'Saya tidak gila, berilah saya peluang,' luah 2 individu pernah bergelut dengan isu kesihatan mental
Orangnya secara semula jadi kelihatan cantik. Ini walaupun tanpa secalit kosmetik. Suka buat orang ketawa. Namun beliau sendiri tidak bahagia ... walaupun bergelar pempengaruh atau ‘influencer’ di media sosial TikTok.

Elvina Miza Anne Jasni (kiri) dan Ridzuan Mohd Yunos (kanan) adalah dua pekerja yang boleh dianggap wira dalam usaha menghapuskan stigma isu kesihatan mental.
BERITAmediacorp: Orangnya secara semula jadi kelihatan cantik. Ini walaupun tanpa secalit kosmetik. Suka buat orang ketawa. Namun beliau sendiri tidak bahagia ... walaupun bergelar pempengaruh atau ‘influencer’ di media sosial TikTok.
Yang seorang lagi pula tinggi lampai, baik budi bahasanya, berwibawa. Pekerja contoh ini suka membantu walaupun menyimpan pelbagai cerita duka.
Ridzuan Mohd Yunos, 38 tahun dan Elvina Miza Anne Jasni, 19 tahun adalah dua pekerja yang boleh dianggap wira dalam usaha menghapuskan stigma. Namun lebih penting lagi, untuk menunjukkan bahawa golongan pekerja seperti mereka juga penting – terutama dalam pasaran kerja tempatan yang semakin ketat. Ini, walaupun mereka sendiri sedang menangani masalah kesihatan mental - paranoia, skizofrenia, kemurungan dan kegelisahan.
NILAI GOLONGAN PEKERJA DENGAN ISU KESIHATAN MENTAL
Perangkaan oleh Majlis Khidmat Sosial Kebangsaan (NCSS) pada 2017 menunjukkan bagi setiap S$1 yang dilaburkan dalam usaha menyesuaikan mereka di tempat kerja seperti melaksanakan aturan kerja fleksibel dan saluran untuk mendapatkan kaunseling, majikan mendapat pulangan S$5.60.
Terletak di Chai Chee, badan kebajikan Free Food For All (FFFA) mula menggajikan pekerja yang mengalami cabaran kesihatan mental sejak September 2020. Ia didorong komitmen FFFA untuk membantu golongan terpinggir. Ahli Lembaga Pengarahnya, Cik Faiszah Abdul Hamid menjelaskan, “Kerana ini sealiran dengan misi FFFA untuk memperkasa. Kita mahu semua benefisiari yang kita bantu agar tidak sentiasa menerima bantuan tetapi juga keluar daripada status sekarang. Mungkin dengan kita memberikan pekerjaan, mereka mempunyai upaya untuk keluar daripada status kemiskinan. Dan agar pada masa hadapan, mereka boleh membantu yang lain.”

Ahli Lembaga Pengarah FFFA Faiszah Abdul Hamid.
Yang terkini dibantu FFFA ialah Elvina, pempengaruh TikTok yang mampu menarik hampir 43,000 peminat dan memikat lebih 1.2 juta ‘Likes’. Kemampuannya menghasilkan kandungan media sosial yang kreatif dilihat sebagai bernilai. Lebih bernilai daripada dugaan mental - kegelisahan dan kemurungan yang dialaminya. Bakat Elvina ini sedang diasah dan digilap FFFA agar beliau berupaya melakar dan menerbitkan kandungan-kandungan video. Ia sebahagian daripada usaha FFFA untuk mendampingi golongan muda, menarik lebih ramai untuk bergotong-royong membantu golongan susah.
KENAL PASTI KEKUATAN DAN BIMBING HINGGA CEMERLANG
Menurut penilaian Cik Faiszah: “Kami kenal pasti Elvina banyak potensi. Orangnya kreatif, riang. Jadi kita mahu memberi petunjuk atau membimbingnya. Kita akan memadankannya dengan seorang pekerja lebih berpengalaman - yang lebih matang, lebih berumur. Semoga dapat memberikan sokongan emosi kepada Elvina.”
Tambah Elvina, “Kerana saya boleh berlakon dan mereka kandungan semua, saya boleh tolong FFFA buat pengisian video. Dengan gaji sepenuh masa, saya boleh dapat CPF. Selain daripada itu, saya boleh menolong ibu bapa saya, membayar bil rumah, membayar hutang.
PEKERJAAN IBARAT TERAPI BAGI PESAKIT MENTAL
Menurut para pakar, bagi golongan yang sakit mental, pekerjaan bukan sahaja sumber rezeki, tetapi lebih penting lagi, memperkasa dan menawarkan rutin harian yang diperlukan. Mendapatkan semula maruah diri, membuat mereka rasa berguna dan dihargai. Pokoknya, pekerjaan adalah terapi yang penting. Seperti halnya Elvina, yang sejak empat tahun lalu sudah menjalani sesi-sesi kaunseling dan terapi setelah mengalami kemurungan dan kegelisahan.
Ruang media sosial TikTok menjadi medan Elvina menonjolkan sisi cerianya. “Sewaktu membesar, media massa seolah-olah memutarbelitkan persepsi saya. Contohnya, saya tidak sayangi diri sendiri. Sebaliknya bergantung kepada pujian orang lain untuk sahkan harga diri saya.”

Elvina mendapat sokongan daripada FFFA.
Selepas sekolah menengah, Elvina melanjutkan pendidikan di ITE. Namun beliau gagal menamatkan pengajiannya kerana dibelenggu masalah kesihatan mental. Elvina kini bertekad untuk tidak mensia-siakan peluang kerja yang diberikan oleh FFFA: “Apabila Free Food for All tahu yang saya berhenti sekolah, mereka beri peluang untuk saya bekerja di sini dan dapat gaji untuk menyokong diri sendiri. Selain dari itu, saya boleh dapat pengalaman kerja lebih-lebih lagi kerana apabila saya dewasa nanti, saya mahu bekerja dalam bidang psikologi dan FFFA boleh membantu saya.”
Usaha meningkatkan kesedaran terhadap isu kesihatan mental di Singapura menjadi semakin menggenting di tengah-tengah pandemik ini. Jurulatih bebas Cik Salmah menjelaskan, “Di Singapura perangkaan tahun 2016 menunjukkan daripada setiap tujuh orang, ada seorang di antara kita ini yang pernah mengalami kemurungan atau sakit mental lain. Kerana orang yang bermasalah mental ini mereka perlukan pekerjaan. Bila mereka ada kerja, mereka lebih mantap.”
MASANYA SUDAH TIBA UNTUK BINCANG ISU SAKIT MENTAL SECARA TERBUKA
Sehubungan itu, tambah Cik Salmah, sudah tiba masanya isu penyakit mental dibincangkan secara terbuka. “Jika kita boleh mengambil pekerja OKU - Orang Kurang Upaya, kenapa kita tak boleh ambil pekerja yang punya masalah mental? Kita selalu cakap kita mesti inklusif. Mesti jadi masyarakat inklusif. Jadi majikan atau syarikat-syarikat perlu mengetahui yang orang yang mempunyai masalah mental ini, mereka boleh bekerja seperti kita juga.”
Elvina yang sudah bekerja secara sambilan sejak berusia 14 tahun mendedahkan, “Pernah suatu hari, saya sedang kerja di sebuah restoran yang hari itu ada ramai pelanggan. Saya berasa begitu tertekan, rasa sudah tidak boleh bernafas, saya meminta izin daripada pengurus saya untuk pergi ke tandas. Saya perlu tenangkan diri. Tetapi pengurus saya tidak mengizinkan. Katanya lepaskan pelanggan yang ramai itu dahulu. Saya sudah terasa hendak menangis, tetapi saya gagahi juga dan melayani dulu pelanggan yang ramai sehingga selesai, walaupun kaki saya menggigil dan badan saya menggeletar. Selepas itu, barulah saya dapat ke tandas dan menangis sehendak hati.”
TEKANAN MUSUH UTAMA, KELONGGARAN DAN SISTEM SOKONGAN MEMBANTU
Keadaan seperti ini dapat diatasi jika pihak syarikat bersedia memberi kelonggaran dan meningkatkan sokongan untuk pekerja sedemikian. Jelas jurulatih daya kerja, Cik Salmah “Kita boleh beri mereka masa kerja fleksibel. Kadang-kadang, keadaan mereka serius. Perlu ke doktor, mungkin perlu rehat, perlu keluar daripada persekitaran yang menekan.

Salmah Samion (tengah).
“Jika kita mengeluarkan sedikit dana untuk mungkin menggajikan seseorang yang terlatih atau melatih seorang pekerja untuk mengawasi pekerja yang mempunyai masalah mental, kenapa tidak?”
Menerapkan waktu kerja fleksibel juga antara kelonggaran yang diberikan oleh badan kebajikan Free Food For All dalam menggajikan pekerja dengan cabaran kesihatan mental.
Ahli Lembaga Pengarah FFFA, Cik Faiszah berkongsi: “Kita mahu memberi lebih banyak kelonggaran. Kita mahu memberikan peluang-peluang pekerjaan macam ini supaya kita boleh menyesuaikannya dengan keperluan mereka, itu pertama. Kedua, kita akan beri mereka latihan-latihan seperti psikososial, seperti latihan mengenali diri sendiri.”
Apa yang perlu kini adalah merubah persepsi masyarakat terhadap isu penyakit mental dan pekerjaan. Menurut Cik Faiszah yang juga seorang jurulatih psikologi, “Kita harus lebih mempertingkat usaha untuk membasmi stigma ini. Kesedaran mesti diwujudkan, perbincangan yang meluas tentang masalah ini juga harus dilakukan.”
Dengan pekerjaan tetap yang diberikan, Elvina sudah mula yakin diri. Beliau mahu mencipta masa depan lebih baik untuk dirinya sendiri dan juga keluarganya. “Saya harap orang sedar yang semua orang boleh dapat masalah kesihatan mental. Jadi saya harap semua orang tahu yang mereka tidak keseorangan kalau mereka mengalami masalah kesihatan mental. Supaya mereka boleh mendapatkan bantuan.”
BERJAYA KERANA ENGGAN MENGAKU KALAH
Di pejabat cawangan Woodlands Club HEAL yang terletak di kolong sebuah flat berdekatan stesen MRT Marsiling, Ridzuan Yunos, mengenang kembali bagaimana beliau pernah beberapa kali dirawat di Institut Kesihatan Mental (IMH) disebabkan oleh Skizofrenia Paranoid.
Didiagnosis semuda 18 tahun membuat masa depannya kelihatan suram. Mujur Ridzuan tidak menyerah kalah. “Keluar dari IMH, saya tekadkan diri saya. Saya cakap, saya nak berubah!”
Pada usia 20-an tahun, Ridzuan mula bekerja dalam sektor F&B. “Mereka tanya: kenapa kau ada janji temu dengan doktor? Saya cakap, sebab saya sakit. Sakit apa kau ada? Saya cakap saya ada Paranoid Schizophrenia. Mulai dari situ saya kena ‘stigmatise’ - diaibkan. Teruk benarkah sakit mental ini sampai orang aibkan saya, ejek-ejek saya? Mereka buli saya di tempat kerja. Mereka panggil saya ‘gila’.”
AIB YANG MEMBINASA
Menggambarkan antara gangguan mental yang dihadapi dan perlu diatasi dengan ubat-ubatan, “Kalau saya kena cetusan gangguan paranoia misalnya, saya akan merasa tempat ini macam tidak selamat, saya rasa takut. Kalau saya ternampak seseorang yang ada tatu misalnya, saya akan fikir seolah-olah ada samseng di luar, mereka sedang tunggu saya dan nak pukul saya!”

Ridzuan Yunos (kiri) menghadapi pelbagai cabaran untuk bangkit daripada sakit mental yang dialaminya.
Akibat berasa tertekan, kesihatan mental Ridzuan terganggu serius sehingga dimasukkan lagi ke IMH. Pada 2012, doktor psikiatriknya mencadangkan beliau memasuki ward pemulihan selama dua bulan bernama ‘Stepping Stone’.
Untuk menjadi 'okey', Ridzuan sedar beliau perlu memperkasa diri dengan kemahiran serta ilmu. “Daripada situ saya belajar macam mana keadaan saya, ubat-ubatan, kemahiran berkomunikasi, adab-adab di luar sanalah. Macam-macam kemahiran hidup semasa dua bulan di sana. Selepas itu kita ada ujian.”
BERTEKAD UNTUK MENJADI OKEY
Berkat azam dan kesungguhannya, Ridzuan lulus. “Selepas keluar dari IMH, saya tekadkan diri. Saya cakap, saya nak berubah untuk diri saya. Untuk buktikan kepada masyarakat, bahawa orang-orang yang sakit mental ni sama macam orang-orang lain.”
Mujur, pada 2015 Ridzuan mula mengenali badan masyarakat Club HEAL. Titik perkenalan itu beliau sifatkan sebagai pengubah jalan hidupnya.
PROGRAM KEMBALI BEKERJA
Pada 2019 Club HEAL memulakan program Kembali Bekerja kerana sedar pentingnya pekerjaan dalam membantu pemulihan golongan yang mempunyai masalah mental. Mengenang pengalamannya sendiri sejak didiagnosa, Ridzuan mendedahkan, “Mereka dah lama tak bekerja di luar disebabkan penyakit ini. Jadi mereka tiada keyakinan diri. Mereka belum boleh bekerja tetap. Macam saya ini – bekerja sambilan dulu kan? Saya latih diri untuk cari ilmu yang perlu. Disiplinkan diri - dua jam sebelum pergi kerja, kena bersiap, mandi, sarapan, mesti sampai kerja 20 minit sebelum masa kerja bermula..
“Setelah didiagnosa, makan ubat, kami berubah. Amalan harian sebelum ini pun kita tak ingat lagi. Jadi, kami perlu belajar dan perlu rutin seharian. Dulu saya nak bangun pun susah sebab suntikan ubat yang saya ambil itu membuat saya tidur selama tiga hari!”
Cik Yang Chek Salikin, Pengarah Eksekutif (Klinikal) Club HEAL menerangkan, “Program Kembali Bekerja bermula pada tahun 2019. Pada masa itu, kita ada dalam 16 orang peserta, tetapi sekarang kita telah ada 32. Daripada 32 ini, 38% mendapat pekerjaan. 10% bekerja di luar sebagai teknisyen, yang ada pembantu pembersihan, pembantu tempat makan - medan selera. Yang seorang bekerja sebagai pemeriksa pengambilan suhu badan. Yang 28% itu bekerja di Club HEAL sebagai Eksekutif Rancangan.”

Yang Chek Salikin.
Seperti pekerja lain, sepanjang lima tahun bekerja di Club HEAL, Ridzuan juga mendapat kenaikan gaji, pangkat serta jawatan - sehingga kini menjadi Pegawai Sokongan Pekerjaan. Tugasnya melatih, memantau dan berkongsi pengalaman.
“Selepas ini saya nak tingkatkan pencapaian diri saya. Kalau boleh, saya nak ambil diploma ke. Saya belum dapat diploma atau ijazah. Saya baru ada sijil ITE saja.“
BANTU YANG TIDAK OK UNTUK MENJADI OK
Pengalaman Ridzuan membuktikan, mereka yang ada masalah mental mampu membina kerjaya dan menyumbang, jika diberi peluang. Sebagai Pegawai Sokongan Pekerjaan, Ridzuan diberi peluang membantu para peserta Club HEAL seperti Syarafana Mohd Khir, gadis 21 tahun yang dicabar dengan isu kemurungan, trauma dan kegelisahan.
“Saya bahagia juga sebab ada benda nak buat. Sebab kalau tak, macam rasa murung sangat-sangat. Sebab tak tahu apa nak buat ini semua. Menolong saya untuk mengalihkan tumpuan saya daripada berfikir yang bukan-bukan.“
Lebih penting lagi, Syarafana dilengkapkan dengan kemahiran bekerja menerusi program Kembali Bekerja.
PROGRAM KEMBALI BEKERJA YANG PADAT DENGAN MANFAAT
“Program ‘Back to Work ini - mereka ajar saya macam mana nak berbual dengan orang dan cara berpakaian saya serta kebersihan peribadi saya. Jurulatih Ridzuan beri beberapa panduan apa yang perlu saya cakap dan tangani - keadaan di luar, contohnya. Ada beberapa perkara yang membantu sebab saya tahu apa kelemahan saya untuk menghadapi situasi yang saya tak pernah hadapi.”
Sokongan lanjutan turut disediakan kepada mereka yang berjaya diterima majikan. Di sinilah Ridzuan berperanan untuk sering turun padang membantu mereka yang mungkin ada masalah penyesuaian di tempat kerja.
“Kita mengajar mereka kemahiran berkomunikasi - komunikasi di luar, di tempat kerja. Dan lagi satu ialah Pelan Kesejahteraan atau ‘Wellness Plan’ - subjek tentang kesejahteraan diri kita sendiri lah. Macam mana kita mengatasi gejala-gejala penyakit kita, tentang ubat-ubatan, apa sepatutnya kita buat."
“Menjalankan pekerjaan ini, saya rasa macam ‘aku ini bukan orang sakit, tetapi aku menolong pula orang lain untuk boleh kembali bekerja’. Saya rasa suatu pencapaian!”
KEBAIKAN DIBALAS DENGAN KEBAIKAN
Syarafana berharap mendapat pekerjaan dalam bidang F&B, “Sebab saya punya orang memang tak suka duduk diam. Suka bergerak sana sini. Atau kalau tidak F&B juga, saya minat bidang jagaan kesihatan atau apa-apa pekerjaan pun yang buat saya bergerak.”
Malah, meskipun belum tamat latihan mahupun mendapat pekerjaan, Syarafana sudahpun terangsang untuk menanam tekad sebaik sahaja mendapat pekerjaan, “Saya nak belanja keluarga saya sebab saya nak mereka rasa apa yang saya tak pernah beri kepada mereka. Nak mereka rasa hasil pencapaian saya. Saya nak bantu orang yang ada keadaan macam saya. Apa-apa yang mereka tidak tahu tentang bagaimana nak atasi ini semua, saya akan tolong menggunakan ilmu yang saya pelajari dari Club HEAL.”

Logo Club HEAL.
Tambah Pengarah Eksekutif Club HEAL, Cik Yang Chek, “Apabila mereka sudah bekerja dan sudah faham tentang pekerjaan mereka, kami dapati mereka setia dan berdedikasi. Mencuba sedaya-upaya untuk mempertingkat diri mereka. Boleh membantu dan boleh menyumbang kepada masyarakat.”
Seperti Ridzuan yang sebelum diberi peluang dan kehidupan baru di Club HEAL, pernah berdepan dengan stigma masyarakat sehingga perlu beberapa kali dirawat di IMH, kisahnya menunjukkan masih ada stigma yang ibarat tembok tebal yang menghalang para pesakit mental daripada mendapat peluang kerja, daripada berupaya kembali hidup dalam masyarakat, seperti insan lain.
STIGMA BERMULA DENGAN KEJAHILAN
Jurulatih kerjaya bebas, Salmah Samion menekankan, “Stigma itu bermula dengan kejahilan kita mengenai sakit mental. Tapi kita boleh kurangkan stigma dengan memberi lebih kesedaran dan pengajaran kepada mereka yang akan bekerja dengan orang yang mempunyai masalah mental. Jadi bila orang sekeliling kita faham keadaan kita, mereka akan ada lebih empati.”
Hari ini, terdapat semakin banyak bantuan untuk golongan yang mengalami masalah kesihatan mental. Semakin banyak syarikat juga sudah mula membuka pintu, siap dengan sistem sokongan dan inisiatif bagi menggalak kesihatan mental di tempat kerja.
Perubahan sudah kelihatan, walaupun perlahan. Stigma terhadap para pesakit mental tidak mudah lenyap. Mungkinkah kerana kita sudah terbiasa dengan kesempurnaan sebagai salah satu nilai hidup di Singapura, sehinggakan mereka yang bermasalah kesihatan mental, dengan mudah disisihkan?
Namun, jika ada keterbukaan untuk memberi peluang, maka suatu hari nanti golongan dengan masalah mental akan dapat diterima dan sama-sama menyumbang untuk membina Singapura yang inklusif.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.