SATS mohon maaf selepas tular video bagasi dikendali dengan kasar di Lapangan Terbang Changi
Petikan skrin video menunjukkan seorang krew perkhidmatan SATS dilihat membaling bagasi ke atas tali sawat di Terminal 2 Lapangan Terbang Changi pada 23 April 2026. (Gambar: Instagram/ericzhyoong)
- SATS memohon maaf selepas video tular menunjukkan kakitangannya membaling bagasi di Terminal 2, Lapangan Terbang Changi.
- Insiden berlaku pada 23 April sekitar 5.15 petang dan dirakam oleh Eric Yoong, yang memuat naik video ke Instagram.
- SATS menjelaskan beg tersebut perlu dipindahkan segera selepas penerbangan asal dibatalkan kerana masalah teknikal, dan proses itu dirakam dalam video.
- Kakitangan terlibat telah diberi kaunseling, dan SATS menekankan kepentingan pengendalian bagasi yang betul walaupun dalam keadaan tertekan.
"Tingkah laku dalam video tersebut tidak mencerminkan piawaian perkhidmatan kami atau cara pengendalian bagasi yang kami harapkan," menurut SATS dalam satu kenyataan pada Selasa (28 April).
"Kami memohon maaf atas kejadian ini."
Dalam video Instagram yang dimuat naik oleh pengguna Eric Yoong, seorang kakitangan SATS dilihat mencampak beg-beg ke atas tali sawat.
"Saya rasa itu bukan cara yang betul bagi seorang pegawai bagasi mengendalikan beg yang tidak dituntut - dengan membalingnya semula ke tali sawat daripada meletakkannya dengan baik atau mengetepikannya," tulis beliau dalam catatan tersebut.
Menurut individu yang merakam video tersebut, kejadian itu berlaku pada 23 April sekitar pukul 5.15 petang di Terminal 2 Lapangan Terbang Changi.
SATS menjelaskan bahawa bagasi tersebut asalnya didaftarkan untuk penerbangan pagi hari itu, namun penerbangan berkenaan dibatalkan atas masalah teknikal pesawat.
Penumpang sudah dipindahkan ke penerbangan lain pada hari yang sama atau keesokannya, dan beg mereka dikeluarkan sementara dari tali sawat ketibaan untuk disimpan.
"Apabila penerbangan baharu disahkan, kakitangan kami memindahkan semula beg-beg ini ke tali sawat untuk dihantar ke kawasan pengendalian bagasi bagi pemeriksaan keselamatan sebelum dimuatkan ke dalam pesawat," jelas SATS.
"Proses pemindahan ini perlu dilakukan dalam tempoh yang singkat supaya penumpang sempat menaiki penerbangan baharu mereka. Video itu merakam sebahagian daripada proses tersebut."
SATS menyatakan mereka sudah memberi kaunseling kepada kakitangan terbabit dan menekankan pentingnya mengendalikan beg dengan cara yang betul pada setiap masa, walaupun dalam keadaan tertekan.
"Kami juga sudah mengingatkan pasukan kami supaya meminta bantuan jika memerlukan tenaga kerja tambahan agar piawaian perkhidmatan sentiasa terjaga," tambahnya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.