Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

SCDF sangkal tuduhan 'tidak cekap' tangani kes kemalangan; perjelas pemanggil beri salah maklumat

Anggaran Waktu Membaca:
SCDF sangkal tuduhan 'tidak cekap' tangani kes kemalangan; perjelas pemanggil beri salah maklumat

Gambar fail paramedik SCDF. (Gambar: Calvin Oh)

Diterbitkan : 15 May 2022 05:16PM Dikemas Kini : 15 May 2022 05:34PM

SINGAPURA: Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) menyangkal dakwaan seorang pemanggil yang membuat aduan mengenai satu kemalangan jalan raya dan kemudian memuat naik catatan ke media sosial tentang 'ketidakcekapan, kurang menunjukkan sikap kesegeraan serta kebodohan' pasukan itu dalam menangani kes tersebut.

Menyusuli satu siasatan, ia kemudian didapati bahawa pemanggil itu telahpun memberikan lokasi kemalangan yang salah.

Demikian meurut satu catatan Facebook SCDF pada Sabtu (14 Mei).

Inisiden itu dibangkitkan melalui satu catatan media sosial pada 8 Mei di kumpulan Facebook "Singapore Roads accident.com". Seorang pengguna bernama "Pam Kaur" berkongsi tentang dua perbualan telefon dengan SCDF untuk mengadukan satu kemalangan yang melibatkan sebuah kereta dan sebuah motosikal.

Pengguna Facebook itu meluahkan kekecewaan atas 'ketidakcekapan, kurang menunjukkan sikap kesegeraan dan kebodohan' seorang pegawai SCDF selepas dihubungi buat kali kedua untuk mengesahkan nombor tiang lampu yang berdekatan dengan lokasi kemalangan.

Ia didakwa bahawa pegawai SCDF yang bercakap dengan pengguna Faecbook berkenaan mempunyai "masalah pendengaran" meskipun "arahan jelas" sudah diberikan.

Catatan itu juga menyatakan pegawai SCDF tersebut menamatkan panggilan selepas berasa kurang senang dengan nada suara si pemanggil.

Menurut SCDF, satu siasatan dijalankan dengan serta-merta dan rakaman perbualan itu juga disemak.

Ia didapati bahawa pemanggil itu telahpun memberikan maklumat salah tentang lokasi kemalangan, dan pegawai SCDF yang menjawab panggilan tersebut "kekal tenang serta sopan", menurut SCDF.

HASIL SIASATAN SCDF

Pusat panggilan 995 SCDF menerima satu panggilan tentang kemalangan jalan raya pada 8 Mei, sekitar 2.37 pagi. Pemanggil itu membuat aduan bahawa kemalangan berlaku di Ekspreswe Rentas Pulau (PIE) menghala ke Changi sebelum susur keluar 8B.

Operator pusat panggilan itu mengulangi lokasi kemalangan yang dinyatakan kepada pemanggil untuk mendapatkan pengesahan. Beliau kemudian meminta butiran lanjut seperti kecederaan yang dialami pemandu serta penunggang motosikal.

Apabila ditanya tentang nombor tiang lampu berdekatan lokasi kemalangan itu, pemanggil memberitahu ia adalah "370F".

Operator itu kemudian cuba untuk mengesahkan arah jalan di PIE di mana kemalangan berlaku.

Pemanggil menjawab, "susur keluar saya menghala ke Changi, namun saya dalam perjalanan menuju ke CTE , tetapi nombor tiang lampu adalah 370F".

"Operator itu kemudian memberi jaminan bahawa ambulans sedang dalam perjalanan ke lokasi kemalangan dan mengucapkan terima kasih kepada beliau," menurut SCDF.

Ambulans bagaimanapun tidak dapat mencari lokasi kemalangan berdasarkan maklumat yang diberikan pemanggil itu. Ini menggesa anggota paramedik untuk menghubungi pemanggil berkenaan bagi mengesahkan susur keluar serta nombor tiang lampu iaitu tempat rujukan penting untuk ke lokasi kemalangan.

Panggilan kedua itu "seolah-olah mencetuskan kemarahan" pemanggil tersebut yang membuat "teguran sinis" terhadap paramedik, menurut SCDF.

SCDF kemudian mengenal pasti lokasi kemalangan tersebut sebagai berlaku di Ekspreswe Central (CTE) menghala ke Ekspreswe Seletar (SLE), sebelum susur keluar PIE, selepas ia menerima satu lagi aduan tentang kemalangan yang sama oleh seorang pemanggil lain.

Ambulans tiba di tempat kejadian dalam masa lapan minit dan membawa seorang lelaki ke Hospital Tan Tock Seng, menurut SCDF.

"Kami memuji semangat kemasyarakatan yang ditonjolkan para pemanggil yang telahpun memberhentikan kenderaan untuk menghulurkan bantuan dan menghubungi 995 sejurus menyaksikan kemalangan itu," menurut SCDF.

"Kami ingin menarik perhatian bahawa ia adalah prosedur yang ditetapkan dan kukuh bagi para operator pusat panggilan 995 untuk meminta maklumat penting daripada pemanggil, seperti mercu tanda terkenal, nama bangunan, ekspreswe, nama jalan raya dan nombor tiang lampu, terutama jika tiada alamat khusus.

"Kadangkala, kami juga perlu mendapatkan penjelasan lanjut tentang maklumat itu, lebih-lebih lagi apabila para anggota penggerak balas kami tidak dapat menjejaki lokasi tempat kejadian. Kami meminta pemahaman dan kesabaran masyarakat dalam hal ini."

Sumber : CNA/sy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan