Skip to main content

Singapura

SCDF akan perkenal sistem pemantauan tangki udara jarak jauh pada 2024

Anggaran Waktu Membaca:
SCDF akan perkenal sistem pemantauan tangki udara jarak jauh pada 2024

Gambar: Facebook/Our Tanjong Pagar

SINGAPURA: Mulai pertengahan tahun depan, Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) akan dapat memantau dari jarak jauh berapa banyak udara yang masih tinggal dalam tangki anggota bomba.

Menteri Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam mengumumkan demikian pada Selasa (7 Nov), dalam satu jawapan bertulis kepada soalan daripada Anggota Parlimen (AP) Murali Pillai mengenai semakan semula prosedur, peralatan dan latihan berikutan kematian seorang anggota bomba berusia 19 tahun pada tahun lalu.

Projek tersebut, yang dimulakan dua tahun lalu, akan menyaksikan peralatan tersebut digunakan secara beransur-ansur mulai pertengahan 2024, kata Encik Shanmugam.

Ia akan membolehkan data mengenai kapasiti udara yang tinggal dalam alat pernafasan anggota bomba dihantar ke pusat kawalan BACO bagi pemantauan.

"Alat pernafasan generasi akan datang ini juga dilengkapi dengan alat kecemasan kakitangan (PDD) yang diaktifkan secara automatik sebaik sahaja tangki dihidupkan, berbanding PDD sedia ada yang perlu dihidupkan secara manual oleh pihak bomba," katanya.

"Dengan PDD baharu itu, apabila anggota bomba berkenaan didapati tidak sedarkan diri, PDD akan secara automatik memberi amaran kepada pusat kawalan BACO, agar pegawai di sana boleh bertindak sewajarnya."

Sarjan 1 (SGT1) Edward H Go, seorang anggota Perkhidmatan Negara sepenuh masa (NSF), rebah semasa memadamkan kebakaran di sebuah flat di HDB di Henderson Road pada Disember tahun lalu.

Beliau segera dibawa keluar dari unit tersebut dan diberikan resusitasi kardiopulmonari (CPR). Seorang anggota kakitangan ambulans SCDF turut menggunakan alat defibrilator luaran automatik ke atasnya sebelum membawa anggota bomba itu ke Hospital Besar Singapura (SGH), di mana beliau disahkan meninggal dunia.

SGT1 Goh merupakan anggota bomba pertama yang maut dalam satu operasi SCDF. Hasil bedah siasat mendapati punca kematiannya adalah disebabkan sesak nafas akibat tahap silinder udaranya menyusut.

Muhammad Kamil Mohamed Yasin, yang merupakan pegawai atasan SGT1 Goh, didakwa menyebabkan kecederaan teruk dengan meninggalkannya sendirian untuk memadamkan kebakaran, yang bertentangan dengan protokol SCDF.
KELEMAHAN DALAM OPERASI SEBELUMNYA

Encik Shanmugam berkata SCDF telah menubuhkan sebuah pasukan semakan dalaman untuk menjalankan kajian semula operasi memadam kebakaran tersebut, meliputi prosedur memadam kebakaran, keselamatan operasi, peralatan dan latihan.

Audit terhadap lebih 260 operasi memadam kebakaran pada 2021 dan 2022, di mana sekurang-kurangnya satu jet memadam kebakaran digunakan, juga mendapati bahawa meskipun operasi "sebahagian besarnya dijalankan dengan cekap dan selamat", terdapat kesilapan individu.

Ini termasuk keadaan di mana pegawai tidak memakai peralatan perlindungan diri atau tidak menggunakan alat pernafasan serba lengkap semasa operasi membasahkan permukaan yang terbakar sejurus selepas api dipadamkan untuk mengelakkannya daripada menyala semula.

SARANAN UNTUK PERTINGKAT KESELAMATAN OPERASI

Di samping alat pernafasan baharu, kamera di badan (BWC) juga akan diberikan kepada semua komander seksyen menjelang Mac 2024.

Buat masa ini, hanya pegawai yang dilantik sebagai timbalan komander rota dan yang berpangkat lebih tinggi diberikan kamera sedemikian.

"Penggunaan BWC secara meluas akan meningkatkan mutu semakan semula selepas operasi," jelas Encik Shanmugam.

"Menjelang pertengahan 2024, apabila kamera tersebut berupaya untuk menyiarkan secara langsung operasi memadam kebakaran di Pusat Operasi SCDF, ia juga dapat meningkatkan pemahaman lanjut mengenai keadaan semasa kejadian berlaku."

Pusat kawalan BACO juga telah dilaksanakan bagi semua kebakaran di unit kediaman sejak 18 September lalu.

Sementara itu, latihan juga akan diteruskan sebagai sebahagian daripada rutin harian anggota bomba, dengan ujian kecekapan tahunan untuk memastikan tahap kemahiran dan kecergasan mereka terus memenuhi piawaian yang diperlukan.

“Keselamatan semua kakitangan SCDF, sama ada mereka anggota tetap, NSF, NSmen atau Sukarelawan, adalah amat penting kepada kami,” tambah Encik Shanmugam.

"Kami akan terus memastikan mereka terlatih dan dilengkapi dengan peralatan untuk menjalankan tugas mereka, dengan selamat dan berkesan."
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita