Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

SATS bahagikan perniagaan khidmat pengurusan landasan kepada unit SG dan Asia Pasifik

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 10 Jul 2024 04:53PM Dikemas Kini : 10 Jul 2024 09:44PM
SINGAPURA: SATS membahagikan perniagaan khidmat pengurusannya di landasan kapal terbang kepada dua unit berbeza dalam usaha merancakkan lagi pengembangan syarikat itu.

Menerusi satu kenyataan media pada Rabu (10 Jul), syarikat berpangkalan di Singapura itu menjelaskan bahawa pihaknya menyusun semula perniagaan Khidmat Gerbang untuk membentuk dua unit baharu: Hab Singapura dan Khidmat Gerbang Asia Pasifik.

Hab Singapura akan menumpukan perhatian kepada usaha menjadikan hab penerbangan Singapura lebih berdaya saing.

Khidmat Gerbang Asia Pasifik pula akan fokus kepada pengurusan operasi di lapangan terbang luar negara agar SATS dapat mengembangkan lagi bahagian pasarannya di Asia Pasifik.

Ketua Operasi SATS Henry Low akan dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Hab Singapura.

Sementara itu, CEO sedia ada Khidmat Gerbang, Bob Chi, akan dilantik semula sebagai CEO Khidmat Gerbang Asia Pasifik.

Kedua-dua pelantikan itu akan berkuat kuasa dari 1 Oktober.

SATS adalah penyedia khidmat pengurusan kargo udara terbesar di dunia. Ia juga menyediakan beberapa khidmat lain.

Bercakap semasa sidang media pada Rabu (10 Jul), Encik Chi berkata keutamaannya adalah untuk mengembangkan jejak unit berkenaan.

Buat masa ini, unit tersebut sudahpun bertapak di 44 lokasi di lapan negara rantau Asia Pasifik.

Mengenai bagaimana penyusunan semula akan menjejas pekerjaan sedia ada, CEO SATS Kerry Mok, pula menjelaskan bahawa syarikat itu masih mengambil pekerja "secara agresif".

Tiada pemberhentian pekerja dijalankan, tambah beliau.

"Sebahagian daripada penyusunan semula ini adalah untuk membolehkan kita memanfaatkan kepakaran tenaga kerja sedia ada di sini," terang Encik Mok.

Dalam laporan kewangan terbaharunya yang dikeluarkan pada Mei, SATS melaporkan pendapatannya adalah S$64.1 juta bagi tempoh enam bulan yang berakhir pada 31 Mac.

Perangkaan itu 10 kali lebih tinggi daripada S$6 juta yang dicatatkan pada separuh kedua Tahun Kewangan 2023.

Dalam tempoh yang sama, pendapatan naik lebih seganda dari S$953.8 juta kepada S$2.7 bilion.

Perkembangan ini dipercayai dirangsang oleh pemulihan dalam sektor penerbangan pospandemik, mahupun pemerolehan penyedia logistik kargo udara, Worldwide Flight Services (WFS) oleh syarikat itu pada tahun lalu.
Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan