Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Saudi Airlines sudah mulakan penerbangan umrah dari Changi

Syarikat penerbangan Saudi Airlines (Saudia) mula menyambung semula penerbangan bagi jemaah umrah dari Lapangan Terbang Changi hari ini (10 Dis), selepas menghentikannya sejak Februari tahun lalu ekoran pandemik COVID-19.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Syarikat penerbangan Saudi Airlines (Saudia) mula menyambung semula penerbangan bagi jemaah umrah dari Lapangan Terbang Changi hari ini (10 Dis), selepas menghentikannya sejak Februari tahun lalu ekoran pandemik COVID-19.

Saudia memberitahu BERITAmediacorp ia sudahpun menerima tempahan bagi 300 jemaah umrah sejauh ini dari empat agensi umrah tempatan bagi keberangkatan bulan Disember.

Agensi-agensi itu adalah Noah Travel and Tours, Anwaar Al Himam Umrah and Holidays, Mumtaz Holidays & Tours dan TM Fouzy Travel & Tours.

(Gambar: Syawal Yusoff)

(Gambar-gambar: BERITAmediacorp/Syawal Yusoff)

Menurut Saudia, kali terakhir ia berangkat dari Singapura adalah pada 28 Februari 2020.

Namun kali ini syarikat penerbangan Arab Saudi itu akan menawarkan tiga penerbangan seminggu iaitu pada setiap hari Isnin, Rabu dan Jumaat. Ini berbanding empat penerbangan seminggu termasuk hari Sabtu sebelum pandemik melanda.

NOAH TRAVEL TUKAR TARIKH PENERBANGAN UNTUK NAIK SAUDIA

Agensi tempatan pertama untuk menggunakan semula penerbangan Saudia ialah syarikat Noah Travel and Tours yang membawa 73 jemaah umrah dan lapan pegawai.

(Gambar: Syawal Yusoff)

Para jemaah mula berkumpul seawal 2.00 petang di Changi untuk berangkat ke Jeddah pada jam 5.00 petang.

Proses 'check-in' rata-rata lancar dan jemaah tidak perlu menunggu lama kerana terdapat tiga kaunter dan satu kaunter 'priority' yang dibuka.

Rombongan itu asalnya dijadual berlepas pada Khamis (9 Dis) menaiki pesawat tambang murah Scoot. Namun Noah Travel akhirnya berjaya membuat pertukaran kepada Saudia, yang merupakan pesawat perkhidmatan penuh.

(Gambar: Syawal Yusoff)

"Jemaah ada pilihan dia boleh naik yang Saudi Airlines atau Scoot. Masa itu Scoot hanya yang satu-satunya pilihan walaupun Scoot kirakan itu bajet dan Saudi adalah penerbangan perkhidmatan penuh, tapi dia pun ada positif ada negatif," kata pengarah Noah Travel, Cik Raikhanah Abdul Ghani yang ditemui BERITAmediacorp di dewan pelepasan lapangan terbang Changi.

"Tapi kalau secara keseluruhan, Saudia adalah penerbangan perkhidmatan lengkap pilihan. Kalau Scoot kan ia tidak ada hiburan walaupun hiburan tak berapa perlukan untuk penerbangan ini tapi untuk tempat duduk lebih selesa, ada ‘Business Class’ seperti itulah," tambahnya.

(Gambar: Syawal Yusoff)

Memandangkan Laluan Perjalanan Penumpang Sudah Divaksin (VTL) ke Arab Saudi masih lagi ditangguhkan pemerintah Singapura, para jemaah itu perlu melaksanakan Notis Jangan Keluar Rumah (SHN) selama tujuh hari setibanya di Singapura. VTL tersebut asalnya dijadual berkuat kuasa pada 6 Disember.

(Gambar: Syawal Yusoff)

SEBILANGAN AGENSI UMRAH MULA TAWAR PAKEJ GUNA SAUDIA

Tinjauan BERITAmediacorp ke atas agensi-agensi tempatan mendapati sebilangan daripadanya sudah bersedia untuk menawarkan pakej menggunakan Saudia.

Syarikat TM Fouzy Travel & Tours, misalnya, menerima 50 tempahan pakej umrah menggunakan Saudia pada 17 Disember ini.

Bahkan, sekitar 10 jemaah meminta ditukarkan penerbangan mereka daripada Scoot kepada Saudia sejurus mendapat tahu tentang penyambungan semula penerbangan itu.

Bagaimanapun bagi syarikat Noor Mohamad Services & Travel yang menjadualkan penerbangan pertamanya dengan Saudia pada 31 Disember nanti, respons menurutnya masih lagi perlahan memandangkan kebanyakan pakejnya untuk Disember sudahpun terikat dengan Scoot.

Syarikat Shahidah Travel & Tours pula menyatakan ia melihat permintaan tinggi untuk penerbangan menerusi Saudia dengan rombongan 80 orang pada Januari 2022.

Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan