Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

SCDF jalankan uji kaji letak alat pemadam api di lobi lif setiap 2 blok HDB

Anggaran Waktu Membaca:
SCDF jalankan uji kaji letak alat pemadam api di lobi lif setiap 2 blok HDB

Alat pemadam api. (Gambar: iStock)

SINGAPURA: Satu uji kaji yang dijalankan oleh Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) akan memberi penduduk di perumahan awam akses lebih baik kepada alat pemadam api semasa kecemasan.

Pemadam api tersebut, yang akan ditempatkan di lobi lif, akan dipasang dan disenggara oleh SCDF, Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri Muhammad Faishal Ibrahim memberitahu Parlimen hari ini (12 Sep).

"SCDF memulakan uji kaji bersama HDB, majlis bandaran dan Yayasan Temasek untuk meletakkan dan menyenggara satu alat pemadam api di lobi lif setiap dua blok HDB untuk digunakan penduduk semasa kecemasan," kata beliau.

Menteri Ehwal Dalam Negeri, K Shanmugam menerusi jawapan bertulis kepada Parlimen pada Februari 2018 menyatakan HDB memasang alat pemadam api di ruang-ruang masyarakat yang dikongsi bersama, di bilik-bilik khidmat kemudahan perumahan dan kemudahan komersil.

Jumlah alat pemadam api sedia ada di blok-blok HDB bagaimanapun tidak jelas.

"SCDF menggalak pemasangan alat pemadam api di rumah-rumah atas dasar sukarela dan bukan diwajibkan memandangkan harganya mahal dan sukar untuk disenggara," kata Encik Shanmugam.

"Jika perlu, penduduk boleh juga menggunakan hos penyembur air yang disediakan di ruang-ruang yang dikongsi bersama di blok-blok HDB untuk memadamkan api kecil."

Profesor Madya Dr Faishal berkata SCDF, menerusi program pendampingan awam, juga mendidik penduduk tentang cara-cara menggunakan alat tersebut.

"Menerusi platform-platform seperti ini, SCDF menggalak penduduk memasang alat pemadam api di premis mereka secara sukarela dan juga berkongsi maklumat tentang lokasi hos penyembur air yang boleh dijumpai di ruang-ruang bersama," tambah beliau.

Dr Faishal berkata demikian semasa menjawab pertanyaan daripada beberapa Anggota Parlimen (AP) berhubung pemasangan alat amaran kebakaran di flat-flat HDB, termasuk soalan daripada Cik Rachel Ong (PAP-West Coast) tentang sama ada kementerian itu akan mempertimbangkan untuk meletak alat pemadam api di ruang-ruang koridor aras tertentu bagi setiap blok HDB.

Pada 16 Ogos, seorang penduduk HDB maut setelah kebakaran tercetus di Blok 236 Jurong East Street 21. Kira-kira sehari kemudian, satu lagi kebakaran tercetus di bilik tidur utama flat yang sama meskipun anggota bomba sudah menjalankan operasi 'damping-down' - iaitu membiarkan air di atas pemukaan yang terbakar selepas api dipadamkan - untuk mengelakkan kebakaran tercetus sekali lagi.

Dr Faishal berkata hari ini bahawa jumlah kebakaran di estet HDB kekal merosot setiap tahun dan angka korban akibat kebakaran juga kekal rendah.

Terdapat tiga insiden kebakaran yang membawa maut pada 2021, semuanya kawasan perumahan di Ang Mo Kio, Yishun dan Woodlands.

ALAT AMARAN KEBAKARAN DI RUMAH

Cik Ong juga bertanya mengenai kemas kini tentang pemasangan alat amaran kebakaran di semua rumah, di bawah skim bantuan yang menyediakan pemasangan percuma bagi penduduk tanpa diwajibkan.

Sejak Jun 2018, semua rumah baru dan rumah sedia ada yang menjalani kerja-kerja keselamatan kebakaran perlu memasang alat-alat tersebut, yang memberi amaran kepada penghuninya mengenai kebakaran supaya mereka boleh memadamkannya atau segera meninggalkan flat mereka.

Sekalipun demikian, ia tidak diwajibkan bagi premis perumahan sedia ada yang tidak menjalani kerja-kerja keselamatan kebakaran untuk memasang alat tersebut.

Dr Faishal menjawab bahawa skim untuk memasang alat tersebut di flat-flat rumah sewa awam selesai dijalankan pada Jun 2021 dan kadar pengambilannya pada waktu itu 75 peratus.

HDB akan secara berperingkat memasang alat-alat tersebut di baki flat sewa awam apabila tempoh sewa mereka habis, kata beliau, sambil menambah Kementerian Ehwal Dalam Negeri tidak berniat untuk memperluas skim tersebut.

PINTU TAHAN API

AP Foo mee Har (PAP-West Coast) juga bertanya sama ada dasar berhubung pemasangan pintu tahan api di flat-flat HDB boleh disemak semula untuk membolehkan lebih banyak penggunaan pintu sedemikian.

Kod Kebakaran buat masa ini memerlukan pintu kali api bagi pintu masuk rumah, kecuali jika unit tersebut memandang koridor luaran, kerana koridor sedemikian sudah dinilai sebagai berupaya meredakan suhu dan asap secukupnya, kata Dr Faishal.

Syarat-syarat lain bagi keselamatan kebakaran bangunan termasuk tangga keluar yang mencukupi untuk memastikan penduduk dapat dipindahkan dengan pastas, laluan akses bagi kereta bomba dan laluan menaikkan hos bagi operasi memadam kebakaran.

Dr Faishal berkata SCDF kerap melakukan semakan ke atas Kod Kebakaran bersama pihak-pihak berkepentingan daripada agensi lain Pemerintah, industri dan ahli akademik.

Salah satu contoh perubahan pada kod tersebut adalah syarat bagi bangunan perumahan baru yang tingginya melebihi 24 meter untuk lapisan tembok perlindungan atau belebas melintang pada permukaan bangunan untuk mengurangkan risiko kebakaran merebak ke bahagian atas tempat terjejas, kata beliau.

Cik Foo kemudian menarik perhatian bahawa berdasarkan perkongsian penduduk beliau, "sejumlah besar" rumah yang sudah memasang pintu tahan api ditawarkan pintu bukan tahan api sebagai ganti di bawah Program Peningkatan Rumah (HIP).

Beliau bertanya sama ada penduduk sedemikian boleh memilih untuk mengekalkan pintu tahan api mereka meskipun Kod Kebakaran sedia ada tidak memerlukan pintu sedemikian digunakan.

Dr Faishal menjawab HIP menawarkan pintu-pintu tahan api berdasarkan Kod Kebakaran, walaupun penduduk yang mahu terus menggunakan pintu tahan api boleh melakukannya pada harga bersubsidi.

"Penduduk ada pilihan untuk menukar pintu tahan api sedia ada kepada yang baru pada harga bersubsidi," kata beliau.

"Penduduk boleh memilih untuk masang pintu tahan api meskipun ia tidak diwajibkan di bawah Kod Kebakaran, tetapi ini perlu ditanggung mereka sendiri..Kuncinya adalah, jika Kod Kebakaran tidak memerlukan pintu tahan api, kos-kos tambahan ini tidak ditanggung di bawah HIP."
Sumber : CNA/NK/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan