Skip to main content

Singapura

Satu-satunya pelatih wanita Kursus Kadet Pakar Polis Tentera, SCT Nurin Qhaireena jadi penerima Bayonet Emas

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 04 Dec 2025 05:34PM Dikemas Kini : 28 Dec 2025 12:01AM
SINGAPURA: Sejak di bangku sekolah rendah lagi, minat Nurin Qhaireena Abdul Razak untuk menjadi seorang askar dan pemimpin sudah mula berputik.

Bagi dirinya, kerjaya di dalam tentera merupakan satu peluang untuk menjadikan minatnya sebagai suatu kemahiran.

"Sejak sekolah rendah lagi, saya memang cenderung kepada peranan kepimpinan," kata Nurin.

"Kerjaya dalam Angkatan Tentera memberi saya peluang untuk membangunkan minat tersebut menjadi kemahiran profesional," katanya lagi.

Ini yang mendorongnya untuk membuat keputusan besar dalam hidupnya pada usia hanya 17 tahun - iaitu menyertai Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) sebagai Polis Tentera.

Beliau juga mendapat inspirasi daripada ayahnya, seorang Sarjan Mejar Rejimen (RSM) dalam Pancaragam SAF yang telah berkhidmat selama lebih 40 tahun.

Sejak kecil, SCT Nurin sering mengiringi ayahnya ke pelbagai acara seperti Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) dan Hari Keluarga.

"Dia menunjukkan kepada saya betapa rapatnya hubungan beliau dengan rakan sekerja, terutamanya dengan anggota di bawah seliaannya. Semua orang sangat menghormatinya," kongsi Nurin.

"Setiap kali mana-mana anggota atau rakan sekerjanya bercakap dengan saya, mereka akan berkata, ‘Ayah awak legenda’, ‘Dia seorang yang baik’, atau ‘Dia bos yang bagus’. Setiap kali saya mendengar kata‑kata itu, ia membuatkan saya sedar bahawa ayah saya seorang pemimpin yang menginspirasikan dan penuh empati," tambahnya.

SATU-SATUNYA PELATIH WANITA DALAM MPSCC

Untuk meneruskan legasi bapanya sebagai seorang pemimpin dalam SAF, SCT Nurin mengambil keputusan untuk mengikuti Kursus Kadet Pakar Polis Tentera (MPSCC).

Beliau juga merupakan satu-satunya pegawai wanita dalam kursus tersebut.

"Saya membuat keputusan untuk menyertai Sekolah Komand kerana saya mahu mencabar diri sendiri dan memikul tanggungjawab yang lebih besar," kata SCT Nurin.

"Sepanjang latihan, saya menyedari bahawa saya suka menyokong orang lain, mengambil inisiatif serta menjadi contoh kepada rakan-rakan saya. Sekolah Komand memberi saya peluang untuk berkembang sebagai pemimpin dan menyumbang dengan lebih bermakna kepada pasukan serta organisasi," tambahnya.

Melalui kursus itu, beliau mempelajari pelbagai nilai penting yang membentuk diri dan kepimpinannya.

"Pengalaman ini mengajar saya disiplin, ketabahan, kerja berpasukan dan empati. Saya belajar mengurus tekanan, melangkaui batas diri dan kekal fokus walaupun dalam situasi yang sukar," jelasnya.

"Saya juga memperoleh penghargaan yang lebih mendalam terhadap kerja berpasukan, bahawa kejayaan tidak dicapai secara bersendirian, dan sokongan sesama rakanlah yang menggerakkan pasukan ke hadapan," tambah beliau.
Related article image
Nurin bersama ibu bapanya. (Gambar: MINDEF)
PENERIMA ANUGERAH BAYONET EMAS

Sebagai satu-satunya pelatih wanita di MPSCC, SCT Nurin tidak merasakan cabaran yang berbeza atau unik.

Namun begitu, pengalaman memimpin rakan sekelas sendiri merupakan antara ujian yang paling besar buatnya.

"Bagi saya, cabaran terbesar ialah apabila saya dilantik memegang jawatan kepimpinan dalam kalangan rakan sekelas saya sendiri," kongsi SCT Nurin.

"Namun, lama‑kelamaan saya mula berkawan dengan mereka, mengenali mereka dengan lebih rapat, dan membina hubungan baik dengan mereka. Melalui hubungan itu, mereka mula mempercayai saya untuk memimpin mereka," katanya.

Melangkah ke hadapan, SCT Nurin berazam untuk terus memperkukuhkan kemahiran kepimpinannya, sambil membimbing dan menyokong orang lain.

Beliau ingin mewujudkan persekitaran yang positif dan inklusif, di mana setiap anggota berasa dihargai serta mampu memberi yang terbaik, walaupun dalam keadaan mencabar.

SCT Nurin telah membuktikan kebolehannya dan diiktiraf dengan Anugerah Bayonet Emas di Perbarisan Tamat Kursus Kadet Pakar baru-baru ini (24 Nov).

Beliau merupakan antara 988 anggota daripada MINDEF dan Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) yang diberi pengiktirafan atas prestasi cemerlang serta dedikasi terhadap tugas dan khidmat kepada negara tahun ini.
 
Sumber : BERITA Mediacorp/hd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita