SCDF berjaya kawal kebakaran besar di gudang Tuas South, 2 pekerja cedera

(Gambar: Facebook/SCDF)
SINGAPURA: Anggota bomba Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) mengambil masa hampir dua jam untuk mengawal kebakaran besar di beberapa bangunan perindustrian di Tuas South pada Isnin (13 Mac) malam.
Dua orang cedera ringan manakala sekitar 40 lain yang berada di dalam bangunan itu sudah dikesan dan diambil kira, kata SCDF.
Kebakaran itu meliputi kawasan seluas kira-kira satu setengah padang bola sepak dan melibatkan bahan pelarut dan bahan binaan mudah terbakar di sebuah gudang dan kawasan pengeluaran, kata SCDF.
Bercakap kepada media pada sekitar pukul 9.45 malam ketika operasi memadamkan kebakaran sedang dijalankan, Kolonel Goh Boon Han, komander Divisyen ke-4 SCDF berkata, bomba menggunakan lapan jet air dan sebuah jentera pemadam kebakaran tanpa pemandu untuk melawan kebakaran.
"Kami menggunakan pendekatan defensif supaya tidak meletakkan anggota bomba kami dalam keadaan berisiko untuk tempoh yang lama," kata Kol Goh. "Jadi kami menggunakan mesin pemadam kebakaran tanpa pemandu di kawasan berisiko."
Tambahnya, terdapat juga isu keselamatan kerana bumbungnya yang hampir roboh.
Dua pekerja yang periksa oleh anggota paramedik SCDF mendapati mereka luka di tangan dan dahi mereka. Namun, mereka enggan dibawa ke hospital, kata SCDF.
Kol Goh berkata SCDF sebelum itu mengesahkan dengan syarikat tersebut bahawa sehingga 40 pekerja telah meninggalkan bangunan itu dan semuanya sudah dikesan dan diambil kira.
Sebuah video yang disiarkan di Facebook menunjukkan kepulan asap tebal dari sebuah bangunan di kawasan itu.
Menurut kapsyennya, kebakaran berlaku di sebuah kilang. Alamatnya pula diletakkan sebagai lokasi ibu pejabat dan kilang syarikat Sika Singapore.
Berdasarkan laman web Sika Singapore, syarikat itu "membekalkan industri bangunan dan pembinaan serta pengeluaran " dengan bahan pemprosesan yang digunakan dalam mengikat, mengukuhkan dan melindungi struktur bahan berat.
Apabila wartawan Mediacorp tiba di tempat kejadian sekitar pukul 8.15 malam, beberapa kenderaan SCDF dan polis hadir berada di situ. Anggota bomba dilihat keluar masuk bangunan terjejas manakala api kelihatan dari sebuah bilik di tingkat yang lebih tinggi.
Encik Aminul, seorang pekerja di bengkel logam yang berusia 49 tahun dari Bangladesh telah bekerja di Singapura sejak 1998. Beliau memberitahu wartawan telah melihat asap hitam keluar dari bangunan itu sekitar pukul 7.00 malam. Ketika itu, beliau berada di asramanya yang terletak di Tuas South Avenue 1.
Bersama beberapa pekerja lain, mereka telah pergi ke tempat kejadian dan tidak melihat sesiapa yang cedera. Menurutnya terdapat "bau kimia yang kuat" dan ia adalah kali pertama beliau melihat kebakaran berlaku di kawasan itu.
Awal sebelum itu, SCDF menghantar SMS melalui Sistem Amaran Awam SMS dan mesej melalui aplikasi SGSecure untuk menasihatkan orang ramai supaya menjauhi kawasan itu.
Mesej itu dihantar kepada orang ramai di sekitar lokasi kejadian.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.