Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

SBS Transit raih pendapatan kumpulan bernilai S$1.3 bilion pada 2021

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Pengendali pengangkutan awam SBS Transit pada Rabu (23 Feb) melaporkan pendapatan kumpulan bernilai S$1.3 bilion bagi tahun 2021, naik 6.5 peratus daripada lebih S$1.2 bilion pada tahun sebelumnya.

Dalam kenyataan medianya, SBS Transit turut menarik perhatian bahawa ia berhasil mengurangkan kerugian operasi sepanjang tahun dengan ketara, tidak termasuk bantuan pemerintah, dari S$29.8 juta pada 2020 kepada S$2.8 juta pada tahun lalu.

Prestasi lebih baik ini bagaimanapun diimbangi oleh kerugian sekali saja bernilai S$16 juta yang disebabkan oleh pelupusan 241 bas yang digantikan dengan bas-bas "baru dan lebih mesra alam" oleh Penguasa Pengangkutan Darat (LTA).

Walaupun bantuan yang dihulurkan oleh pemerintah adalah 48.7 peratus lebih rendah berbanding tahun 2020, SBS Transit menyatakan bantuan tersebut membantu mengurangkan sebahagian kesan kewangan yang buruk akibat COVID-19.

Kesan itu termasuk kemerosotan ketara pada jumlah penumpang berbanding paras sebelum COVID-19, rebat sewa yang diberikan kepada para penyewa serta perbelanjaan yang timbul daripada peningkatan kos pembersihan kenderaan dan premis.

Keuntungan bersih sepanjang tahun yang boleh diagihkan kepada pemegang saham merosot sebanyak S$27.3 juta atau 34.6 peratus kepada S$51.6 juta.

Ketua Eksekutif SBS Transit Cheng Siak Kian menarik perhatian syarikat itu akan terus menyaksikan penurunan pada jumlah penumpang yang menaiki bas dan MRT sedang lebih ramai orang bekerja dari rumah disebabkan oleh sekatan-sekatan COVID-19.

SBS Transit yang mempunyai lebih 3,000 bas dan mengendalikan 228 laluan bas serta tiga laluan kereta api turut mendedahkan bahawa pendapatan sepanjang tahun daripada perniagaan khidmat pengangkutan awam meningkat sebanyak 5.8 peratus atau S$69.5 juta kepada S$1.3 bilion tahun pada tahun lalu.

Sumber : CNA/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan