Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

SCDF lancar edisi terbaru Buku Panduan Kecemasan Pertahanan Awam

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) melancarkan edisi kesembilan Buku Panduan Kecemasan Pertahanan Awam hari ini (11 Feb).

Dalam edisi terbaharu itu, beberapa kemas kini utama disertakan. 

Ini termasuk dalam bahagian pertolongan kecemasan yang memberikan tip bagaimana untuk melakukan resusitasi kardiopulmonari (CPR) tanpa bantuan pernafasan mulut ke mulut. 

Menurut SCDF, jika dilakukan awal, kaedah CPR menggunakan tangan sahaja didapati sama berkesannya dengan CPR biasa dalam meningkatkan kemungkinan untuk berjaya menyelamatkan mangsa.

SCDF menyatakan buku panduan ini merupakan buku rujukan yang berguna buat orang awam kerana terdapat tip-tip keselamatan kebakaran umum, termasuk langkah-langkah praktikal bagaimana orang awam boleh menjadikan rumah mereka lebih selamat.

(Gambar: SCDF)

Ini di samping kemahiran-kemahiran keselamatan hidup yang asas seperti memadam api, pertolongan kecemasan dan CPR.

"Pelancaran edisi kesembilan bagi buku panduan ini mencerminkan usaha-usaha berterusan oleh SCDF dalam memastikan orang awam ada akses yang mudah kepada maklumat persediaan kecemasan yang genting," ujar Timbalan Pengarah Jabatan Kesukarelawanan dan Masyarakat SCDF, Kolonel Bob Tan. 

PANDUAN MENGENAI KEBAKARAN DI RUMAH 

Selain itu, tip dan cara sebaiknya untuk menangani kebakaran melibatkan panel suria dan kenderaan elektrik. 

Dengan kemajuan teknologi hijau dan mesra alam, Singapura menyaksikan peningkatan dalam pemasangan panel suria dan kenderaan elektrik.

(Gambar: SCDF)

Keselamatan untuk mengelak dan menangani keadaan jika kebakaran berlaku di rumah juga merupakan antara kemas kini penting yang dimasukkan dalam edisi terbaharu buku panduan itu. 

Setiap tahun, kebakaran yang berlaku dalam premis perumahan membentuk peratusan tinggi daripada jumlah keseluruhan insiden kebakaran di Singapura.

Misalnya pada 2021, terdapat 1,010 kejadian kebakaran di premis perumahan (privet dan awam), dengan kebakaran disebabkan oleh bahan masakan yang terbakar kerana ditinggalkan membentuk komponen paling tinggi, iaitu 358 kes pada 2021.

Di samping itu, sebanyak 192 kebakaran tahun lalu disebabkan oleh peranti atau berkaitan dengan elektrik, iaitu peningkatan sebanyak 2.7 peratus berbanding pada tahun sebelumnya.

SENARAI SEMAKAN DISEDIAKAN BANTU PEMILIK RUMAH CEGAH KEBAKARAN DI RUMAH 

(Gambar: SCDF)

Ini selain menyediakan satu bimbingan praktikal dalam bentuk senarai semakan untuk membantu mengingatkan pemilik rumah mencegah berlakunya kebakaran di rumah mereka.

Edisi terbaharu buku panduan itu juga memaparkan maklumat dalam format yang mudah difahami dan disertakan dengan gambar dan grafik bagi menjadikannya lebih menarik. 

SCDF menambah bahawa keselamatan kebakaran adalah "tanggungjawab kita bersama" dan "semua orang ada peranan penting" dalam memastikan kita hidup dalam persekitaran yang selamat daripada kebakaran. 

Dilancarkan pada 1990, buku panduan kecemasan SCDF merupakan salah satu cara bagi SCDF mendekati segenap lapisan masyarakat bagi meningkatkan kesedaran tentang keselamatan kebakaran, kesediaan kecemasan dan kemahiran-kemahiran seperti pertolongan kecemasan. 

Kali terakhir buku panduan kecemasan itu dikemas kini adalah pada 2015. 

Buku panduan ini boleh didapatkan dalam empat bahasa - Inggeris, Mandarin, Melayu dan Tamil.

Buku panduan ini boleh didapatkan di laman SCDF atau aplikasi myResponder. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan