'Saya rasakan seolah-olah tidak berdaya': Warga SG selepas alamat rumahnya ditukar tanpa izin online
Satu kejutan disusuli dengan rasa bimbang dan kecewa - tahun 2025 sejauh ini merupakan tahun yang agak mencabar bagi Encik Raymond Tan.

Bangunan Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) di Singapura. (Gambar: CNA)
Ini selepas beliau mendapat tahu alamat rumahnya yang berdaftar dengan pihak berkuasa telah ditukar tanpa pengetahuannya.
Warga Singapura itu merupakan salah seorang daripada 71 individu di mana alamat rumah mereka telah ditukar tanpa izin oleh para penipu menerusi wadah khidmat elektronik Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA).
Sebahagian daripada khidmat elektronik itu digantung sejak 11 Januari lalu supaya ICA boleh memperkenalkan langkah-langkah keselamatan tambahan. Pihak berkuasa turut menggantung akaun Singpass semua individu yang terjejas.
Bagi Encik Tan yang dalam lingkungan usia 40an tahun, hakikat bahawa butiran peribadinya yang disimpan dalam sistem pemerintah boleh diakses dan ditukar oleh para penipu membuatnya berasa bimbang.
Walaupun penggantungan akaun Singpass beliau telah menimbulkan beberapa kesulitan, beliau mengalami kejutan besar apabila akaun-akaun bank peribadinya hampir ditutup.
"Ia bukan satu permulaan Tahun Baharu yang menenangkan," kata Encik Tan kepada Mediacorp dalam satu wawancara pada Rabu (12 Feb).
PENEMUAN YANG MEMBIMBANGKAN
Kali pertama Encik Tan mengesyaki sesuatu yang tidak kena berlaku adalah pada 30 Disember lalu apabila beliau ingin membeli insurans perjalanan di lapangan terbang.
Dengan menggunakan MyInfo, iaitu perkhidmatan digital yang mengisi borang secara automatik menggunakan data pemerintah, Encik Tan mendapati alamat rumahnya telah ditukar kepada satu alamat rumah yang beliau tidak cam di Commonwealth Drive.
“Saya segera menghubungi Singpass. Mereka katakan bahawa mereka tidak tahu apa yang berlaku, tetapi mereka memberikan saya pilihan untuk membekukan akaun Singpass saya. Sudah tentu, saya melakukannya,” katanya.
Atas kebimbangan jika akaunnya diakses tanpa izin sekali lagi, Encik Tan bersetuju dengan langkah-langkah keselamatan di mana beliau perlu membuat panggilan video untuk mendapatkan semula akses kepada akaun Singpass beliau.
Walaupun sedang bercuti, fikiran Encik Tan berserabut dan beberapa soalan bermain di fikiran beliau.
"Saya terfikir adakah itu bermakna akaun saya telah digodam dan jika benar, berapa lama ia telah berlaku dan apa lagi yang terjejas," kata Encik Tan.
"Saya periksa segala-galanya, seperti sejarah urus niaga Singpass dan aplikasi perbankan saya, dan semuanya kelihatan okay sahaja. Jadi saya katakan pada diri mungkin ia satu gangguan teknikal dan bukan sesuatu yang buruk."
Namun kebimbangannya disahkan pada 11 Januari lalu apabila ICA mendedahkan para penipu telah meneksploitasi kelemahan pada perkhidmatan online ICA untuk menukar alamat-alamat rumah penduduk.
Encik Tan sudah pun diberikan kad pengenalan yang baharu.
Walaupun beliau memahami keperluan akaun Singpass beliau digantung bagi tujuan siasatan, situasinya itu telah menimbulkan beberapa kesulitan.
Tanpa Singpass - iaitu alat pengesahan bagi pelbagai khidmat digital sektor awam dan swasta - beliau tidak dapat memperolehi dokumen yang diperlukan bagi pemeriksaan perubatan yang perlu dijalani oleh pembantu rumahnya setiap enam bulan.
Beliau juga tidak dapat meneruskan dengan janji temu sebagai penerima dalam Surat Kuasa Berkekalan (LPA) bapa mertuanya. LPA adalah dokumen undang-undang yang membolehkan seorang individu melantik individu lain untuk membuat keputusan bagi pihak mereka jika mereka hilang upaya mental.
"Perkara-perkara ini perlu tindakan cepat, terutama sekali dengan keadaan bapa mertua saya yang sudah lanjut usia... Tetapi saya diberitahu oleh seorang pegawai bertugas bahawa tiada pilihan luar talian untuk melakukannya tanpa akaun Singpass saya," luah Encik Tan.
Untuk menambah lagi pada tekanan yang dihadapi, Encik Tan mendapati akaun-akaun bank peribadinya dengan CIMB dan OCBC diletakkan di bawah status semakan.
Pada 27 Januari lalu, beliau tidak dapat melog masuk ke dalam khidmat perbankan internet CIMB.
Saudara lelakinya juga tidak dapat mengakses akaun bank bersama mereka.
Walaupun ia dihuraikan pada keesokan hari, tiada penjelasan diberikan mengapa akaunnya diletakkan di bawah semakan.
Dua hari selepas itu, ketika Encik Tan sedang menyambut Tahun Baharu Cina, beliau mendapati bahawa beliau tidak boleh memindahkan wang ke dalam akaun simpanan OCBC beliau.
Encik Tan menghubungi pihak bank dan mendapati kesemua akaun bank beliau, termasuk akaun bank bersama dengan anak-anak mereka, diletakkan di bawah semakan sejak 20 Januari lalu.
Namun beliau menerima kejutan terbesar pada 3 Februari apabila mendapat surat dari OCBC yang menyatakan akaun-akaun beliau akan ditutup dalam tempoh 14 hari disebabkan oleh "pertukaran pada profil dan/atau kegiatan".
"Kami kesal untuk memberitahu anda bahawa kami tidak lagi dapat menawarkan produk dan/atau perkhidmatan kepada anda," ditulis surat-surat dari OCBC itu.
Dengan rasa kecewa, beliau mendesak bank supaya memberikan penjelasan namun tidak menerima sebarang jawapan.
"Jika ini disebabkan oleh isu pertukaran alamat, pihak bank boleh menyulitkan lagi urusan saya, seperti memerlukan saya hadir secara fizikal di bank untuk melakukan sebarang urus niaga sebagai langkah berjaga-jaga sementara, dan itu tidak menjadi masalah.
"Tetapi jika mereka secara tiba-tiba mahu menutup akaun bank saya dan anak-anak saya tanpa sebarang penjelasan, saya rasa diri saya seolah-olah dibuli," kata Encik Tan.
OCBC akhirnya membatalkan keputusan tersebutdan memberitahu Encik Tan pada Khamis lalu (13 Feb) bahawa akaunnya tidak akan ditutup.
Dalam jawapan kepada pertanyaan Mediacorp, OCBC menyatakan ia melakukan semakan terhadap akaun pelanggan bagi tujuan pengurusan risiko, di mana ia kadangkala menyebabkan akaun ditutup disebabkan oleh kegiatan mencurigakan atau permohonan dari pihak penguatkuasaan undang-undang.
Secara umum, apabila sesebuah akaun itu dikenal pasti sebagai akaun mencurigakan, pihak bank akan segera menyekat akaun tersebut bagi mengelakkan ia daripada disalahgunakan atau melindungi para pelanggan dari urus niaga tanpa izin dan tidak sah, kata Encik Beaver Chua, ketua antipenipuan kumpulan pematuhan jenayah kewangan OCBC.
Langkah sekatan itu disusuli dengan semakan teliti untuk memastikan ketepatan. Semasa proses itu dijalankan, pihak bank tidak boleh mendedahkan butiran terperinci kerana dengan melakukan demikian ia boleh menganggu proses siasatan.
"Setelah semakan selesai dijalankan dan akaun pelanggan itu didapati mematuhi peraturan, kami akan menarik balik sekatan ke atas akaun tersebut. Jika tidak, akaun berkenaan akan ditutup jika ia menimbulkan kecurigaan atau disalahgunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab," kata Encik Chua.
Begitu juga, CIMB menyatakan mereka mengambil pendekatan proaktif dalam memerangi penipuan dengan bekerjasama dengan pihak berkuasa kawal selia dan agensi penguatkuasaan undang-undang.
"Dengan melaksanakan langkah-langkah keselamatan dipertingkat dengan cepat, kami komited untuk melindungi akaun bank pelanggan kami," kata jurucakap CIMB.
"TIDAK BANYAK YANG BOLEH SAYA LAKUKAN"
Menurut pihak berkuasa, para penipu mengeksploitasi pilihan "Lain-lain" dalam perkhidmatan dalam talian ICA, yang membenarkan penukaran alamat melalui wakil. Proses itu memerlukan log masuk Singpass, nombor kad pengenalan pemohon dan tarikh pengeluarannya, serta PIN pengesahan yang dihantar kepada alamat baharu.
Encik Tan bertanggapan butiran NRIC beliau terdedah menerusi amalan biasa seperti menyerahkan kad pengenalan untuk mendapatkan pas masuk bangunan atau menyerahkan salinan kad pengenalan bagi tujuan membeli barang bernilai tinggi seperti kereta.
"Sehingga kejadian ini berlaku, saya rasa tiada siapa yang benar-benar menganggap tarikh pengeluaran kad pengenalan adalah begitu penting," katanya.
Walaupun isu perbankannya dapat dihuraikan, Encik Tan masih berwaspada.
Minggu lalu sahaja, beliau menerima maklumat dari sebuah syarikat insurans mengenai pertukaran pada butiran penghubung - di mana ia mencetuskan beberapa panggilan dan kiriman e-mel sebelum syarikat itu mengesahkan ia adalah "satu masalah teknikal".
Encik Tan masih berasa bimbang tentang seberapa mana maklumat peribadinya telah jatuh di tangan penipu dan kesan terhadap dirinya dan keluarganya.
"Jika individu itu boleh menukar alamat saya, adakah dia dapat mengakses bahagian lain di akaun saya? Jika dia memperolehi semua maklumat saya, apa yang akan dia lakukan dengannya? Dapatkah dia menyamar sebagai saya?" keluh Encik Tan.
“Pada saat ini, saya boleh katakan bahawa saya rasa seakan-akan tidak berdaya. Nampaknya tiada banyak yang saya boleh lakukan.”
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.