'Sayu, syahdu, penuh keinsafan': Jemaah haji SG kongsi pengalaman wukuf di Arafah
Suasana sewaktu hampir matahari terbenam, beberapa minit sebelum waktu mustajab doa berakhir. (Gambar: Nadirah Rauzani)
Itulah yang digambarkan oleh Cik Nadirah Rauzani, 39 tahun, mengenai detik-detik kemuncak haji di Arafah pada Khamis (5 Jun).
Cik Nadirah merupakan salah seorang jemaah haji Singapura yang berkongsi dengan BERITA Mediacorp mengenai pengalaman berwukuf di Arafah pada Khamis malam. Kedua-duanya jemaah haji kali pertama.
"Kami dapat lihat rata-rata semua jemaah menadah tangan memohon keampunan, dengan bersungguh-sungguh, menitiskan air mata, mengharap keampunanNya.
"Bagi saya, rasa bagai mimpi berada di Arafah, rasa tidak layak dijemput Allah, tapi Allah Maha Baik, sentiasa tidak pernah berkira-kira dengan sifat rahim dan rahmanNya," cerita Cik Nadirah, yang menunaikan haji bersama suaminya.
Bagi seorang lagi jemaah Singapura, Cik Salmi Mubari, perasaan beliau bercampur baur, menyaksikan suasana ketika kemuncak haji itu.
"Sedih, gembira, bersyukur, takut dan orang selalu cakap, Arafah ini macam padang mahsyar nanti..tapi, bila dibandingkan hari ini dengan padang mahsyar... masih tak boleh dibayangkan macam mana nanti kita di sana... semoga segala amalan baik dan ibadah kami diterima," kata Cik Salmi, 41 tahun.
“Walau seberapa bersedia pun kita, kita tidak akan pernah benar-benar bersedia. Kita boleh melatih fizikal, minda, dan emosi.. tetapi tiada apa yang benar-benar dapat mempersiap kita apabila kita berada di sini secara fizikalnya,” tambah beliau.
Semua ini dilakukan dengan rendah hati serta kesabaran yang tinggi di tengah-tengah cuaca panas antara 40 hingga 42 darjah Celsius.
'Lockdown' merujuk kepada langkah di mana para jemaah dinasihatkan supaya kekal berada di dalam khemah masing-masing dan mengelakkan daripada terdedah kepada suhu panas melampau, khususnya antara pukul 10.00 pagi hingga pukul 4.00 petang.
"Walaupun cuaca panas, semua jemaah Singapura tetap menantikan untuk ambil sunnah dan berdoa di bawah langit, yang mana kami tunggu sehingga selepas 'lockdown' berakhir pada pukul 4.00 petang. Namun pada waktu itu masih juga panas, jadi kita lebihkan sejam lagi untuk keluar dan berdoa.
"Susun atur Arafah kali ini menggambarkan jemaah kebanyakannya gembira dan sihat semuanya. Alhamdulillah," kata Cik Nadirah yang akan pulang ke tanah air pada 18 Jun.
Cik Salmi Mubari, juga berkata banyak perubahan dilihat di Arafah tahun ini.
"Banding cerita-cerita daripada orang-orang tua kita, tahun ni, khemah-khemah sudah dibaik pulih dan dilengkapi dengan penghawa dingin dan kipas. Tempat duduk yang boleh jadi tilam untuk tidur, bantal dan selimut juga disediakan untuk para jemaah. Di luar khemah tempat duduk berbumbung juga disediakan.
"Minuman sejuk juga disediakan. Secara ringkas, kemudahan banyak tersedia berbanding dengan tahun-tahun yang lalu," kata Cik Salmi, yang menunaikan haji bersama abang, sahabat baik abangnya dan dua sepupu mereka.
"Kami tak keluar sangat dari khemah (antara pukul 10.00 pagi hingga 4.00 petang) kecuali untuk ke tandas ataupun ambil minuman. Jadi, kami kebanyakannya patuhi arahan dan duduk di dalam khemah. Tapi... memandangkan cuaca Subhanallah terik, penghawa dingin dan kipas pun tak berapa rasa," cerita beliau.
Cik Nadirah pula berkata: "Kalau nak keluar ke tandas dalam tempoh 'lockdown', kita bawa teman, gunakan payung atau topi yang dibawa dari Singapura. Boleh tahan (suhunya). Alhamdulillah sebab keadaan khemah lengkap dengan penghawa dingin, cuma sesekali rasa juga bahang dari luar."
OPERASI PERGERAKAN JEMAAH LANCAR, IKUT JADUAL
Kementerian Haji dan Umrah Saudi pada Khamis mengumumkan kejayaan operasi pergerakan jemaah haji ke Gunung Arafah pada hari kesembilan Zulhijjah, mengesahkan bahawa operasi berjalan lancar dan mengikut jadual, lapor Saudi Gazette.
Proses ini dikendalikan di bawah model operasi bersepadu yang menghubungkan agensi perkhidmatan dan kawal selia melalui Pusat Operasi dan Penghantaran Bersama — salah satu inovasi paling ketara dalam musim haji tahun ini.
Jemaah haji dibawa menggunakan bas moden dan Kereta Api Mashair, di bawah jadual waktu yang ketat dan kawalan keselamatan yang tinggi, memastikan pengagihan yang teratur di seluruh khemah Arafah tanpa kesesakan yang ketara.
Usaha ini adalah sebahagian daripada strategi menyeluruh yang dibangunkan oleh kementerian berkenaan untuk menguruskan aliran jemaah haji sepanjang musim haji 1446 Hijrah, lapor Saudi Gazette.
Ia termasuk simulasi lanjutan untuk persediaan pelbagai senario, penilaian kesiapsiagaan pasukan lapangan, dan penyelarasan rapat antara agensi-agensi yang terlibat.
Kecerdasan buatan (AI) digunakan untuk menganalisis data masa nyata dan meramalkan zon kepadatan jemaah, membolehkan pengalihan dinamik kumpulan jemaah haji mengikut keperluan.
Pusat pemantauan dan kawalan 24 jam yang disokong oleh rangkaian kamera bijak membolehkan fungsi membuat keputusan dengan serta-merta dalam koordinasi dengan pihak berkuasa keselamatan dan perkhidmatan.
Kad digital "Nusuk" juga memainkan peranan penting dalam menguruskan pergerakan jemaah haji, lapor Saudi Gazette.
Dihubungkan dengan platform "Nusuk" dan "Tawakkalna", kod QR bersepadu pada kad tersebut membolehkan pengesanan keluar masuk jemaah haji di tapak-tapak suci, meningkatkan ketepatan masa dan kawalan orang ramai.
Kementerian itu turut menyatakan bahawa kejayaan pemindahan Arafah ini menandakan pencapaian penting dalam operasi haji tahun ini dan menjadi penanda aras bagi fasa-fasa seterusnya — termasuk pergerakan ke Muzdalifah dan ibadah melontar jamrah di Mina — sebagai sebahagian daripada model operasi yang mampan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.