Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Satu lagi kejadian kencing di tempat awam; lelaki ditangkap di stesen MRT Potong Pasir

Anggaran Waktu Membaca:
 Satu lagi kejadian kencing di tempat awam; lelaki ditangkap di stesen MRT Potong Pasir

Gambar salah satu pintu masuk di stesen MRT Potong Pasir. (Google Maps)

Diterbitkan : 15 Jan 2025 12:05AM Dikemas Kini : 15 Jan 2025 12:13AM
SINGAPURA: Seorang lelaki berusia 57 tahun ditangkap atas kesalahan menyebabkan gangguan awam selepas dia didakwa dilihat membuang air kecil di stesen MRT Potong Pasir pada Isnin (13 Jan), menjadikannya kes ketiga seumpama itu dalam tempoh kurang seminggu.

Insiden terbaharu itu berlaku pada kira-kira jam 7.25 malam, menurut jurucakap SBS Transit Grace Wu kepada Mediacorp pada Selasa.

Salah seorang kakitangan pengendali pengangkutan di stesen di Laluan Timur Laut itu mendapati seseorang sedang membuang air kecil berhampiran pusat perkhidmatan penumpang, kata Cik Wu.

Anggota kakitangan itu menghubungi polis untuk mendapatkan bantuan dan lelaki itu kemudiannya meninggalkan stesen tersebut bersama pegawai polis, tambahnya.

Kawasan yang terjejas segera dibersihkan, dan syarikat itu membantu polis dalam siasatan mereka.

Menjawab pertanyaan Mediacorp, polis berkata mereka menerima panggilan meminta bantuan pada kira-kira jam 7.30 malam di stesen MRT Potong Pasir, di mana seorang lelaki dikatakan dilihat membuang air kecil di tempat awam.

“Lelaki berusia 57 tahun itu kemudiannya ditangkap atas kesalahan menyebabkan gangguan awam dan akan didakwa di mahkamah pada 15 Jan,” kata polis.

"Kami ingin mengingatkan penumpang bahawa tingkah laku anti-sosial seperti itu tidak boleh diterima kerana ia menimbulkan kebimbangan kesihatan dan kebersihan kepada penumpang dan pekerja kami," kata Cik Wu.

"Kami tidak akan teragak-agak untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk mendesak hukuman pencegahan yang lebih tegas."

Kejadian itu berlaku hanya tiga hari selepas seorang warga China berusia 41 tahun membuang air kecil di pemegang tangga bergerak di stesen MRT Outram Park.

Beberapa orang awam melihat dan merakam aksi Li Guorui pada 10 Jan itu.

Li telah dikenakan denda maksimum S$2,000 selepas dia mengaku bersalah pada Selasa atas satu pertuduhan melakukan gangguan awam yang menyebabkan kegusaran.

INSIDEN DI MRT TANAH MERAH

Lelaki ketiga juga sedang disiasat selepas dia dirakam membuang air kecil di stesen MRT Tanah Merah.

Video tidak bertarikh itu, yang disiarkan di Instagram pada Isnin, menunjukkan seorang lelaki berbaju merah berdiri di sudut platform stesen MRT.

Dia kelihatan menarik zip seluarnya sebelum melihat keadaan sekeliling dan berlari keluar.

Presiden SMRT Trains Lam Sheau Kai mengesahkan kepada Mediacorp pada Selasa bahawa kejadian itu berlaku di stesen MRT Tanah Merah.

"Tingkah laku sedemikian tidak boleh diterima, kerana ia merosakkan ruang awam dan menimbulkan risiko kesihatan dan kebersihani kepada penumpang," katanya kepada Mediacorp.

Polis mengesahkan bahawa laporan telah dibuat dan siasatan sedang dijalankan.
Sumber : CNA/SU/su
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan