Skip to main content

Singapura

SBS Transit buka penginapan pertama SG khusus bagi pemandu bas

Pengendali pengangkutan SBS Transit memperkenalkan penginapan khas pertama Singapura khusus bagi pemandu bas.

Anggaran Waktu Membaca:
SBS Transit buka penginapan pertama SG khusus bagi pemandu bas

Pemandu bas, Tian Yinfu, di biliknya yang terletak di kemudahan penginapan baharu bagi para pemandu bas SBS Transit di Sengkang West. (Gambar: CNA/Justin Ong)

Diterbitkan : 29 Jun 2026 07:53PM Dikemas Kini : 29 Jun 2026 10:08PM
  • SBS Transit memperkenalkan penginapan khas pertama di Singapura untuk pemandu bas, terletak bersebelahan Depoh Bas Sengkang West.
  • Kemudahan lapan tingkat ini dinamakan SQ@Sengkang West dan kini menempatkan hampir 200 pemandu bas dari China.
  • Penginapan percuma ini menawarkan apartmen berhawa dingin, ruang makan, dapur, bilik permainan dan kemudahan dobi, dengan satu tingkat khas untuk pemandu wanita.
  • Pemandu hanya perlu membayar kos api air, manakala kos kemudahan setara dengan sewaan flat HDB.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Tempat penginapan khas pertama Singapura bagi pemandu bas menawarkan pelbagai kemudahan termasuk apartmen yang dilengkapi dengan sistem hawa dingin, ruang makan bersama dan bilik permainan.

Kemudahan setinggi lapan tingkat itu, yang dibuka oleh pengendali pengangkutan SBS Transit pada Isnin (29 Jun), turut menawarkan satu lagi kelebihan kerana ia terletak bersebelahan Depoh Bas Sengkang West, di mana kebanyakan penghuninya memulakan dan menamatkan syif mereka.

Dinamakan SQ@Sengkang West, kemudahan itu akan menempatkan para pemandu bas dari China. Hampir 200 orang sudah pun menetap di kemudahan tersebut.

Penginapan disediakan secara percuma sebagai sebahagian daripada syarat pekerjaan mereka, namun para pemandu perlu menanggung kos api air.

Kemudahan itu mempunyai sebanyak 234 katil yang ditempatkan di 39 unit apartmen. Setiap apartmen boleh menempatkan sehingga enam penghuni dalam tiga bilik tidur, selain dilengkapi dengan ruang makan, dapur dan kemudahan dobi yang dikongsi bersama. Satu tingkat dikhaskan bagi pemandu bas wanita.

Bilik tidurnya dikongsi oleh dua penghuni dan dilengkapi sistem hawa dingin, kipas siling serta ruang untuk menyimpan barangan. Dapurnya juga dilengkapi dapur gas, peti sejuk, peralatan memasak, pinggan mangkuk dan peralatan makan.

Kawasan dobi pula dilengkapi mesin basuh, mesin pengering dan rak pakaian.

Ruang bersama merangkumi sebuah bilik serbaguna untuk permainan seperti karom dan tenis meja. Perkhidmatan penghantaran barangan runcit juga disediakan. Minuman beralkohol tidak dibenarkan di premis tersebut, manakala sebuah bilik rawatan yang mesra kerusi roda disediakan untuk memberi sokongan perubatan apabila diperlukan.

Kemudahan itu akan diuruskan oleh pengendali penginapan bersama, Coliwoo.

SBS Transit lazimnya menyediakan penginapan bagi para pemandu berkenaan sebagai sebahagian daripada syarat pekerjaan mereka, dengan menempatkan mereka di flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) berhampiran hab pertukaran bas atau depoh, jika boleh.

Menurut pengendali itu, kos kemudahan baharu tersebut adalah setara dengan kos sewaan unit HDB.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan SBS Transit, Jeffrey Sim, berkata bangunan itu dibangunkan oleh Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) bersama depoh tersebut, dengan mengambil kira maklum balas yang diterima daripada para pemandu bas.

"Kami percaya mereka yang akan tinggal di sini merupakan individu yang paling tahu tentang ciri-ciri yang menjadikan sesebuah tempat itu selesa dan mesra untuk didiami," kata beliau.

Encik Sim menambah bahawa Setiausaha Eksekutif Kesatuan Pekerja Pengangkutan Kebangsaan (NTWU), Yeo Wan Ling, turut memberikan pandangan praktikal mengenai keperluan penghuni.

Menurut beliau, kelebihan paling ketara ialah kemudahan untuk melakukan perjalanan ke tempat kerja.

"Tinggal bersebelahan depoh bermakna masa perjalanan antara rumah dengan tempat kerja hampir sifar," kata beliau.

"Masa yang dijimatkan kini boleh digunakan untuk berehat, bersenam, melakukan hobi, menyediakan makanan atau sekadar meluangkan masa bersama rakan-rakan dan rakan sekerja."

Pemandu bas Tian Yinfu, 55 tahun, yang berpindah masuk pada Mei lalu, berkata kemudahan baharu itu memberinya lebih banyak masa untuk berehat. Sebelum ini, beliau tinggal di sebuah flat HDB di Hougang dan mengambil masa kira-kira 20 minit untuk ke tempat kerja menaiki bas ulang-alik yang disediakan bagi kakitangan.

Dahulu beliau perlu bangun pada pukul 5.00 pagi bagi syif paling awal, namun kini beliau boleh tidur sehingga pukul 5.40 pagi.

"Keseluruhan persekitarannya sangat baik. Saya boleh memasak, mandi dan terus pulang ke sini sebaik sahaja selesai bekerja," kata warga China itu, yang sudah menjadi pemandu bas selama 17 tahun.

Depoh Bas Sengkang West dibuka pada Januari 2025 sebagai depoh bertingkat pertama yang menyokong penggunaan bas elektrik secara besar-besaran.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita