Skip to main content

Singapura

Satu maut, beberapa cedera nahas kereta dan bas di Yishun

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 14 Jan 2023 11:31AM Dikemas Kini : 14 Jan 2023 09:00PM
SINGAPURA: Seorang pemandu kereta maut selepas kemalangan dengan sebuah bas di persimpangan Yishun Avenue 2 dan Yishun Central pada Jumaat (13 Jan) malam.

Polis memberitahu Mediacorp bahawa pihaknya dimaklumkan mengenai kemalangan yang melibatkan sebuah bas dan sebuah kereta di sepanjang Yishun Avenue 2, menghala ke persimpangan Canberra dan Yishun Avenue 3 pada pukul 10.51 malam.

Seorang lelaki ditemui terperangkap di tempat duduk pemandu sebuah kereta, menurut Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF).

SCDF menyelamatkan lelaki itu menggunakan peralatan penyelamat hidraulik dan menghantar tujuh orang ke Hospital Khoo Teck Puat, tambahnya.

"Seorang pemandu kereta lelaki berusia 32 tahun dihantar dalam keadaan tidak sedarkan diri ke hospital, di mana beliau kemudian meninggal dunia,” menurut polis, sambil menambah bahawa enam penumpang bas berusia antara 22 dengan 40 tahun dalam keadaan sedar ketika dibawa ke hospital.

Siasatan polis sedang dijalankan.

Menjawab pertanyaan Mediacorp, SBS Transit menyatakan bahawa perkhidmatan bas 117 bergerak "dengan lampu hijau memihak kepadanya" di persimpangan Yishun Avenue 2 dan Yishun Avenue 3 apabila ia "tiba-tiba dilanggar di bahagian tengah sebelah kanan oleh kereta privet".

"Pemandu bas kami tidak cedera tetapi malangnya tujuh penumpang dibawa ke hospital untuk dirawat," tambahnya.

"Kami sudah menghubungi enam daripada mereka, yang menerima rawatan pesakit luar, untuk menzahirkan keprihatinan kami dan memberikan bantuan sebaik mungkin.

"Kami masih cuba menghubungi penumpang terakhir. Sementara itu, kami berharap mereka cepat sembuh."
Sumber : CNA/HY/hy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita