Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

SCDF hentikan operasi cari pekerja hilang di Limbungan Keppel di Tuas

Anggaran Waktu Membaca:
SCDF hentikan operasi cari pekerja hilang di Limbungan Keppel di Tuas

(Gambar: Raja Sivasamy/Facebook)

SINGAPURA: Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) pada Rabu (24 Ogos) menyatakan ia sudah "mengundurkan" sumber-sumbernya dan menghentikan operasi mencari seorang pekerja yang terjatuh ke dalam laut selepas sebahagian tambangan konkrit di Limbungan Kapal Keppel di Tuas runtuh pada Isnin (22 Ogos). 

Sebuah kren di jeti berkenaan runtuh pada Isnin (22 Ogos), menyebabkan ia jatuh ke atas kapal yang berlabuh bersebelahan dengan jeti berkenaan, kata seorang jurucakap Kementerian Tenaga Manusia (MOM) pada Selasa (23 Ogos). 

Pekerja warga Bangladesh, 38 tahun, yang bekerja dengan syarikat Kumarann Marine, berada di jeti itu pada waktu kejadian. Dia terjatuh ke dalam laut dan dilaporkan hilang, tambah jurucakap tersebut. 

Kejadian di 51 Pioneer Sector 1 di Limbungan Kapal Keppel itu menyebabkan sebahagian kren itu tenggelam dalam laut. 

SCDF dalam kenyataannya menyatakan ia menerima panggilan mengenai kejadian tersebut kira-kira 12.00 tengah pada Isnin (22 Ogos). 

"Apabila pasukan SCDF tiba di tempat kejadian, sebuah kren ditemui condong ke arah kapal yang berlabuh itu," katanya. 

"SCDF menghantar dua individu ke Hospital Universiti Nasional (NUH). 

"Pengerahan sumber SCDF bagi operasi mencari pekerja itu dihentikan pada 23 Ogos." 

Empat lagi pekerja - dua warga Bangladesh, seorang warga China dan seorang rakyat tempatan - mengalami cedera ringan dan berada dalam keadaan stabil, dedah jurucakap itu. 

Seorang jurucakap Limbungan Kapal Keppel pada Selasa (23 Ogos) berkata: "Sebahagian kawasan di tepi dermaga itu runtuh menyebabkan dua pekerja terjatuh ke dalam laut dan sebuah kren condong." 

Salah seorang pekerja sudah diselamatkan dan kini dalam keadaan stabil, manakala satu lagi masih dilaporkan hilang. 

Tambah jurucakap berkenaan, Limbungan Kapal Keppel sedang bekerjasama dengan SCDF dan Polis Pengawal Pantai (PCG) dalam operasi mencari pekerja yang hilang itu. 

MOM menyatakan ia sedang menyiasat punca kejadian dan sudah menghentikan semua kerja di jeti tersebut. 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan