'Saya kutuk fahaman yang menyesatkan dan kejam ini': Amrin Amin berhubung penahanan ISA
Rakyat Singapura tanpa kira kaum dan agama sebulat suara dengan keras menolak ajaran songsang yang "terkutuk dan kejam". Demikian menurut Setiausaha Parlimen Kanan Ehwal Dalam Negeri Amrin Amin berhubung penahanan dua warga Singapura di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Gambar fail Setiausaha Parlimen Kanan Ehwal Dalam Negeri, Amrin Amin.
BERITAmediacorp: Rakyat Singapura tanpa kira kaum dan agama sebulat suara dengan keras menolak ajaran songsang yang "terkutuk dan kejam". Demikian menurut Setiausaha Parlimen Kanan Ehwal Dalam Negeri Amrin Amin berhubung penahanan dua warga Singapura di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) atas pelibatan mereka dalam kegiatan-kegiatan yang ada kaitan dengan pengganasan.
Dalam catatannya di Facebook hari ini (15 Feb), Encik Amrin berkata beliau mengutuk keras fahaman menyesatkan yang dipegang kedua-dua individu itu yang percaya kepada "keganasan bersenjata terhadap orang bukan Islam".
Beliau menambah, masyarakat Singapura turut menolak pemikiran kedua-dua individu yang ditahan di bawah ISA itu.
"Mereka (yang ditahan) menyokong ISIS dan percaya pada keganasan bersenjata terhadap orang bukan Islam dan mereka yang disifatkan sebagai musuh Islam.
"Saya mengutuk keras kepercayaan yang menyesatkan dan kejam ini - rakyat Singapura tanpa kira kaum dan agama turut menolaknya," tulis Encik Amrin
Anggota Parlimen GRC Sembawang itu menambah, bahawa agama yang indah dan aman disalah tafsir untuk mewajarkan kekejaman dan keganasan.
Lantaran itu, beliau menekankan betapa pentingnya untuk terus berwaspada dan memahami ajaran Islam yang sebenar.
"Sebuah agama indah dan aman disalah tafsir untuk mewajarkan kekejaman. Tiada agama yang memperjuangkan pertumpahan darah orang yang tidak berdosa.
"Pemikiran ekstrim tiada mengenal sempadan. Sifat berwaspada amat penting sekali. Pemahaman ajaran Islam yang sebenar juga sangat penting," tulis Encik Amrin.
Awal hari ini, Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) mendedahkan penahanan Mohamed Kazali Salleh dan Hazim Syahmi Mahfoot di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana terlibat dalam kegiatan-kegiatan yang ada kaitan dengan pengganasan.
LAPORAN BERKAITAN:
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.