Skip to main content

Singapura

SATS labur lebih S$250j untuk pertingkat operasi kendali kargo di Changi

Syarikat pengendalian lapangan terbang SATS akan melabur lebih S$250 juta untuk menaik taraf peralatan dan keupayaan mengendalikan kargo di Lapangan Terbang Changi.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 15 May 2025 07:39PM Dikemas Kini : 15 May 2025 11:05PM
SINGAPURA: Syarikat pengendalian lapangan terbang SATS akan melabur lebih S$250 juta untuk menaik taraf peralatan dan keupayaan mengendalikan kargo di Lapangan Terbang Changi.

Pengumuman SATS itu dibuat pada Khamis (15 Mei), menyusuli majlis pecah tanah Terminal 5 Lapangan Terbang Changi pada Rabu (14 Mei).

Terminal 5 dijangka dapat menampung sekitar 50 juta penumpang dalam setahun apabila ia dibuka secara berperingkat mulai pertengahan tahun 2030-an.

Pelaburan itu menyokong divisyen Hab Singapura (SG Hub) SATS, yang menguruskan operasi lapangan di lapangan terbang Changi dan Seletar termasuk pengendalian kargo dan penumpang.

OPERASI PENERBANGAN 'MASA HADAPAN'

Lebih S$150 juta diperuntukkan untuk mempertingkatkan peralatan sokongan lapangan sepanjang tempoh lima tahun akan datang, menurut SATS.

Ini termasuk memperbaharui dan mengubah suai lebih 500 kenderaan dan peralatan komersial, atau sekitar 40 peratus daripada kenderaan SG Hub.

Lagi 100 unit baharu akan ditambah bagi menyokong perkembangan perniagaan.

Peralatan itu termasuk kapal tunda kapal terbang yang digunakan untuk menunda atau menolak pesawat dari pintu pelepasan dan pemuat dek utama bagi memunggah palet kargo dari lapangan ke dek kargo.

Peningkatan keselamatan juga akan dilaksanakan untuk mempertingkatkan sistem pencegahan kerosakan pesawat.

Selain itu, SATS menyasarkan untuk melengkapkan 55 peratus kenderaannya dengan kuasa elektrik menjelang FY2030 - berbanding 35 peratus kini.

Bagi menangani peningkatan dalam jumlah kargo, S$100 juta akan dilabur untuk mempertingkatkan operasi kargo sepanjang tempoh dua tahun akan datang.

Usaha penambahbaikan secara berperingkat itu yang akan bermula pada pertengahan tahun ini, akan menyatukan operasi import, eksport dan pemindahan Singapore Airlines di bawah satu kemudahan.

Kapasiti pengendalian pada hari tersibuk juga akan meningkat lebih 50 peratus daripada 1,750 tan kepada 3,150 tan.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SG Hub SATS, Henry Low berkata pelaburan berjuta-juta dolar itu akan “mempersiapkan operasi pengendalian lapangan dan kargo penerbangan Singapura untuk masa hadapan”.

“Walaupun Terminal 5 Lapangan Terbang Changi hanya akan dibuka dalam masa sekitar 10 tahun lagi, SATS sudah mula membuat persiapan secara meluas bagi memenuhi keperluan operasi pada masa akan datang,” katanya.

Beliau menambah, kerja-kerja naik taraf itu akan membantu SATS menghulurkan sokongan lebih berkesan kepada pelanggan penerbangan dan memastikan Singapura terus "cemerlang sebagai hab penerbangan bertaraf dunia".

Kerja-kerja naik taraf itu, tambah beliau, akan membantu syarikat tersebut untuk menyokong pelanggan syarikat penerbangan dengan lebih berkesan dan memastikan Singapura terus “cemerlang sebagai hab udara terkemuka di dunia".
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita