Skip to main content

Singapura

SCDF kerah 80 anggota Pasukan Operasi Lionheart bantu usaha menyelamat di Myanmar

Anggaran Waktu Membaca:

New: You can now listen to articles.

This audio is generated by an AI tool.

Diterbitkan : 29 Mar 2025 04:20PM Dikemas Kini : 29 Mar 2025 09:39PM
SINGAPURA: Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) pada Sabtu (29 Mac) mengerahkan kontinjen Operasi Lionheart ke Myanmar untuk membantu usaha menyelamat di negara itu.

Pasukan seramai 80 anggota itu terdiri daripada para penyelamat Pasukan Menyelamat dan Bantuan Bencana (DART), Anggota Perkhidmatan Negara Pertahanan Awam, doktor, pasukan paramedik, pasukan anjing penghidu, pakar bahan berbahaya dan para pegawai sokongan.

Taklimat dan persiapan sebelum berlepas diadakan awal pagi Sabtu (29 Mac) di ibu pejabat SCDF dan kontinjen tersebut berlepas dari Lapangan Terbang Changi pada sekitar pukul 1.20 tengah hari, menurut SCDF dalam catatan Facebooknya.

Pengerahan kontinjen itu sebagai respons kepada permintaan bantuan kemanusiaan selepas gempa bumi kuat menggegarkan Myanmar pada Jumaat (28 Mac).

Gempa berukuran 7.7 pada skala Richter melanda barat laut bandar Sagaing di bahagian tengah Myanmar pada awal petang semalam, diikuti beberapa minit kemudian dengan gempa susulan 6.7 magnitud.

Gempa bumi itu memusnahkan bangunan, jambatan dan jalan raya merentasi kawasan-kawasan di Myanmar, dengan kemusnahan besar-besaran dilihat di Mandalay, bandar kedua terbesar di negara itu yang menjadi kediaman kepada lebih 1.7 juta penduduk.

Sekurang-kurangnya 1,002 orang terbunuh dan hampir 2,400 cedera di Myanmar, menurut pemerintah junta dalam satu kenyataan pada Sabtu. Lagi 10 kematian telah disahkan di Bangkok.

Ketua junta Min Aung Hlaing mengeluarkan rayuan yang sangat jarang berlaku untuk meminta bantuan antarabangsa pada Jumaat, menunjukkan betapa teruknya bencana alam itu.

Menurut SCDF, kontinjen Operasi Lionheart akan membawa pelbagai peralatan mencari dan menyelamat kawasan bandar (USAR) seperti peralatan memotong, memecahkan dan mengangkat, serta peranti pengesan nyawa dan skop gentian optik.

"Perkakas dan peralatan ini yang dikendalikan dengan kuasa bateri akan membolehkan pasukan kami dikerahkan dengan pantas ke kawasan-kawasan terjejas untuk memulakan operasi USAR dengan serta-merta," katanya.

Tiga pegawai SCDF juga akan ditugaskan ke Myanmar sebagai sebahagian daripada Pasukan Penilaian dan Respons Kecemasan ASEAN (ERAT) di bawah naungan Pusat Penyelarasan ASEAN untuk Bantuan Kemanusiaan Mengenai Pengurusan Bencana (Pusat AHA).

"Fungsi utama ASEAN-ERAT adalah untuk menyediakan penilaian pantas dan menentukan sumber-sumber kritikal yang diperlukan untuk kawasan-kawasan yang terjejas oleh gempa bumi," tambah SCDF.

Dr Muhammad Faishal Ibrahim, Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara, bertemu dengan pasukan itu di ibu pejabat SCDF sebelum mereka berlepas.

Beliau merakamkan penghargaan kepada para pegawai dan mengucapkan selamat jalan kepada mereka bersama keluarga dan orang tersayang.

SCDF juga mengucapkan terima kasih kepada mereka yang membantu memudahkan pengerahan itu.

"Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada Singapore Airlines kerana memudahkan aturan penerbangan dalam masa yang singkat, terutamanya semasa bencana besar seperti itu di mana bantuan segera adalah penting kepada mereka yang memerlukan. Kami juga ingin mengucapkan terima kasih kepada pasukan ST Logistics dan SATS Singapore Hub atas bantuan mereka," katanya lagi.
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita