Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

*SCAPE dedah ruang & konsep baru fokus kepada pembangunan belia

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: *SCAPE, mendedahkan rancangan untuk menyegarkan semula bangunannya untuk dijadikan ruang pembangunan belia yang menarik bagi semua peringkat usia. 

*SCAPE menyatakan dalam kenyataan medianya pada Rabu (27 Jul) bahawa ruang baru itu akan mengambil "pendekatan baru dalam pemprograman dan kerjasama, sebagai mengikuti trend belia yang berubah-ubah". 

Tambahnya, *SCAPE yang baru ini akan berfungsi sebagai hab di mana belia boleh "mencuba idea baru, menyerlahkan kreativiti mereka dan mendalami minat dalam sektor kreatif, digital dan teknologi, serta kemampanan". 

Konsep baru itu dijadual siap pada awal 2024. 

Ruang *SCAPE yang baru ini akan melengkapi kawasan Somerset dengan kedudukan barunya, menurut kenyataan media tersebut. 

"Ini akan menyumbang kepada pelan induk yang lebih luas lagi untuk menyuntik nafas baru kepada kawasan Somerset sebagai kawasan yang bertenaga untuk belia Singapura." 

PENGALAMAN DIPERTINGKAT

Bangunan lima tingkat *SCAPE yang baru itu akan dibahagikan kepada tiga zon utama.

Satu zon akan berfungsi sebagai ruang di mana usahawan muda akan berhimpun dan saling berkongsi idea, manakala lagi satu zon pula akan membenarkan masyarakat belia untuk menyerlahkan diri mereka melalui pelbagai cara dalam ekonomi kreatif. 

Zon ketiga pula merangkumi ruang digital dan fizikal, di mana pereka kreatif dan pencipta kandungan boleh bekerjasama. 

*SCAPE turut menyatakan para pengunjung boleh menjangkakan pengalaman baru beli-belah, hiburan dan rekreasi, sambil menambah bahawa perinciannya akan didedahkan kemudian. 

Pengarah Eksekutif *SCAPE Ivy Lim berkata: "Sejak ia dibangunkan, *SCAPE memainkan peranan penting bagi masyarakat muda Singapura dengan menyediakan wadah yang selamat untuk mengejar impian mereka." 

"Pendekatan baru untuk *SCAPE ini akan terus menyediakan ruang yang selamat bagi usahawan dan pereka kreatif sedang kami menuju ke arah memupuk generasi muda dan pintar yang seterusnya," tambah Cik Lim. 

Sepanjang setahun ia diubah suai, *SCAPE menyatakan ia akan terus mengadakan program seperti Anugerah Filem Belia Nasional, Hari Cuti Muzik! dan Biasiswa Kreatif untuk menyokong belia mengguna kreativiti mereka. 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan