kira-kira pukul 5.20 petang tentang bungkusan mencurigakan yang dihantar ke masjid itu.

Apabila pihak polis tiba di masjid berkenaan, bungkusan itu ditemui di pekarangan masjid.

Para jemaah dan kakitangan diarah oleh para pegawai SPF dan Pasukan Pertahanan Awam Singapura(SCDF) untuk keluar daripada bangunan masjid itu sebagai langkah berjaga-jaga.

"Orang awam dinasihatkan untuk elak kawasan di sekitar 2 Serangoon North Avenue 2. Siasatan masih dijalankan," menurut kenyataan SPF.

SCDF menyatakan para pegawai pakar bahan berbahaya atau HazMat kini di lokasi dan sedang menyiasat kejadian dan bungkusan itu.

Menurut SCDF juga, seorang individu yang mengalami sesak nafas telah dibawa ke Hospital Besar Sengkang. 

MUIS BEKERJASAMA DENGAN PIHAK BERKUASA

Apabila dihubungi BERITA Mediacorp, pihak MUIS tidak dapat memberi sebarang maklumat lanjut kerana kes itu masih lagi disiasat oleh pihak polis.

Menurut satu kenyataan MUIS kepada BERITA Mediacorp, ia menyatakan bahawa MUIS sedia maklum bahawa Masjid Al-Istiqamah menerima bungkusan yang mencurigakan.

Ia juga menyatakan bahawa MUIS bekerja rapat dengan pihak berkuasa bagi menyiasat kes ini.

Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Dr Faishal Ibrahim tiba di masjid sekitar pukul 10.30 malam.

Beliau memberitahu media bahawa beliau dimaklumkan tentang kejadian itu pada lewatpetang Rabu dan berkata bahawa "kejadian seperti ini tidak boleh diterima".

"Kami sedang menyiasat perkara ini, dan kami memandang serius terhadapnya," kata Dr Faishal.

"Polis sedang memeriksa lanjut semua petunjuk yang kami ada, dan kami akan melakukan segalanya bagi memastikan keselamatan masyarakat kita," tambahnya.
 

Related article image
Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Dr Muhammad Faishal Ibrahim bercakap kepada wartawan di Masjid Al-Istiqamah pada 24 September 2025. (Gambar: CNA/Jeremy Long)
Beliau juga berterima kasih kepada kakitangan masjid atas kewaspadaan dan kerjasama mereka dengan pihak berkuasa dan berkata bahawa sokongan mereka amat bernilai dalam membantu siasatan.

"Saya menggesa orang ramai untuk terus bertenang, berwaspada dan tidak menyebarkan sebarang maklumat salah sedang siasatan dijalankan," kata Dr Faishal.

Beliau menambah bahawa masjid itu tetap menjadi tempat yang selamat untuk beribadah dan ia akan beroperasi seperti biasa, dengan solat subuh dijadualkan berlangsung pada pagi Khamis.
 
Sumber : CNA/BERITA Mediacorp/IZ/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita