Satu lagi kumpulan sembang Telegram disiasat; SharingIsCaring sebar 5,000 bahan lucah
Polis sedang menyiasat satu lagi kumpulan sembang Telegram yang para anggotanya disyaki mengongsi gambar-gambar lucah perempuan dan wanita tanpa keizinan mereka.

Gambar hiasan. (Gambar: REUTERS)
SINGAPURA: Polis sedang menyiasat satu lagi kumpulan sembang Telegram yang para anggotanya disyaki mengongsi gambar-gambar lucah perempuan dan wanita tanpa keizinan mereka.
Ia diumumkan seminggu selepas empat lelaki dihadapkan ke mahkamah Selasa lalu (15 Okt) atas tuduhan mengendalikan sebuah kumpulan sembang serupa di Telegram yang dikenali sebagai "SG Nasi Lemak" dengan 40,000 anggota.
Kumpulan sembang terbaru ini pula diberi nama "SharingIsCaring".
Menurut laporan AsiaOne minggu lalu, SharingIsCaring adalah sebuah kumpulan sembang tertutup dan seseorang hanya boleh menyertai kumpulan itu jika diundang oleh anggota sedia ada. Kumpulan tersebut dipercayai mempunyai lebih 100 anggota.
Ketika laporan itu diterbitkan, kumpulan berkenaan baru ditubuhkan kurang sebulan tetapi anggotanya sudahpun mengongsi sekitar 5,000 gambar dan video.
Kumpulan itu sudah tidak lagi boleh dikesan di Telegram.
Selain gambar-gambar lucah, para anggota kumpulan tersebut juga mengongsi gambar pelajar-pelajar perempuan dalam pengangkutan awam, lapor AsiaOne.
Polis memberitahu Mediacorp hari ini (21 Okt) bahawa pihaknya maklum tentang kumpulan tersebut dan sedang menyiasat perkara berkenaan.
Menurut pihak polis, perbuatan menyebar bahan-bahan lucah adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 292 dalam Kanun Jenayah.
"Orang ramai dinasihati supaya jangan menyertai platform-platform online yang menyebarkan bahan-bahan lucah dan juga kumpulan-kumpulan sembang haram. Polis memandang serius terhadap sesiapa sahaja yang terjebak dalam kegiatan-kegiatan jenayah dan akan bertindak tegas terhadap mereka yang melanggar undang-undang," menurut kenyataan itu.
Individu yang menyebarkan bahan-bahan lucah boleh dijel sehingga tiga bulan, didenda atau kedua-duanya.
Sesiapa yang mempunyai maklumat tentang kumpulan sembang itu diminta menghubungi polis di talian 1800-255-0000 atau kirimkan maklumat tersebut secara online di http://www.police.gov.sg/iwitness. Kesemua maklumat akan dirahsiakan.
Laporan berkatian: Parodi kumpulan sembang 'SG Nasi Lemak' kongsi gambar juadah 'menggiurkan'
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.