Skip to main content

Singapura

SCDF perkenal ambulans baharu yang boleh disusun semula dengan pantas untuk membawa dua pesakit serentak

Anggaran Waktu Membaca:
SCDF perkenal ambulans baharu yang boleh disusun semula dengan pantas untuk membawa dua pesakit serentak

Kabin ambulans Gen 7E baharu Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) boleh disusun semula untuk membawa dua pesakit apabila diperlukan, seperti yang ditunjukkan semasa demonstrasi di Balai Bomba Paya Lebar pada 14 Ogos 2026. (Gambar: CNA/Ili Mansor)

Diterbitkan : 15 Aug 2026 07:53AM Dikemas Kini : 15 Aug 2026 01:00PM
  • SCDF dengan kerjasama HTX memperkenalkan ambulans Generasi 7E di Singapura, menggantikan model lama secara berperingkat.
  • Ambulans baharu ini boleh membawa dua pesakit serentak, dengan reka bentuk modular dan sistem pemuatan pengusung yang dipertingkatkan.
  • Ciri keselamatan dan kawalan jangkitan dipertingkat, termasuk sistem ampaian udara, teknologi nyahkuman, dan ruang kerja klinikal yang dioptimumkan.
  • Ambulans ini juga bersedia untuk integrasi 5G, meningkatkan keupayaan teleperubatan dan respons kecemasan masa depan.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) telah memperkenalkan ambulans generasi baharunya yang boleh disusun semula dengan pantas untuk membawa dua orang pesakit serentak apabila diperlukan.

Ambulans generasi ketujuh yang dipertingkatkan itu, yang dibangunkan menerusi kerjasama dengan Agensi Sains dan Teknologi Home Team (HTX), merupakan satu lonjakan besar dalam keupayaan penjagaan kecemasan prahospital di Singapura, menurut SCDF pada Sabtu (15 Ogos).

Ambulans baharu itu dibangunkan hasil rundingan dan maklum balas daripada petugas barisan hadapan perkhidmatan ambulans, termasuk paramedik serta juruteknik perubatan kecemasan.

Dikenali sebagai ambulans Generasi 7E, kenderaan tersebut akan menggantikan ambulans generasi keenam secara berperingkat dalam beberapa tahun akan datang.

Lima unit pertama sudah pun beroperasi dan kini menjadi sebahagian daripada 108 ambulans SCDF.

Ketua Pegawai Perubatan SCDF, Kolonel Dr David Pflug, berkata ambulans tersebut menetapkan penanda aras baharu dari segi penjagaan prahospital, keselamatan petugas ambulans dan keselamatan pesakit.

"Ia membolehkan paramedik kami menjalankan prosedur menyelamatkan nyawa sambil kekal berada di tempat duduk dengan selamat, sekali gus memastikan rawatan bermutu tinggi dapat terus diberikan sepanjang perjalanan ke hospital," katanya.
Related article image
Ambulans Gen 7E baharu Pasukan Pertahanan Awam Singapura di Balai Bomba Paya Lebar pada 14 Ogos 2026. (Gambar: CNA/Ili Mansor)
LEBIH CEPAT TIBA DI HOSPITAL

Ruang pesakit dalam ambulans baharu itu telah direka semula untuk berfungsi sebagai ruang kerja klinikal bergerak berprestasi tinggi, menurut SCDF.

“Setiap komponen, termasuk susun atur kabin hingga sistem pemuatan pengusung, telah dioptimumkan bagi menyokong penjagaan prahospital yang lebih pantas, lebih selamat dan lebih berkesan,” katanya lagi.

Reka bentuk modular ambulans itu membolehkan ruang pesakit disusun semula untuk menempatkan dua pesakit pada satu-satu masa.
Related article image
Bahagian dalam ambulans Gen 7E baharu Pasukan Pertahanan Awam Singapura dengan dua pengusung di Balai Bomba Paya Lebar pada 14 Ogos 2026. (Gambar: CNA/Ili Mansor)
Ciri tersebut menyediakan kapasiti tambahan yang amat penting ketika berlaku kejadian melibatkan ramai mangsa, sekali gus mengurangkan masa persediaan serta mempercepat penghantaran pesakit dari lokasi kejadian ke hospital.

Ambulans baharu itu turut memperkenalkan sistem pemuatan pengusung yang dipertingkatkan bagi mengurangkan beban fizikal ke atas kakitangan ambulans.

Sistem tersebut menggunakan mekanisme takal yang lebih cekap, menjadikan proses memuatkan dan mengeluarkan pengusung lebih mudah dilakukan.

Ruang kaki yang lebih luas di tempat duduk pengurusan saluran pernafasan turut memudahkan paramedik mengakses pesakit di dalam ambulans.

Selain itu, ambulans baharu itu dilengkapi tempat duduk paramedik yang menghadap ke sisi, membolehkan mereka berhubung secara langsung dengan pesakit serta memberikan rawatan sambil duduk dalam keadaan selamat.

Tempat duduk tersebut turut dilengkapi tali pinggang keselamatan yang membolehkan para paramedik bergerak dengan lebih bebas untuk mencapai pesakit tanpa perlu membuka tali pinggang keselamatan.
Related article image
Ambulans Gen 7E baharu SCDF menampilkan tempat duduk paramedik yang dilengkapi tali pinggang keselamatan yang membolehkan para paramedik bergerak dengan lebih bebas untuk mencapai pesakit tanpa perlu membuka tali pinggang keselamatan. seperti yang ditunjukkan semasa demonstrasi di Balai Bomba Paya Lebar pada 14 Ogos 2026. (Gambar: CNA/Ili Mansor)
Bagi memastikan perjalanan ke hospital lebih lancar dan stabil, ruang pesakit turut dilengkapi sistem ampaian udara.

Platform pengusung mempunyai sistem ampaian udara khusus yang mengurangkan kesan getaran jalan raya, iaitu satu ciri penting bagi melindungi pesakit yang mengalami kecederaan tulang belakang atau yang sedang menerima rawatan kecemasan berupa mampatan dada berterusan.

Kenderaan itu juga telah dinaik taraf dan kini mempunyai berat lima tan berbanding 3.5 tan sebelum ini. Ia turut dilengkapi dua roda pada setiap sisi gandar belakang bagi memberikan keseimbangan dan kestabilan yang lebih baik serta mengurangkan kesan hentakan jalan raya.
Related article image
Ambulans SCDF Gen 7E yang baharu mempunyai sistem ampaian udara khusus untuk mengurangkan kesan getaran jalan raya dalam perjalanan. (Gambar: CNA/Ili Mansor)
KAWALAN JANGKITAN

Ambulans baharu itu turut dilengkapi sistem kawalan jangkitan empat peringkat yang merangkumi teknologi nyahkuman kabus, sinar ultraungu, cahaya antibakteria dan penulenan mutu udara secara berterusan tanpa perlu menghentikan operasi ambulans.
Related article image
Ambulans Gen 7E baharu SCDF menampilkan sistem cahaya biru antibakteria di kabin pesakit. (PictureNA/Ili Mansor)
Peralatan klinikal dan zon rawatan kini ditempatkan secara strategik dalam ruang pesakit bagi membolehkan akses yang lebih pantas semasa kecemasan.

Sebagai contoh, ambulans itu dilengkapi kabinet keselamatan lipat turun yang diinspirasikan daripada reka bentuk pesawat udara bagi mengelakkan bekalan serta peralatan perubatan terjatuh ketika dalam perjalanan.
Related article image
Pegawai Waran 2 Ow Xinwen Krystal, yang sedang menjalani latihan untuk menjadi pegawai kanan paramedik. (Gambar: CNA/Ili Mansor)
SCDF juga sedang menguji prototaip tingkap yang membolehkan petugas mengenal pasti peralatan yang disimpan hanya dengan sekali pandang.

Rel penyimpanan yang dipasang pada dinding turut disediakan untuk menempatkan kit peralatan perubatan, sekali gus memastikan alat bantuan menyelamatkan nyawa sentiasa berada dalam jangkauan segera para kakitangan ambulans.

Beg-beg peralatan boleh disusun atau ditambah pada rel tersebut bagi mempercepat rawatan pesakit dan keselamatan pasukan ambulans.
Related article image
Bahagian dalam ambulans Gen 7E baharu SCDF dengan rel penyimpanan pada dinding untuk menyimpan kit peralatan perubatan, di Balai Bomba Paya Lebar pada 14 Ogos 2026. (Gambar: CNA/Ili Mansor)
PERUBAHAN PADA RUANG PEMANDU

Ruang duduk pemandu juga telah direka semula bagi meningkatkan kecekapan dan keselamatan operasi.

Reka bentuk baharu itu mengambil kira maklum balas petugas bagi memperkemas susun atur ruang kerja pemandu, dengan fungsi yang kerap digunakan diletakkan pada kedudukan yang lebih mudah dicapai, sekali gus mengurangkan gangguan ketika memandu.

SCDF turut menjalankan ujian melibatkan penggunaan perkakasan kawalan baharu, termasuk butang kawalan yang boleh digunakan oleh juruteknik perubatan kecemasan yang bertugas sebagai pemandu.

Ambulans itu juga dilengkapi pelbagai ciri keselamatan seperti sistem amaran, kamera yang boleh bergerak 360 darjah dan teknologi pengurusan lalu lintas untuk melancarkan pergerakan kenderaan kecemasan serta meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya.
Related article image
Pemandangan 360 darjah dari tempat duduk pemandu ambulans Gen 7E baharu SCDF di Balai Bomba Paya Lebar pada 14 Ogos 2026. (Gambar: CNA/Ili Mansor)
Kapasiti muatan turut dipertingkatkan dengan ketara untuk menyepadukan peralatan perubatan yang lebih canggih sepanjang hayat kenderaan tersebut. Ini memastikan ambulans dapat disesuaikan mengikut keperluan khidmat perubatan kecemasan yang sentiasa berkembang tanpa menjejaskan prestasi atau pengendalian kenderaan itu.

Ambulans baharu itu juga bersedia untuk disepadukan dengan rangkaian 5G, sekali gus meningkatkan keupayaan teleperubatan dan pertukaran data masa nyata.
Related article image
Ambulans Gen 7E baharu SCDF mempunyai paparan LED di bahagian belakang untuk memaklumkan pemandu jika terdapat pesakit kritikal di dalam kenderaan. (Gambar: CNA/Ili Mansor)
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Operasi Agensi Sains dan Teknologi Home Team H-T-X Chen Yeang Tat berkata pihaknya bekerjasama rapat dengan S-C-D-F bagi membangunkan ambulans generasi baharu itu.

Menurut beliau, ambulans Generasi 7-E membuktikan bagaimana teknologi dan inovasi mampu memperkukuh kesiapsiagaan operasi Home Team serta meningkatkan keupayaan tindak balas semasa berlaku kecemasan,” katanya.
Sumber : CNA/KH/ll
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita