Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

SCDF lengkapkan sebilangan pekerja barisan hadapan, pegawai penguatkuasaan dengan kamera tubuh

Langkah itu bertujuan memastikan kebertanggungjawaban dan ketelusan lebih tinggi antara pegawai dengan orang awam.

Anggaran Waktu Membaca:
SCDF lengkapkan sebilangan pekerja barisan hadapan, pegawai penguatkuasaan dengan kamera tubuh

Spesialis Kebakaran dan Penyelamat memakai kamera tubuh. (Gambar: SCDF)

SINGAPURA: Sebilangan pekerja barisan hadapan dan pegawai penguatkuasaan Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) akan mula memakai kamera tubuh bermula Jumaat (15 Apr).

Langkah itu bertujuan memastikan kebertanggungjawaban dan ketelusan lebih tinggi antara pegawai dengan orang awam.

Kamera-kamera itu akan diberikan kepada spesialis kebakaran dan menyelamat, spesialis bahan-bahan berbahaya, paramedik dan pegawai pemeriksaan dan penguatkuasaan, menurut SCDF dalam kenyataan medianya pada Rabu (13 Apr).

body cam
(Gambar: SCDF)

Ia akan dipasang pada uniform atau peralatan perlindungan peribadi pegawai tersebut.

Inisiatif itu merupakan tahap selanjutnya penggunaan kamera tubuh dalam pasukan SCDF sejak ia diperkenalkan pada 2015.

Ketika itu, SCDF merintis penggunaan topi keledar dan pakaian yang dipasang kamera tubuh kepada pegawai tertentu bagi mengkaji kegunaannya semasa operasi.

Kamera tubuh kemudian diuji cuba pada paramedik antara Feb 2019 hingga Feb 2020.

"Kami mendapati rakamannya berguna untuk menyemak prestasi selepas mereka bertindak dan siasatan pasca insiden," menurut SCDF.

Rakaman dari kamera tersebut juga akan dimanfaatkan bagi tujuan latihan untuk meningkatkan prestasi pegawai SCDF.

body cam
(Gambar: SCDF)

"(Kamera tubuh) akan juga memastikan kebertanggungjawaban dan ketelusan lebih tinggi semasa interaksi antara pegawai SCDF dengan orang awam, termasuk mengelak kemungkinan berlaku penganiayaan oleh anggota masyarakat," jelas SCDF.

SCDF menyatakan pada jangka panjang, kamera tubuh juga boleh menghantar secara langsung rakaman ke pusat operasinya.

Ini akan membantu meningkatkan keupayaan menangani sesuatu kejadian dalam masa sebenar, menurut pihak berkuasa.

body cam
(Gambar: SCDF)

Kawalan dan protokol ketat sudahpun dilaksanakan bagi menangani penggunaan kamera tubuh dan melindungi koleksi, penyimpanan dan penggunaan hasil rakaman tersebut.

Tayangan ulang rakaman itu tidak dibenarkan pada kamera tubuh dan hanya kakitangan yang diberi kuasa boleh memuat turun dan melihat rakaman tersebut.

Sebarang akses kepada rakaman itu akan didaftar bagi pemeriksaan audit dan data itu tidak boleh dibaca dengan mudah (encrypted) bagi keselamatan tambahan, dedah SCDF.

SCDF juga menyatakan pihaknya akan memastikan data tersebut dipadam selepas 90 hari, kecuali ia diperlukan atas sebab-sebab tertentu seperti siasatan atau semakan operasi.

Pegawai yang menyalahguna kamera atau data yang dirakam akan ditangani dengan tegas, menurut SCDF.

Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan