Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

SCDF bertafakur bagi peringati CPL Edward Go; naikkan pangkat mendiang kepada 1SG

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 13 Dec 2022 10:51AM Dikemas Kini : 13 Dec 2022 11:40PM
SINGAPURA: Para pegawai dari Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) berhimpun di merata Singapura pada Selasa (13 Dis) untuk bertafakur selama seminit bagi memberikan penghormatan kepada anggota bomba Perkhidmatan Negara sepenuh masa (NSF), yang terkorban ketika memadamkan kebakaran di Henderson Road.
NSF Koperal Edward H Go turut dianugerahi pangkat anumerta, iaitu sebagai Sarjan Pertama dan diberi penghormatan penuh istiadat.

Semboyan dibunyikan di kesemua 23 balai bomba serta ibu pejabat SCDF, ibu pejabat divisyen dan Akademi Pertahanan Awam.

Semboyan itu lazimnya dibunyikan untuk mengerahkan anggota bomba ke lokasi kecemasan.

Sarjan Go, yang berusia 19 tahun, dilaporkan rebah semasa operasi memadamkan kebakaran sedang dijalankan di Blok 91 Henderson Road pada Khamis lalu. Beliau kemudian disahkan meninggal dunia di hospital.

Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara Dr Muhammad Faishal Ibrahim berkata siasatan terhadap kejadian itu sedang dijalankan.
Siasatan awal mendapati kebakaran tersebut berkemungkinan berpunca daripada 'sumber elektrik' dalam sebuah bilik tidur.


Upacara persemadian beristiadat akan diadakan di Krematorium Mandai pada Selasa (13 Dis).


Lebih 300 pegawai SCDF adalah antara mereka yang berhimpun bagi memberikan penghormatan kepada mendiang Sarjan Go di ibu pejabat SCDF di Ubi pada 8.00 pagi.

Ucapan ringkas bagi mengucapkan terima kasih dan memberi penghargaan kepada Sarjan Go atas pengorbanannya kepada negara turut disiarkan sebelum para pegawai SCDF bertafakur selama seminit.

Dalam ucapan penghormatan kepada Sarjan Go, Pesuruhjaya SCDF Eric Yap berkata, mendiang dinaikkan pangkat atas "dedikasinya yang teguh dalam menjalankan tugas dan pengorbanannya dalam berbakti kepada negara".

Komander Yap menambah: "Kami menyampaikan takziah yang mendalam kepada keluarga mendiang, orang-orang tersayang serta rakan-rakannya sedang mereka meratapi pemergiannya. SCDF turut terkesan dengan pemergiannya. Tiada kata-kata yang diungkapkan dapat menggambarkan dengan secukupnya rasa kehilangan ini."

"Kami akan mengingati sifatnya yang tidak mementingkan diri sendiri, sentiasa bersikap profesional dan komited. Bagi mereka yang mengenalinya secara peribadi, mereka akan ingat betapa bangganya mendiang menjadi seorang anggota bomba."

Pesuruhjaya itu turut menekankan bahawa SCDF mempunyai "tanggungjawab yang sangat penting" dalam memastikan Singapura sentiasa selamat dan membantu orang awam dalam situasi kecemasan, yang sering kali melibatkan urusan antara hidup dan mati.

Selepas ucapan itu disampaikan, semboyan dua buah Kenderaan Bomba di Ibu Pejabat SCDF, serta kenderaan kecemasan di semua balai bomba, dihidupkan selama 15 saat.

Dalam kenyataannya pada Jumaat (9 Dis), SCDF turut memperincikan latihan-latihan yang dijalani oleh Sarjan Go sebelum insiden tersebut.

Beliau menyertai SCDF untuk menjalani Perkhidmatan Negara (NS) pada 5 Januari lalu dan memulakan latihannya selama 12 minggu sebagai seorang anggota bomba pada 3 Februari.

NSF itu menamatkan latihannya pada 28 April dan kemudian ditugaskan di Balai Bomba Central pada 4 Mei setelah selesai menjalani kursusnya.

Sebelum menjalani NS sepenuh masa, CPL Go disahkan sihat dari segi perubatan dan dinilai sebagai status A bagi Piawai Status Pekerjaan Fizikal (PES), yang menetapkannya sesuai bagi vokasi operasi barisan hadapan.

Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan