Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

SCDF kerah pasukan kedua bantu usaha menyelamat mangsa gempa di Turki

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 10 Feb 2023 09:09AM Dikemas Kini : 10 Feb 2023 08:39PM

SINGAPURA: Sebuah pasukan dengan seramai 48 anggota Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) berangkat ke Turki awal Jumaat pagi (10 Feb) untuk membantu usaha menyelamat mangsa menyusuli gempa bumi dahsyat yang melanda negara tersebut. 

Mereka akan menyertai pasukan pertama dengan seramai 20 anggota yang tiba di selatan Turki pada Rabu (8 Feb). 

SCDF dalam satu hantaran ke Facebook pada Khamis malam (9 Feb) menyatakan, pasukan kedua yang berangkat ke Adana, sebuah bandar di selatan Turki, pada kira-kira pukul 2.00 pagi, merangkumi 48 pegawai SCDF dan empat anjing dari unit K-9 SCDF. 

"Anjing-anjing itu boleh melakukan pencarian meliputi kawasan lebih luas dengan lebih berkesan dan menumpukan kepada kawasan tertentu menerusi penghiduan," menurut SCDF. 

"Ini akan membolehkan para penyelamat kami untuk menggunakan peralatan pencarian untuk mengesahkan lokasi mangsa." 

SCDF turut menyediakan lima penjana elektrik mudah alih serta 24 kotak mengandungi peralatan USAR (peralatan memotong/memecahkan/mengangkatkan/menstabilkan), bekalan perubatan, makanan dan khemah. 

Untuk membantu operasi USAR yang dipertingkat, pasukan itu turut membawa tambahan peralatan mencari dan menyelamat mangsa, bekalan perubatan serta peralatan sokongan komunikasi dan logistik. 

"Kontinjen Operasi Lionheart (OLH) dengan seramai 68 anggota akan meningkatkan skop, skala dan keupayaan untuk melakukan operasi Mencari dan Menyelamat di Bandar (USAR) yang berterusan di kawasan-kawasan yang terjejas," menurut SCDF. 

Lebih banyak kemas kini mengenai operasi OLH akan diberikan dalam beberapa hari akan datang, menurut SCDF. 

Kontinjen itu dihantar pada Khamis petang oleh Duta Turki ke Singapura Mehmet Burçin Gönenli dan Menteri Negara Ehwal dalam Negeri dan Menteri Pembangunan Negara Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim di Ibu Pejabat SCDF. 

Pasukan Singapura dikerahkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menuju ke bandar Kahramanmaras, yang jaraknya kira-kira 180 kilometer dari Lapangan Terbang Adana. 

Daripada 68 pegawai itu, sebahagiannya akan menumpukan kepada operasi, perancangan dan logistik, manakala ada juga yang akan menjalankan operasi mencari dan menyelamat mangsa. Kontinjen tersebut akan berada di Turki selama sekurang-kurangnya 10 hari, tetapi ia bergantung kepada keperluan negara tersebut. 

Operasi Lionheart merupakan kontinjen seramai 79 anggota yang diletakkan dalam keadaan siap siaga 24 jam. Ia ditubuhkan pada 1990 dan sejak itu, dikerahkan bagi 19 misi bantuan kemanusiaan atau mencari dan menyelamat mangsa.

Ini merupakan pengerahan ke-20 Operasi Lionheart ke luar negara sejak 1990, dengan yang pertama di Eropah.

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan