Skip to main content

Singapura

SCDF lancar kapal penyelamat terbaharu 'Blue Dolphin'

Anggaran Waktu Membaca:
 SCDF lancar kapal penyelamat terbaharu 'Blue Dolphin'

Kapal penyelamat marin Generasi Kedua (MRV2G) Blue Dolphin pada 25 Jun 2025. (GambarL CNA/Faith Ho)

Diterbitkan : 25 Jun 2025 02:32PM Dikemas Kini : 25 Jun 2025 02:48PM
SINGAPURA: Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) melancarkan kapal penyelamat terbaharunya, Blue Dolphin, pada Rabu (25 Jun), menandakan peningkatan ketara kepada keupayaan tindak balas kecemasan maritim Singapura.

Kapal generasi kedua itu akan berfungsi sebagai aset tindak balas utama SCDF untuk insiden besar di laut, termasuk kebakaran, operasi menyelamat dan kecemasan melibatkan kimia, biologi atau radiologi. Ia akan berpangkalan di Balai Bomba Marin West Coast.

Ia sekitar 3m lebih panjang daripada pendahulunya, Red Dolphin, yang telah dilancarkan pada Ogos 2019. Kedua-dua kapal itu mempunyai kelajuan sehingga 30 knot, atau kira-kira 56km sejam.

Blue Dolphin dilengkapi dengan tiga alat pemantau kebakaran, mampu menyembur sehingga 4,800 meter padu air sejam – bersamaan dengan hampir dua kolam renang bersaiz Olimpik. Kedua-dua kapal itu juga boleh menampung 4 kru pengemudi dan 10 pakar marin.

Kapal baharu itu dibangunkan bersama oleh SCDF, Penguin Shipyard International, Agensi Sains dan Teknologi Home Team dan Agensi Sains dan Teknologi Pertahanan.
Pos arahan bersepadu dalam kapal penyelamat Blue Dolphin. (Gambar: CNA/Faith Ho)
Peningkatan utama termasuk pos arahan bersepadu yang boleh menerima maklumat daripada kamera atas kapal, pengesan dan log operasi.

Kapal itu juga dilengkapi dengan sistem kimia, biologi dan radiologi (CBR), dinaik taraf dengan sensor serba canggih.

LANDSKAP MARITIM YANG BERUBAH-UBAH

Acara pelancaran kapal itu, yang diadakan di Kelab Kapal Layar Republik Singapura, telah dirasmikan oleh Menteri Undang-Undang merangkap Menteri Kedua Ehwal Dalam Negeri Edwin Tong. Isterinya merasmikan kapal itu dalam satu upacara simbolik.

Pemimpin agama daripada Pertubuhan Antara Agama turut menghadiri acara tersebut.

Keupayaan divisyen marin SCDF adalah kritikal di tengah-tengah landskap maritim yang berkembang pesat, kata Encik Tong. Industri pelayaran telah berkembang dengan lebih banyak kapal pesiaran berlabuh di Singapura. Disney Cruise Line, sebagai contoh, akan melancarkan pelayaran sulungnya dari Pusat Kapal Pesiaran Singapura pada hujung 2025.

“Ini bermakna kapal yang lebih besar, dengan lebih ramai penumpang, akan muncul di perairan Singapura,” katanya.

Selain itu, Pelabuhan Mega Tuas telah memulakan operasi fasa pertamanya. Menjelang 2040, ia akan menjadi salah satu pelabuhan kontena terbesar di dunia, menjadikan Singapura antara laluan air paling sibuk di dunia, katanya lagi.
Menteri Undang-Undang merangkap Menteri Kedua Ehwal Dalam Negeri Edwin Tong di acara pelancaran kapal Blue Dolphin pada 25 Jun 2025. (Gambar: CNA/Faith Ho)
"Pada masa yang sama, industri maritim sedang beralih ke arah operasi yang lebih hijau. Penggunaan bahan api alternatif seperti LNG, amonia dan metanol membawa cabaran baharu untuk tindak balas maritim," tambah Encik Tong.

Blue Dolphin mewakili langkah pertama SCDF dalam komitmennya untuk mengukuhkan keupayaan menjaga perairan Singapura, tegas Encik Tong.
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita