Sayap Wanita PAP, PAP Muda bentangkan 12 saranan berhubung isu wanita
Menyediakan rangkaian sokongan bagi wanita kembali ke alam pekerjaan, membantu wanita menyertai sektor berkembang dan mengadakan satu rangkaian sokongan bagi ibu-ibu tunggal.
SINGAPURA: Menyediakan rangkaian sokongan bagi wanita kembali ke alam pekerjaan, membantu wanita menyertai sektor berkembang dan mengadakan satu rangkaian sokongan bagi ibu-ibu tunggal.
Demikian antara 12 saranan yang dibentangkan dalam satu kertas kerja oleh Sayap Wanita Parti Tindakan Rakyat (PAP) dan PAP Muda bagi menangani isu-isu yang menjejas wanita Singapura hari ini.
Jika dilaksanakan, 12 saranan itu dapat membantu kaum hawa berjaya dalam setiap aspek kehidupan dan diharap dapat dipertimbangkan pemerintah apabila menghasilkan Kertas Putih kelak.
1,500 CADANGAN CETUS 12 SARANAN
Menerusi tinjauan dan sesi-sesi dialog yang dijalankan sepanjang tahun lalu, Sayap Wanita PAP dan PAP Muda mengumpul cadangan dan pandangan daripada lebih 1,500 anggota masyarakat, aktivis parti dan rakan masyarakat berhubung isu-isu berkaitan wanita.
Kedua-dua sayap PAP itu mengenal pasti tiga bidang utama, iaitu memberi lebih banyak pilihan kepada wanita, menggalak perkongsian tanggungjawab lebih sama rata antara lelaki dan wanita dalam menjaga orang tua dan anak-anak serta mengubah pemikiran bagi memajukan pembangunan wanita.
Menerusi tiga aspek itu, 12 saranan dikemukakan dalam satu kertas kerja bersama hari ini (29 Jul).
Menteri Perhubungan dan Penerangan Josephine Teo yang juga merupakan Pengerusi Sayap Wanita PAP berkongsi wujud peralihan yang menunjukkan pembangunan wanita bukan sahaja melibatkan kaum wanita sahaja.
"Kami mendapati ramai lelaki menyertai perbincangan ini secara aktif dan mereka berminat dalam proses ini. Malah, sebilangan cadangan dan saranan daripada perbincangan-perbincangan tersebut adalah daripada kaum lelaki sendiri.
"Ini menunjukkan masyarakat yang semakin matang," kata Cik Teo.
WUJUD JURANG PENDAPATAN ANTARA WANITA DAN LELAKI
Penasihat Sayap Wanita PAP pula berkata masih terdapat jurang pendapatan antara kaum lelaki dan kaum wanita.
Malah dalam kajian yang dilakukan Kementerian Tenaga Kerja awal tahun lalu, pendapatan wanita di Singapura enam peratus lebih rendah berbanding kaum lelaki yang memegang jawatan yang sama dengan mereka pada tahun 2018.
Ini bermakna kaum wanita mendapat $342 lebih rendah bagi gaji bulanan median berbanding lelaki dalam jawatan kerja yang serupa.
"Kita lihat adanya jurang pendapatan antara kaum lelaki dan kaum wanita dan ini kita rasa ini perlu kita lakukan untuk mendorong dan menggalak kaum wanita untuk membina kerjaya dalam sektor-sektor yang akan membangun.
"Kita rasa ini perlu kita lakukan dengan lebih awal dengan misalnya memberikan sokongan kepada pelajar-pelajar untuk mengetahui tentang kerjaya dalam sektor-sektor ini, memberikan sokongan mentor dan juga membawakan juga syarikat-syarikat untuk memberikan sokongan membawa pekerja-pekerja wanita dalam sektor-sektor ini," jelas Setiausaha Parlimen Perhubungan dan Penerangan merangkap Kesihatan Rahayu Mahzam.
GALAK PEMBEKUAN SEL TELUR WANITA, BANTU WANITA KEMBALI BEKERJA
Selain itu, lagi satu saranan yang dikemukakan ialah untuk membenarkan pembekuan sel telur wanita.
Buat masa ini, langkah sedemikian hanya dibolehkan atas dasar perubatan, seperti wanita yang perlu menjalani rawatan barah, yang boleh menjejas kesuburannya.
Sekiranya pembekuan sel telur wanita itu dibolehkan tanpa dasar perubatan, ia dapat mengekalkan kualiti sel tersebut pada usia yang muda dan memberi wanita lebih banyak pilihan pada masa depan.
Sokongan kewangan bagi mereka yang menjaga orang tua juga disarankan, selain mempertingkatkan usaha untuk membantu wanita menyertai dan maju dalam sektor membangun serta bekerjasama dengan pertubuhan dan majikan bagi menyokong wanita untuk kembali bekerja.
"Kalau kita lihat antara isu dalam masyarakat kita adalah juga tentang wanita yang mungkin telah keluar daripada pekerjaan kerana ingin menjaga anak-anak mereka dan keluarga mereka dan mereka mungkin tidak kembali masuk dalam sektor pekerjaan.
"Jadi kita ingin lihat bantuan khusus diberikan kepada wanita-wanita ini agar mereka terus mendapatkan sokongan agar mereka tahu bagaimana untuk mendapatkan informasi untuk terus membina kerjaya selepas mungkin berhenti seketika menjaga anak mereka," jelas Cik Rahayu.
Usaha ini, kata beliau, diharap dapat membantu pemerintah memperbaiki dasar-dasar dan merubah kehidupan masyarakat dan kaum wanita khususnya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.