Skip to main content

Singapura

'Saya masih rasa bersalah': Jiran mangsa kebakaran flat Bukit Merah kesal tidak dapat selamatkan mereka

Anggaran Waktu Membaca:
'Saya masih rasa bersalah': Jiran mangsa kebakaran flat Bukit Merah kesal tidak dapat selamatkan mereka

Susulan kebakaran di sebuah flat Jalan Bukit Merah (kiri) dan penduduk, Wan (kanan) yang cuba menyelamatkan kedua-dua mangsa. (Gambar: CNA/Justin Ong, Petikan Skrin/CNA)

Diterbitkan : 14 Aug 2025 09:37PM Dikemas Kini : 14 Aug 2025 09:40PM
SINGAPURA: Walaupun beliau sudah meredah asap tebal untuk cuba memasuki sebuah flat yang terbakar di Bukit Merah dan menyelamatkan dua orang yang terperangkap, Wan tetap dirundung perasaan bersalah.

"Kerana saya tidak dapat menyelamatkan mereka," katanya kepada Mediacorp dalam satu temu bual menerusi panggilan telefon pada Khamis (14 Ogos).

"Apabila saya tonton semula rakaman video kebakaran itu, saya masih rasa sebak; saya cuba keluarkan kata-kata, tetapi tidak terdaya."

Seorang lelaki berusia 34 tahun dan seorang wanita berusia 32 tahun meninggal dunia selepas kebakaran di sebuah flat HDB di Blok 106 Jalan Bukit Merah pada Rabu (13 Ogos).

60 orang juga dipindahkan dari blok yang terjejas.

Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) menyatakan siasatan awal mendapati kebakaran itu mungkin bermula dari sebuah pek bateri alat mobiliti peribadi (PMD) di ruang tamu.

Apabila pegawai bomba tiba di tempat kejadian, ruang tamu dan bilik tidur di unit yang terletak di tingkat empat itu sudah pun dijilat api dan dua orang ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di dapur.

Mereka dibawa ke Hospital Besar Singapura (SGH) di mana mereka kemudian meninggal dunia.

Wan, yang bertugas sebagai seorang penyelia pengendalian pengangkutan baru pulang dari kerja pada kira-kira pukul 4.00 petang apabila beliau melihat asap berkepul-kepul keluar dari sebuah unit di tingkat empat blok tersebut.

Beliau juga melihat seorang wanita menjerit meminta bantuan dari salah satu tingkap unit berkenaan.

Wan enggan memberikan nama penuhnya, sambil berkata beliau tidak mahu tumpuan diberikan kepadanya.

Menurut lelaki berusia 38 tahun itu, yang berkhidmat dalam SCDF semasa menjalani Perkhidmatan Negara, beliau bertindak mengikut nalurinya.

Pada ketika itu, beliau memutuskan untuk menyelamatkan pasangan itu sedaya upayanya.

"Saya hanya terfikir untuk menyelamatkan mereka... saya tidak fikirkan tentang diri saya," katanya.

Beliau bergegas ke tingkat empat tetapi mendapati asap terlalu tebal.

Beliau kemudian tersua dengan seorang lelaki muda dan seorang lagi jiran yang lebih tua, lalu mereka bersama-sama cuba membantu mangsa dalam unit terbakar itu.

Mereka bergegas ke tingkat lima dan menemui laluan lebih selamat ke unit yang terbakar itu.

Sambil membawa alat pemadam api, mereka merangkak untuk mengelak daripada terhidu asap.

Wan melihat pintu unit tersebut terbuka tetapi pintu pagarnya dikunci.

"Kami minta mereka supaya mencampakkan kunci rumah keluar," katanya, tetapi tidak menerima sebarang jawapan.

Percubaan untuk memecahkan mangga di pintu pagar juga gagal. Begitu juga usahanya untuk memadamkan kebakaran menggunakan alat pemadam api itu kerana "ia terlalu kecil", kata Wan.

"Kami tidak berhasil memadamkannya, dan pada ketika itu saya sarankan kepada individu yang bersama saya supaya kami beredar, kerana asap terlalu tebal."

Sedang mereka turun ke tingkat bawah, mereka melihat beberapa pegawai bomba bergegas untuk memadamkan kebakaran.

Tidak lama selepas itu, mereka terdengar beberapa bunyi letupan daripada unit berkenaan.

Apabila ditanya mengapa beliau sanggup menggadaikan nyawanya, Wan menafikan cuba bertindak sebagai wira.

"Apabila kami bergegas ke rumah itu, api belum lagi marak ... apabila kami berada (di koridor), kami tidak dapat melihat api kebakaran," katanya.
Related article image
Dua orang maut selepas kebakaran tercetus di sebuah flat HDB di Bukit Merah pada 13 Ogos 2025. (Gambar: Facebook/SCDF, CNA/Claudia Lim)
Walaupun sudah berusaha sedaya upaya untuk menyelamatkan nyawa mereka, Wan masih dihantui oleh detik-detik kebakaran itu.

"Saya tidak boleh tidur, kerana saya masih dapat melihat mangsa mengeluarkan tangannya (dari tingkap)," katanya.

"Jika pintu pagarnya terbuka, mungkin pasangan itu ada 50 peratus peluang untuk hidup," katanya.

"Niat saya adalah untuk membawa mereka keluar, dan saya bahkan meluahkan perasaan ini kepada isteri saya dan memberitahunya bahawa saya rasa bersalah.

"Ibu saya berkata kepada saya, 'Anda sudah lakukan yang terbaik tetapi malangnya, anda tidak dapat lakukan lebih daripada itu.'"

"KESANNYA AGAK BURUK"

Sementara itu, jiran tetangga lain yang tinggal berhampiran unit yang terbakar dalam blok flat sewa satu bilik itu, masih terpinga-pinga selepas kebakaran itu menimpakan kerosakan teruk terhadap rumah masing-masing.

Kebakaran itu memusnahkan rumah Mahmood Kadir, 70 tahun dan menyebabkan isterinya dibawa ke hospital.

Apabila kebakaran itu bermula pada kira-kira pukul 4.00 petang pada Rabu, Encik Mahmood di tempat kerja sedangkan isterinya berada di rumah.

Apabila isterinya itu terhidu bau asap, beliau membuka pintu rumah dan diselubungi asap tebal.

Pegawai SCDF kemudian membawanya turun dan menilai bahawa beliau perlu dihantar ke hospital.

Encik Mahmood berkata isterinya, 69 tahun, mengalami penyakit paru-paru yang bertambah parah selepas beliau terhidu asap daripada kebakaran itu.

Beliau adalah salah seorang daripada dua individu yang dibawa ke hospital.
Related article image
Salah seorang jiran yang terjejas, Encik Mahmood Kadir, mendapatkan bantuan dari pegawai HDB. (Gambar: CNA/Justin Ong)
Encik Mahmood menambah beliau bersyukur kerana isterinya, yang dibenarkan pulang pada Khamis, sedang pulih dengan baik.

Sungguhpun begitu, beliau masih berasa trauma akibat kejadian yang berlaku.

"Saya bersyukur kerana ia berlaku pada pukul 4.00 petang. Kalau ia berlaku pada waktu malam, bagaimana? Bayangkan kita sedang tidur dan ia berlaku," kata Encik Mahmood.

BEBERAPA KUMPULAN TAMPIL HULURKAN BANTUAN

Pada pagi Khamis, wartawan Mediacorp mendapati beberapa sukarelawan akar umbi dan pegawai HDB bercakap dengan beberapa penduduk dari unit-unit yang terjejas untuk menghulurkan bantuan kepada mereka.

Anggota Parlimen SMC Radin Mas Melvin Yong menyatakan dalam satu catatan Facebook pada lewat Rabu bahawa keutamaannya adalah untuk mendampingi keluarga mangsa kebakaran bagi menghulurkan sokongan dan bantuan serta bantu mengatur penginapan sementara bagi para penduduk yang terjejas.

Peralatan tempat tidur dan barang keperluan lain seperti bekalan makanan dan air, sudah pun diperolehi oleh para pemimpin akar umbi untuk diberikan kepada para penduduk yang terjejas, kata Encik Yong.

Para jiran tetangga memberitahu Mediacorp bahawa mereka tidak rapat dengan pasangan yang maut dalam unit terbakar itu kerana mereka baru berpindah masuk kira-kira dua minggu lalu.
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita