Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

SCDF ‘laksana pelbagai langkah' susuli lonjakan 35% panggilan khidmat perubatan cemas

SCDF dedahkan demikian setelah seorang wanita berkata ambulans mengambil masa setengah jam untuk sampai bawa ayahnya yang rebah di tandas.

Anggaran Waktu Membaca:
SCDF ‘laksana pelbagai langkah' susuli lonjakan 35% panggilan khidmat perubatan cemas

(Gambar: SCDF)

Diterbitkan : 15 Oct 2021 09:20PM Dikemas Kini : 15 Oct 2021 09:27PM

SINGAPURA: Jumlah panggilan bagi perkhidmatan perubatan kecemasan secara keseluruhan melonjak 35 peratus sejak tiga minggu lalu, menurut Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) pada Jumaat (15 Okt).

Ia satu pertambahan daripada purata sekitar 550 panggilan sehari kepada sekitar 750 panggilan setiap hari.

Menjawab pertanyaan Mediacorp, seorang jurucakap SCDF berkata situasi COVID-19 telah "memberi tekanan yang besar" pada sistem penjagaan kesihatan, termasuk khidmat perubatan kecemasan pasukan itu.

"Untuk memastikan keselamatan pesakit yang kami hantar, kami telah memperkenalkan langkah-langkah pengendalian jangkitan untuk EMS (khidmat perubatan kecemasan), termasuk membasmi kuman dalam ambulans kami setelah menghantar setiap pesakit COVID-19.

"Selain itu, sejak tiga minggu lalu, SCDF telah melihat peningkatan sekitar 35 peratus dalam jumlah panggilan yang memerlukan EMS, dari purata sekitar 550 panggilan sehari kepada sekitar 750 panggilan sehari."

Untuk menangani hal ini, SCDF telah "melaksanakan berbagai langkah" bagai memastikan ia dapat terus "memberi respons pantas" kepada keadaan kecemasan yang mengancam nyawa, kata jurucakap itu.

"SCDF ingin memberi jaminan kepada masyarakat bahawa kami tetap komited untuk menangani keadaan kecemasan perubatan sehari-hari, sambil membantu usaha negara menangani situasi COVID-19," kata jurucakap itu.

"WAKTU MENUNGGU 30- 40 MINIT"

SCDF menyatakan demikian setelah seorang pembaca akhbar Straits Times berkata beliau diberitahu untuk tunggu 30 hingga 40 minit bagi ambulans tiba, setelah membuat panggilan kecemasan.

Dalam surat forum yang diterbitkan pada 7 Oktober, Tan Kexin berkata, pada 29 Sep, beliau telah menghubungi 995 setelah ayahnya rebah di tandas.

"Saya terkejut ketika operator panggilan memberitahu saya bahawa semua ambulans sudah dikerahkan disebabkan kes COVID-19 dan perlu menunggu 30 hingga 40 minit untuk ambulans sampai ke tempat kami," tulis Cik Tan.

"Ambulans akhirnya tiba 30 mini kemudiani, meskipun pada waktu siang hari biasa dengan keadaan lalu lintas yang tidak sesak dan rumah saya dalam lingkungan jarak lima minit perjalanan ke hospital terdekat, di mana ambulans itu membawa bapa saya.

"Saya faham bahawa kita berada di tengah-tengah pandemik, tetapi saya merasa hairan bila diberitahu ditelefon bahawa semua ambulans telah dikerahkan dan kapasiti menghadapi tekanan akibat COVID-19."

Cik Tan menulis: "Setiap detik adalah penting bagi pesakit yang mengalami keadaan kecemasan seperti serangan jantung, angin ahmar atau kemalangan jalan raya, sementara keadaannya mungkin tidak jauh beza bagi kes COVID-19 yang disyaki jika dia dibawa ke hospital sejam kemudian.

"Adakah ini cara terbaik untuk memeriksa pesakit? Adakah kita secara tidak sengaja mengutamakan nyawa tertentu daripada yang lain dengan cara kita menangani pandemik ini?"

JAWAPAN SCDF

Mengulas hal itu, SCDF mengucapkan terima kasih kepada Cik Tan atas "maklum balasnya" dan menambah bahawa pasukan itu sudah menghubungi dan bercakap dengannya mengenai kebimbangan beliau.

"Kami memahami kebimbangan Cik Tan dan keluarganya, dan setuju bahawa setiap detik adalah penting semasa kecemasan perubatan kritikal seperti serangan jantung, angin ahmar dan trauma," kata jurucakap itu.

Khidmat perubatan kecemasan SCDF mengutamakan keadaan kecemasan yang mengancam nyawa, tegas jurucakap itu.

"Sejak 2017, SCDF telah menerapkan sistem panggilan 995 untuk menilai dan membezakan kes perubatan berdasarkan sejauh mana serius kes tersebut. Sistem ini membantu kami mengurus sumber kami dengan lebih baik dengan mengerahkan sumber yang paling sesuai bagi setiap kes."

Berucap di Parlimen awal bulan ini, Menteri Negara Kanan Kesihatan Dr Janil Puthucheary berkata Kementerian Kesihatan telah menyediakan 95 ambulans tambahan khas untuk menghantar pesakit COVID-19 ke pelbagai kemudahan kesihatan.

Sebelum pertengahan September, untuk menghantar pesakit berusia lebih 70 tahun yang positif COVID-19 dalam ujian reaksi berantai polimerase ke hospital mengambil masa 12 jam, kata Dr Puthucheary.

Sejak itu ia meningkat antara 48 jam hingga 72 jam dari saat pesakit tersebut mendapat hasil ujian, tambahnya, semasa memberi gambaran bagaimana lonjakan baru-baru ini dalam kes COVID-19 menjejas keupayaan penjagaan kesihatan di Singapura.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan