"Saya tak akan tinggalkan anak saya lagi" - janji seorang bapa dalam penjara
'Talib' antara banduan yang meluangkan Hari Bapa tanpa anaknya (Gambar: Perkhidmatan Penjara Singapura (SPS)
This audio is generated by an AI tool.
Namun, bagi bapa-bapa di dalam penjara seperti 'Talib' (bukan nama sebenar), Hari Bapa ialah hari yang dipenuhi kesepian tanpa anak-anaknya.
"Saya ada dua anak tiri dengan satu anak saya. Yang umur 4 tahun setengah anak saya. Semua rapat. Tahun ini yang 4 tahun setengah itu dia K1. Yang sulung perempuan itu 23 tahun, yang tengah lelaki sekarang tengah ITE tahun terakhir," kongsi 'Talib' kepada wartawan Athirah Karim.
'Talib' sudah tiga kali masuk penjara akibat dadah.
Kali ini, dia menjalani hukuman penjara sejak 2023 dan akan dibebaskan pada Ogos ini.
Dalam tempoh beliau menjalani hukuman penjara, 'Talib' mendapati hubungan bersama anaknya yang dulunya rapat, kini sedikit renggang.
Kini, anaknya yang berusia 4 tahun itu hanya dapat berinteraksi dengannya melalui lawatan dan surat-surat yang dibacakan kepada anak kecil itu oleh ibunya.
'Talib' juga terasa hiba apabila menyingkap detik-detik penting dia tidak bersama anaknya.
"Saat-saat yang saya terlepas macam dia baru mula berjalan. Masa itu saya dalam (penjara), terlepas masa dia berjalan dengan dia baru membesar. Itu yang saya paling tak boleh lupakan. Bila saya keluar isteri saya tunjukkan dia punya video dia baru mula jalan, ini yang saya terlepas semua," ujar 'Talib' mengenang semula.
"SAYA JANJI SAYA TAK AKAN MASUK LAGI"
'Talib' kini meniti detik dan waktu dua bulan lagi sebelum dia dibebaskan dari penjara.
Dia bertekad mahu meluangkan lebih banyak masa dengan anaknya dan tidak mengulangi kesilapan.
"Kali ini saya nak hadirkan diri saya (dalam hidup anak saya). Saya nak jadi bapa yang selalu bersama dia. Dalam sebarang situasi, saya nak ada untuk dia," ujar 'Talib'.
Ditanya tentang perkara pertama yang dia akan lakukan saat dibebaskan pada Ogos nanti, 'Talib' menjawab dengan pantas, "Saya nak dukung si kecil itu."
"Saya tak akan tinggalkan (anak saya) lagi. Insya-Allah, saya janji saya tak akan masuk lagi. Saya akan ada bersama (anak saya) di luar," renung 'Talib' lagi.
Dia juga mahu jadi ayah yang aktif dan selalu hadir dalam setiap fasa penting anaknya.
"Saya nak ambil tahu, saya ingin luangkan masa lagi dengan dia. Macam hantar dia pergi 'playground', main-main mainan. Saya nak hadirkan diri saya. Ini kali saya nak hadirkan diri saya dekat situ, tak kiralah dia main mainan ke, main 'playground' ke, hantar dia sekolah, saya nak hadirkan diri saya. Banyak yang saya terlepas bukan?"kongsi 'Talib' kepada wartawan.
BAPAHEBATSG BIMBING GOLONGAN AYAH DI PENJARA
Untuk membantu 'Talib' dan bapa-bapa lain dalam penjara untuk mengasah kembali kemahiran dan nilai-nilai menjadi bapa yang aktif apabila dibebaskan kelak, mereka mendapat bimbingan menerusi program-program anjuran BapaHebatSG.
Dengan kerjasama Perkhidmatan Penjara Singapura (SPS), BapaHebatSG berusaha untuk membantu para banduan ini untuk terus menjadi bapa yang aktif dalam hidup anak-anak mereka.
Ini memandangkan ada yang sudah lama tidak berinteraksi secara bersemuka, meluangkan masa bersama dengan anak-anak mereka.
"Salah satu objektif program ini ialah untuk mengingatkan (para banduan) bahawa mereka tetap seorang bapa walaupun di dalam (penjara)," jelas pengasas bersama BapaHebatSG, Jamsari Ahmad.
Selain sesi-sesi renungan, BapaHebatSG juga mengajar para banduan ini kemahiran-kemahiran berkomunikasi dengan berkesan melalui aktiviti-aktiviti seperti main peranan.
Menurut Encik Jamsari, ada yang kerap ditahan dan bila lama di penjara, mereka lupa kemahiran untuk berinteraksi dengan anak-anak mereka.
"Saya fikir komunikasi itu kunci tapi ia satu konsep yang luas. Jadi kami ajar mereka menggunakan rangka kerja untuk mencipta suasana yang tepat untuk berkomunikasi. Bila kita jalankan program kita, banyak 'role-play' dan kita pilih senario yang sebetul yang mungkin," tambahnya.
Oleh itu, dengan aktiviti-aktiviti seperti penulisan kad Hari Bapa kepada anak-anak mereka, banduan-banduan ini diberikan peluang untuk meluahkan isi hati mereka.
Encik Jamsari juga menekankan kepentingan banduan-banduan ini merenung kekuatan mereka juga sebagai seorang bapa.
"Mereka ada banyak kekuatan. Cuma kita hanya lihat mereka dari kelemahan mereka sahaja," kata beliau.
Sekitar separuh program-program BapaHebatSG dikhususkan buat golongan ayah dalam penjara.
Sempena Hari Bapa ini, BapaHebatSG dan Pusat Kebapaan mengendalikan empat sesi terapi dan bimbingan bagi 'Talib' dan sekitar 80 bapa di penjara.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.