Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

'Saya adil dan konsisten beri peluang bercakap': Speaker Parlimen SG Seah Kian Peng

Anggaran Waktu Membaca:
'Saya adil dan konsisten beri peluang bercakap': Speaker Parlimen SG Seah Kian Peng

Speaker Seah Kian Peng di Rumah Parlimen pada 14 Ogos 2024. (Gambar: CNA/Ili Nadhirah Mansor)

SINGAPURA: Sebagai Speaker Parlimen Singapura, Seah Kian Peng percaya beliau sudah berusaha memastikan persidangan di dalam dewan dijalankan sesuai mengikut peraturan dan secara adil.

"Jadi sesiapa sahaja, dan tidak kisahlah mereka daripada parti mana, akan berasa bahawa... cara saya mempengerusikan (Parlimen), cara saya memberikan peluang kepada para anggota untuk bercakap, semuanya dilakukan secara adil dan konsisten," katanya kepada Mediacorp.

Bulan ini genap setahun sejak Encik Seah, yang juga merupakan Anggota Parlimen (AP) GRC Marine Parade, mula menggalas tanggungjawab sebagai Speaker Parlimen.

Insiden yang melibatkan AP Tanpa Kawasan Undi Leong Mun Wai baru-baru ini pula, mengukuhkan lagi kepercayaan Encik Seah bahawa segala yang dikatakan di Parlimen adalah "perkara serius".

Encik Leong, seorang anggota Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) Parti Kemajuan Singapura (PSP), mendakwa dalam satu podcast bahawa beliau lazimnya "terakhir yang dipanggil" untuk berucap di Parlimen, walaupun dirinya antara yang pertama mengangkat tangan.

Meskipun beliau akhirnya menarik balik komen tersebut, kata-kata Encik Leong telah menjejas tanggapan mengenai keupayaan Speaker untuk bersikap adil, kata Encik Seah dalam satu sidang pada Julai.

"Apa pun, beliau sudah memastikan ini terakam, ya, saya bersikap adil," ujar Encik Seah, 62 tahun.

Beliau sedia maklum bahawa dengan lebih 100 anggota dalam Dewan buat masa ini, termasuk Anggota Parlimen Dilantik (NMP), persoalan mengenai peluang untuk bersuara tentunya akan dibangkitkan dari semasa ke semasa.

"Saya sebelum ini tidak memegang sebarang jawatan kepimpinan, jadi saya juga pernah berasa... Mengapa Speaker tidak memberi saya masa untuk bercakap?" katanya.

'DILANTIK' DALAM SEKELIP MATA

Encik Seah mengimbas kembali bagaimana beliau dilantik sebagai Speaker Parlimen ketika parti-parti politik melalui satu "tempoh sukar".

"Pada hari pertama itu sendiri, terdapat usul yang difailkan untuk membahaskan soal peranan tidak berpihak Speaker," ujar Encik Seah.

Usul itu difailkan PSP, berikutan insiden di mana mantan Speaker Parlimen Tan Chuan-Jin kedengaran mengungkapkan "f****** populist" sebagai respons terhadap ucapan oleh AP pembangkang, Jamus Lim.

Namun sebelum usul itu dibahaskan, Encik Tan meletak jawatan kerana menjalin hubungan sulit dengan AP PAP, Cheng Li Hui.

Beberapa hari kemudian, anggota Parti Pekerja (WP), Leon Perera dan Nicole Seah, juga meletak jawatan kerana menjalin hubungan sulit.

Encik Seah kemudian mempengerusikan perbahasan berkenaan pada hari pertama bertugas.

Beliau menganggap pengalaman itu sebagai sesuatu yang tidak akan dapat dilupakan, memandangkan dirinya seolah-olah "memikul tanggung jawab sangat mencabar" dalam "jangka masa agak singkat".

"Pada satu saat saya tidak menyandang sebarang peranan kepimpinan, dan dalam sekelip mata, saya menjadi Speaker."
Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan