SBS Transit teliti semula susun atur tempat buang air kecil di stesen MRT Farrer Park selepas dikritik online
Susun atur tempat buang air kecil di stesen MRT Farrer Park mengundang kritikan daripada para penumpang dan pengguna online, dengan pengendali pengangkutan SBS Transit kini meneliti kemungkinan untuk mengubah reka bentuk tersebut.
Tempat buang air kecil di tandas lelaki di stesen MRT Farrer Park. (Gambar: Facebook/Jack Sim)
Gambar yang tersebar online menunjukkan enam tempat buang air kecil dipasang berdekatan satu sama lain. Tempat buang air kecil yang dipasang bertentangan juga terlalu rapat untuk digunakan oleh dua orang pada masa yang sama dengan selesa, atau untuk orang lain berjalan di antaranya.
Gambar-gambar tersebut turut mengundang kritikan di platform-platform media sosial seperti Facebook dan Reddit, dengan para pengguna mempersoalkan bagaimana susun atur tersebut diluluskan.
Menjawab pertanyaan Mediacorp pada Khamis (3 Sep), SBS Transit menyatakan pihaknya sedia maklum mengenai perkara tersebut dan sedang meneliti kemungkinan untuk menambah baik susun atur itu.
"Sebarang kerja perlu dirancang dengan teliti bagi mengurangkan kesulitan kepada para penumpang," kata jurucakap SBS Transit Grace Wu. "Kami memohon kesabaran dan pengertian para penumpang kerana ia mungkin mengambil sedikit masa."
Pengasas Pertubuhan Tandas Sedunia, Encik Jack Sim, berkata dalam satu catatan Facebook pada Rabu bahawa beliau sudah mengunjungi tandas tersebut dan mendapati ia sukar bagi dua orang untuk berdiri di tempat buang air kecil yang bertentangan tanpa menyentuh belakang individu yang seorang lagi.
Encik Sim memberitahu Mediacorp bahawa ketika beliau melihat gambar tersebut secara online buat pertama kalinya, beliau menyangka ia mungkin sudah diubah secara digital, lalu pergi ke stesen tersebut untuk memeriksanya sendiri.
Beliau berkata reka bentuk dan pembinaan prasarana awam lazimnya perlu melalui beberapa peringkat kelulusan dan mempersoalkan bagaimana tempat buang air kecil itu boleh dibina dengan susun atur sedemikian.
"Dengan reka bentuk ini, pasti ada orang yang perlu berjalan masuk untuk menggunakan tempat buang air kecil di bahagian lebih dalam, dan sebelum dia boleh keluar, dia perlu menunggu orang lain selesai," kata beliau.
"Ruang laluan yang mencukupi sememangnya perlu disediakan."
Encik Sim, yang pertubuhannya menyediakan nasihat kepada penggubal dasar di serata dunia berhubung reka bentuk dan penyelenggaraan tandas, berkata "reka bentuk ini perlu disusun semula".
"Secara logiknya pun, kita tahu reka bentuk ini tidak sesuai."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.