Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

SBS, SMRT buat permohonan semak tambang kereta api

Syarikat Pengendali kereta api SBS Transit dan SMRT Trains mengemukakan permohonan kepada Majlis Pengangkutan Awam (PTC) bagi kenaikan tambang kereta api.

Anggaran Waktu Membaca:
SBS, SMRT buat permohonan semak tambang kereta api

Gambar fail kereta api SMRT. (Gambar: Roslan Rahman/AFP)

Diterbitkan : 23 Sep 2019 11:58PM Dikemas Kini : 24 Sep 2019 12:05AM

SINGAPURA: Syarikat Pengendali kereta api SBS Transit dan SMRT Trains mengemukakan permohonan kepada Majlis Pengangkutan Awam (PTC) bagi kenaikan tambang kereta api.

Dalam satu kenyataan, jurucakap majlis itu mengesahkan bahawa ia sudahpun menerima permohonan tambang dari kedua-dua pengendali tersebut.

Awal bulan ini, PTC mengumumkan bahawa tambang pengangkutan awam mungkin naik sehingga 7 peratus dalam semakan tambang tahun ini. Tambang naik 4.3 peratus tahun lalu, selepas tiga tahun dikurangkan.

Kenaikan harga tenaga baru-baru ini adalah salah satu faktor penyumbang kepada kenaikan tersebut. Kos operasi kereta api juga meningkat disebabkan peningkatan perkhidmatan, menurut PTC.

Permohonan itu hanya tertakluk pada kenaikan tambang kereta api kerana Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) kini memiliki aset tetap dan operasi untuk bas. Pengendali dibayar jumlah tetap untuk menyediakan perkhidmatan di bawah model kontrak bas.

SBS Transit mengesahkan sudah menyampaikan permohonan bagi semakan tambang dalam satu kenyataan pada hari Isnin (23 Sep) tetapi tidak berkongsi butirannya.

"Kos operasi kereta api semakin meningkat disebabkan terutamanya oleh kos pembaikan dan penyenggaraan yang lebih tinggi. Akibatnya, SBS Transit terus menanggung kerugian walaupun jumlah penumpang meningkat," katanya.

"Diharapkan kenaikan tambang akan membantu mengurangkan beberapa peningkatan kos ini."

CEO SMRT Trains Lee Ling Wee pula berkata syarikat itu menyokong kenaikan tambang 7 peratus bagi memastikan "prestasi tinggi dan kemampanan perkhidmatan kereta api".

PTC akan mengumumkan keputusannya mengenai penyesuaian tambang pada suku terakhir 2019, kata jurucakap itu.

Dengan kenaikan tambang sebanyak 7 peratus itu, penumpang perlu membayar 9 atau 10 sen lebih bagi setiap perjalanan.

Sumber : CNA/SU/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan