Saudi sumbang 40 tan kurma Barni Ramadan ini
Masyarakat Islam di sini dapat terus menikmati kurma percuma dari Arab Saudi, Ramadan ini dengan 40 tan kurma jenis Barni sudah tiba di Masjid Ba'alwie sejak Selasa (23 Apr).
SINGAPURA: Masyarakat Islam di sini dapat terus menikmati kurma percuma dari Arab Saudi, Ramadan ini dengan 40 tan kurma jenis Barni sudah tiba di Masjid Ba'alwie sejak Selasa (23 Apr).
Tradisi muhibah itu dijalankan sejak lebih 25 tahun lalu sebagai lambang persaudaraan dan hubungan akrab antara kedua-dua negara dan rakyat Saudi dan Singapura.
Keramahan dan hubungan erat kedua-dua amat ketara sekali apabila Menteri Negara Kanan merangkap Ehwal Luar, Dr Mohamad Maliki Osman mengunjungi Duta Besar Arab Saudi ke Singapura, Encik Saad Saleh Al Saleh, di Pejabat Kedutaan itu di Penang Road.
"Kami amat gembira dapat menyediakan kurma kepada rakyat Singapura. Kurma ini bukan sahaja untuk masyarakat Islam yang berpuasa dan mengikut Sunnah Nabi Muhammad SAW tetapi ia juga bagi rakyat Singapura yang berlainan budaya dan agama. Ini sebenarnya menunjukkan Islam, agama yang memberi nilai tinggi kepada sifat belas ihsan dan tolong menolong," menurut Encik Saad Saleh Al Saleh.
Dr Maliki diiringi Ketua Eksekutif MUIS Esa Masood, mantan Mufti, Syed Isa Semait dan imam Masjid Ba'alwie, Habib Syed Hassan al-Attas.
Kunjungan itu bagi merakam penghargaan kepada kerajaan Arab Saudi atas perkongsian kurma yang sudah memanfaatkan ramai keluarga di Singapura sejak lebih 25 tahun lalu terutama golongan kurang berkemampuan.
"Saya rasa kita di Singapura ini rasa teruja dan berterima kasih kepada kedutaan Arab Saudi kerana pemberian kurma-kurma untuk diagihkan kepada masyarakat di Singapura ini untuk Ramadan yang akan datang. Ini adalah tahun yang ke-25 kami telah menerima sumbangan dari kedutaan Arab Saudi ini," ujar Dr Maliki.
Bahkan menurut Dr Maliki, pengagihan kurma percuma itu bukan sahaja mengukuhkan silaturahim sesama Muslim di sini, malah mengeratkan lagi hubungan Muslim dengan masyarakat bukan Muslim di Singapura.
"Kita menunjukkan bahawa Islam adalah sebuah agama yang saling menyayangi dan saling menghormati antara kaum-kaum yang lain. Dengan pemberian kurma ini, simbolismenya ialah Islam adalah satu masyarakat yang sering mengambil kira, mengambil berat menyayangi semua masyarakat tidak kira apa jua kaum ataupun agama mereka," kata Dr Maliki.
"Kita harus menyebarkan sayap kita untuk memastikan bahawa mengambil berat atau meningkatkan keprihatinan kita terhadap mereka yang kurang berkemampuan tidak harus dikhususkan kepada masyarakat Islam sahaja tapi bukan masyarakat Islam. Dengan ini kita harap semua lapisan masyarakat anak – anak muda kita, walaupun kanak-kanak kita digalakkan untuk terus mendekati rakan-rakan mereka yang bukan Islam," jelas Dr Maliki lagi.
Dalam pada itu, Ketua Eksekutif MUIS Esa Masood berkata semangat Ramadan ini dapat dirasai seluruh masyarakat Singapura tidak kira bangsa atau agama kerana berpeluang beriftar bersama-sama. Ini sekaligus memperkukuhkan lagi keharmonian kaum dan mencerminkan kemurnian agama Islam.
Sebahagian kurma akan diagihkan ke masjid-masjid mulai esok (26 Apr) manakala bagi badan-badan Melayu/Islam pada Sabtu (27 Apr).
Orang ramai boleh mengambil kurma di Masjid Ba'alwie di Lewis Road pada hari Ahad (28 Apr) mulai 9.00 pagi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.