Skip to main content

Singapura

Satu-satunya upacara korban di S'pura berjalan lancar, 85 ekor kambing dikorbankan

Satu-satunya upacara korban yang dijalankan di Singapura sempena Aidiladha berjalan lancar hari ini (10 Jul) di Persatuan Arab Al Wehdah.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Satu-satunya upacara korban yang dijalankan di Singapura sempena Aidiladha berjalan lancar hari ini (10 Jul) di Persatuan Arab Al Wehdah.

Secara keseluruhannya, sebanyak 85 ekor kambing dikorbankan.



Ini merupakan kali kedua syarikat Aaliyah's Pte Ltd mengendalikannya selepas kejayaan usaha sulungnya tahun lalu, yang dijalankan di ladang ternakan Hay Dairies sendiri.

Berkenaan kerjasama syarikat Aaliyah's dengan Al Wehdah iaitu lokasi ibadah itu dilaksanakan tahun ini, Presiden Al Wehdah, Haji Khalid Basharahil berkata: "Pada kita, ini adalah satu kesempatan luar biasa kerana di seluruh Singapura tidak adakan upacara korban. Jadi apabila pihak pengendali bertemu dengan kita untuk adakan di sini, kita dengan senang hati terima. Ini satu kesempatan sangat baik."


SOHIBUL KORBAN GEMBIRA DAPAT SAKSIKAN SENDIRI PENYEMBELIHAN KAMBING

Antara 85 sohibul korban yang berdaftar dengan syarikat Aaliyah's untuk ibadah korban kambing tahun ini adalah pasangan suami isteri, Muhd Dhiyauddin Chew Abdullah, 56 tahun dan Siti Hamidah Abdul Gapur, 54 tahun.

Buat pasangan suami isteri itu, mereka tertarik dengan perkhidmatan yang ditawarkan syarikat Aaliyah's bagi ibadah korban tempatan itu dan sanggup membayar harga lebih S$1,600 iaitu sekitar lima kali ganda harga purata kambing yang ditawarkan di luar negara.

Encik Dhiyauddin berkata: "Memang ada keunikannya, kita dapat berkorban di tanah air sendiri dan sama-sama kita dapat memeriahkannya. Kita dapat memilih kambing, seronok sekali. Kita dapat melihat kambing kita dikorbankan di depan mata kita."

"Sebelum itu kita juga dapat memberi makan kepada kambing kita sebelum mereka disembelih. Itu yang rasa seronok. Dapat pegang, dapat memberi makan," tambah Cik Hamidah.

Pengalaman tersebut tidak dapat dirasakan mereka sekiranya mendaftar untuk ibadah korban yang dijalankan di luar negara.

Setiap sohibul korban juga akan menerima sekitar 35 kilogram daging kambing.

Bagi Encik Dhiyauddin dan Cik Hamidah yang masing-masing melaksanakan ibadah korban bagi seekor kambing setiap satu, mereka secara keseluruhannya mempunyai sekitar 70 kilogram daging kambing,

"Kita ada perancangan selepas ini, kita perlu agihkan daging-daging. Memang ada senarai untuk mereka yang kita akan berikan," kata Encik Dhiyauddin.

Cik Hamidah pula menambah: "Kita ada saudara-mara dan sahabat handai yang tahu kita membuat ibadah korban hari ini, jadi mereka sudah minta. Untuk sekarang, kita ada 15 lokasi untuk pergi."

SETIAP KAMBING DIPASTIKAN SEMPURNA UNTUK IBADAH KORBAN

Sejak jam 9.00 malam semalam (9 Jul), kambing-kambing dari ladang ternakan Hay Dairies yang ditawarkan syarikat Aaliyah's Pte Ltd sudah dibawa ke Al Wehdah.

Setiap kambing juga dipastikan sempurna untuk ibadah korban.

Oleh itu, syarikat Aaliyah's bekerjasama dengan seorang pegawai kebajikan haiwan, Dr Michael Patching, untuk memastikan unsur tersebut.

Dr Michael berkata: "Saya di sini untuk memastikan setiap haiwan sihat dan sempurna, sebelum mereka dihantarkan ke sini dan juga sebelum proses penyembelihan. Kebajikan dan kesihatan haiwan adalah keutamaan pertama."

"Saya di sini juga memastikan bahawa kambing-kambing dibawa masuk ke dalam lori dengan cara selamat. Saya memastikan kakitangan tidak menarik bahagian tanduk kambing yang boleh menimbulkan tekanan kepada kambing. Saya juga perlu memastikan bahawa proses penyembelihan ini selesa dan tidak menimbulkan tekanan kepada kambing," tambah Dr Michael.

Dengan bantuan Dr Michael, mereka dapat mengenal pasti kambing-kambing yang kurang sempurna untuk dikorbankan.

"Sebelum kita menghantarkan kambing-kambing dari ladang ternakan Hay Dairies ke Al Wehdah, saya melihat satu ekor kambing yang ada bisul di kakinya, lantas tidak sempurna untuk ibadah kambing, mahupun siap untuk dihantarkan," kata beliau.

Dalam hal itu, Encik Zakaria berkata: " Saya menelefon sohibul korban untuk kambing itu dan menanya sama ada beliau terbuka untuk menukar kambing dan mereka setuju, jadi Alhamdulillah kambing dapat ditukar."

LEBIH 60 SUKARELAWAN DAN KAKITANGAN SUMBANG TENAGA

Bagi memastikan ibadah korban di Al Wehdah berjalan lancar, lebih 60 sukarelawan turun padang dan menyumbang tenaga di stesen-stesen berlainan seperti stesen penyembelihan dan juga pemotongan daging.

Ketua Pegawai Kewangan syarikat Aaliyah's, Encik Zakaria Abdul Gapor berkata: "Kebanyakan kakitangan pernah bertugas di masjid-masjid tempatan. Ada juga yang ada perniagaan sendiri yang memotong daging, jadi mereka adalah pakar dalam bidang masing-masing.

"Alhamdulillah semua lancar hari ini. Program pun sedang berjalan lebih awal. Saya anggarkan kita akan habis pada 4 hingga 5 petang, berbanding tahun lepas, kita selesai selepas waktu Isyak," jelasnya lagi.

Ternyata, kerahan lebih ramai sukarelawan tahun ini berjaya menjimatkan masa buat ibadah korban.

Encik Zakaria berkata: "Kita gunakan lebih banyak tenaga kerja untuk mengawal dan mengangkat kambing-kambing, untuk diangkat ke stesen penyembelihan. Untuk sembelih pun lebih ramai orang."

"Lagipun perkakas yang kami gunakan, kita gunakan mesin jadi pemotongan daging kambing lebih lancar."

Pengalaman melaksanakan ibadah korban secara depan mata juga menarik sukarelawan semuda 11 tahun iaitu Muhd Rifqi Muhd Rafee untuk menyumbang tenaga dan memerah keringat sepanjang hari.

Tugas Rifqi semasa upacara korban adalah untuk mengemas kini senarai kambing, memastikan setiap kambing disembelih dan tiada kekeliruan dari segi proses korban.

Pengalaman seronok bersama syarikat Aaliyah's tahun lalu membuatkan Rifqi mahu kembali menyertai pelaksanaan ibadah korban tahun ini.

Meskipun kerjanya tidak seberat kerja mengangkat kambing atau menyembelih kambing, Rifqi akur akan kepentingan tugasnya.

"Saya rasa sangat gembira dan teruja dapat membantu acara korban hari ini dan saya juga dapat menerima pahala dengan melakukan ibadah hari ini," jelas Rifqi.

Lebih daripada hanya melakukan tugas, Rifqi juga dapat mempelajari pelbagai perkara penting mengenai korban melalui sumbangan empat keratnya sepanjang hari.

"Saya mempelajari bahawa orang ramai boleh membantu antara satu sama lain misalnya, mereka yang berpendapatan boleh membeli daging dan mengagihkannya kepada mereka yang memerlukan." kata beliau.

Lebih 350 orang termasuk sohibul korban dan ahli keluarga masing-masing menyaksikan upacara ibadah korban kendalian syarikat Aaliyah's hari ini.

Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita