Satria Sukma harumkan nama Politeknik Ngee Ann muncul juara Piala Suara Serumpun 2019
Irama muzik lagu-lagu dikir barat bergema di Pusat Konvesyen Tay Eng Soon di Kolej Tengah ITE pada Sabtu (5 Okt).
SINGAPURA: Irama muzik lagu-lagu dikir barat bergema di Pusat Konvesyen Tay Eng Soon di Kolej Tengah ITE pada Sabtu (5 Okt).
Institut Pendidikan Teknikal (ITE) di Ang Mo Kio itu menjadi tuan rumah pertandingan dikir barat Piala Suara Serumpun 2019, di mana 18 kumpulan dari ITE, politeknik dan universiti beradu kehebatan mereka pentas kemuncak pertandingan tersebut.
Setelah sehari bertanding, gelaran johan bagi pertandingan bertemakan Anyam milik kumpulan Satria Sukma dari Politeknik Ngee Ann.
Menurut penganjurnya, kumpulan dikir barat Andika Kencana, acara itu yang diadakan sejak tahun 2008 bertujuan menyediakan wadah bagi golongan belia untuk menyalurkan tenaga mereka ke arah kegiatan yang lebih positif.
Acara sedemikian juga diharap dapat memupuk semangat silatrurrahim dan menjalin keakraban dalam kalangan belia.
Acara hari ini disokong Jawatankuasa Pembelajaran dan Penggalakan Penggunaan Bahasa Melayu (MLLPC), pergerakan BAPA Sepanjang Hayat serta kempen Dadah itu Haram.
Antara yang turun padang untuk menyerikan acara itu ialah Setiausaha Parlimen Kanan, Ehwal Dalam Negeri merangkap Kesihatan Encik Amrin Amin serta selebriti popular dan duta kempen Dadah itu Haram, Aaron Aziz.
PENINGKATAN KEPADA MUTU PENULISAN SENIKATA TAHUN INI
Selain mutu persembahan, penguasaan bahasa dari segi karangan lagu dan seni kata turut menjadi aspek penting yang dinilai pengadil.
Menurut salah seorang pengadil, Encik R Azmann: "Kita dapat lihat perbezaan antara penulis baru dengan penulis lama mungkin dari sudut kupasan, ada yang melihat tema itu dari sudut makna yang harafiah.Tetapi mungkin penulis yang lebih mapan akan cuba melihat daripada sudut dan perspektif yang berbeza."
Para pengadil turut memuji kekuatan beberapa penulis baru tahun ini yang dianggap setaraf dengan para penulis mapan. Namun, ruang untuk perbaiki penulisan mereka masih luas terbuka.
"Untuk mempertajamkan lagi penulisan mereka, mereka harus banyak menimba ilmu daripada penulis-penulis yang lebih mapan ataupun dari karya-karya yang sedia ada," ujar Encik Azmann.
Senarai Pemenang:
Johan Keseluruhan: Satria Sukma (Politeknik Ngee Ann)
Kategori Wanita
Johan: Nira Nyertika (Politeknik Temasek)
Naib Johan: Endang Ratiana (Politeknik Republic)
Tempat Ketiga: Dewi Kalista (Politeknik Nanyang)
Kategori Lelaki
Johan: Satria Sukma (Politeknik Ngee Ann)
Naib Johan: Betara Karisma (Politeknik Nanyang)
Tempat Ketiga: Ardi Arjuna (Kolej Tengah ITE)
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.