SCDF bunyikan semboyan 'Pesanan Penting' sempena Hari Pertahanan Mutlak
Anggaran Waktu Membaca:
(Gambar fail: CNA/Hanidah Amin)
SINGAPURA: Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) akan membunyikan isyarat 'Pesanan Penting' melalui rangkaian semboyan Sistem Amaran Awam (PWS) ke seluruh pulau pada pukul 6.20 petang Rabu (15 Feb), sempena Hari Pertahanan Mutlak.
Isyarat Pesanan Penting itu adalah salah satu daripada tiga semboyan amaran yang dibunyikan untuk memaklumkan penduduk tentang pengumuman pesanan penting.
Ia dibunyikan selama seminit untuk mengingatkan orang ramai tentang peri pentingnya kita kekal berdaya tahan dan memainkan peranan masing-masing bagi melindungi Singapura dan masa depan kita, menurut SCDF.
Isyarat tersebut akan dibunyikan menerusi rangkaian semboyan Sistem Amaran Awam di merata Singapura.
Mereka yang sudah memuat turun aplikasi SGSecure juga akan mendengar semboyan tersebut pada telefon bijak mereka jika tidak diletakkan pada mod senyap atau gegar.
Semboyan itu akan dihentikan selepas 20 saat, menurut SCDF.
Apabila isyarat itu berkumandang,orang ramai boleh mendengar pesanan ringkas yang disiarkan melalui stesen radio atau saluran televisyen Mediacorp.
Teks ringkas mengenai semboyan sistem amaran awam itu juga akan dihantar ke telefon bimbit menerusi aplikasi SGSecure.
Mereka yang terlepas daripada mendapat teks ringkas itu, boleh melungsuri go.gov.sg/pws untuk mengetahui lebih lanjut mengenai isyarat tersebut.
15 Feb adalah Hari Pertahanan Mutlak, menandakan masa tentera British menyerah kalah kepada Angkatan Imperial Jepun semasa Perang Dunia Kedua pada 1942.
Diadakan setiap tahun, latihan itu bertujuan memperingati detik bersejarah tersebut.
Semboyan dibunyikan bagi membiasakan orang awam dengan isyarat Sistem Amaran Awam dan meningkatkan kesedaran mereka tentang cara untuk bertindak bila mendengar isyarat itu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.