“Saya mohon maaf sedalam-dalamnya”: Dr Faishal kepada penduduk selepas berundur daripada politik
Mantan Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Muhammad Faishal Ibrahim pada Isnin (20 Jul) memohon maaf kepada para penduduk dan penyokongnya selepas meletak jawatan daripada semua jawatan politik.
Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Muhammad Faishal Ibrahim berucap dalam mesyuarat panel penasihat SCIS pada 24 Jun 2025. (Gambar fail: CNA/Lim Li Ting)
Menurut Dr Faishal, beliau akan meluangkan lebih banyak masa bersama keluarganya.
"Saya amat sesal kerana telah mengecewakan para penduduk dan penyokong saya, yang telah memberikan kepercayaan kepada saya," katanya dalam satu catatan di Facebook.
"Saya tahu berita ini akan mengejutkan ramai. Saya harap anda dapat memahami keputusan saya untuk tidak mengulas lebih lanjut demi menghormati privasi keluarga saya."
Dr Faishal, yang meletak jawatan sebagai pemegang jawatan politik, Anggota Parlimen (AP) dan anggota Parti Tindakan Rakyat (PAP), mengucapkan terima kasih kepada para penduduk atas sokongan mereka selama ini, sambil menyifatkan peluang untuk berkhidmat dan bersama-sama mereka sebagai satu penghormatan.
"Kemesraan, persahabatan dan sokongan anda amat bermakna bagi saya, lebih daripada yang dapat saya ungkapkan," kata beliau.
Peletakan jawatannya dibuat selepas Perdana Menteri Lawrence Wong berkata interaksi Dr Faishal dengan seorang wanita "tidak memenuhi" piawaian yang diharapkan.
Dalam catatannya, Dr Faishal menyatakan keyakinan bahawa Menteri Negara Kanan Zaqy Mohamad dan pasukannya akan terus berkhidmat kepada para penduduk dengan "komitmen dan keprihatinan".
Beliau menambah bahawa para penduduk di Kembangan akan terus dijaga oleh para AP Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) Marine Parade-Braddell Heights.
"Usaha untuk memperkukuh masyarakat kita akan diteruskan. Ia merupakan usaha bersama yang jauh lebih besar daripada mana-mana individu," kata beliau.
"Terima kasih atas persahabatan anda dan penghormatan yang diberikan kepada saya untuk berkhidmat kepada anda. Kini, saya akan meluangkan lebih banyak masa bersama keluarga saya. Saya bersyukur atas sokongan mereka, terutamanya isteri saya yang sentiasa berada di sisi saya sepanjang tempoh yang sukar ini."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.