SATS beri jaminan utamakan keselamatan, piawai mutu makanan susuli kes SOTA
Syarikat katering makanan SATS memberi jaminan bahawa ia mengutamakan keselamatan dan piawai mutu makanan bagi hidangan siap makan yang disediakannya.
Hidangan siap makan oleh SATS, yang tidak perlu disimpan dalam peti sejuk dan dapat dihidangkan pada suhu bilik tanpa perlu dipanaskan semula. (Gambar: CNA/Mak Jia Kee)
Demikian menurut SATS dalam kenyataan media pada Khamis (20 Feb).
Menurut SATS, setiap bahan makanan boleh dikesan melalui sumbernya dan para pembekal menjalani pemeriksaan audit yang ketat.
Ia menambah setiap proses dari peringkat persiapan hingga ke pemeriksaan akhir diselia oleh kumpulan jaminan mutu SATS.
"Kemudahan kami memenuhi piawai pensijilan keselamatan makanan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa, mencerminkan komitmen kami mematuhi piawai terbaik industri," menurut SATS.
Pada Rabu (19 Feb), 20 penuntut Sekolah Seni (SOTA) mengalami gejala keracunan makanan selepas memakan hidangan siap makan yang diagihkan sebagai sebahagian daripada Latihan Pertahanan Mutlak.
Menurut SATS, ia menghantar 1,475 hidangan kepada SOTA dan lebih 100,000 hidangan kepada lebih 200 lokasi sebagai sebahagian daripada latihan itu sejak 11 Februari.
Tiada kejadian lain dilaporkan sejauh ini, menurut SATS.
"Kami sedang bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan (MOE), Kementerian Kesihatan (MOH) dan Agensi Makanan Singapura (SFA) untuk mengenal pasti punca yang menyebabkan kes itu berlaku.
"Siasatan menyeluruh akan dijalankan termasuk pemeriksaan produk-produk kami, tempat pengeluaran, dan bahan-bahan makanan lain serta pertimbangan terhadap beberapa faktor seperti persekitaran sekeliling," menurut SATS.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.