Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Satelit Galassia-2 binaan pelajar NUS dilancar ke angkasa lepas

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Sebuah satelit kecil angkasa lepas atau ' Nanosatellite' yang dibina oleh pelajar pelbagai disiplin dari Kolej Reka Bentuk dan Kejuteraan (CDE) Universiti Nasional Singapura (NUS) berjaya dilancarkan ke angkasa dari Pusat Angkasa Satish Dhawan dekat Chennai di selatan India, menurut satu kenyataan NUS pada Ahad (30 Jul).

Galassia-2 berlepas pada 9.00 pagi (waktu tempatan) Ahad, menggunakan Kenderaan Pelancaran Satelit Polar (PLSV) Pertubuhan Penyelidikan Angkasa Lepas India (ISRO).

"Kejayaan pelancaran dan penggunaan Galassia-2 menunjukkan peranan utama CDE dalam melatih jurutera angkasa lepas generasi akan datang di Singapura," kata Profesor Teo Kie Leong, Pemangku Dekan CDE.
(Gambar: NUS)
Dilengkapi dengan kamera berbilang spektrum, Galassia-2 akan digunakan untuk mengesan perubahan pertanian dan alam sekitar.
(Gambar: NUS)
Projek itu disokong oleh Pusat Reka Bentuk dan Inovasi Kejuruteraan (EDIC), Pusat Teknologi Dan Penyelidikan Satelit (STAR) dan Pusat Pengimejan Jauh, Penderiaan dan Pemprosesan (CRISP) di NUS.

Galassia-2 dilancarkan bersama enam lagi satelit Singapura termasuk DS-SAR iaitu satelit pemerhatian bumi pengimejan radar seberat 352 kilogram.

Ia dibangunkan melalui kerjasama antara Agensi Sains dan Teknologi Pertahanan Singapura serta Kejuruteraan ST.

Selepas beroperasi, ia akan menyokong keperluan imej satelit pelbagai agensi pemerintah Singapura.

Semua tujuh satelit berjaya disasarkan ke orbitnya kurang daripada 24 minit selepas berlepas, diiringi oleh tepukan dari galeri tontonan awam.

Misi itu menyusuli PSLV-C55 pada April, yang berjaya melancarkan dua lagi satelit Singapura.

Sebanyak 20 satelit Singapura setakat ini dilancarkan oleh India, termasuk yang dihantar semalam.

Awal tahun ini satu lagi satelit NUS, Lumelite-4 yang dibina oleh penyelidik di Pusat STAR NUS, juga dilancarkan ke orbit menggunakan roket PSLV dari pusat angkasa yang sama di selatan India.

 
Sumber : AGENCIES/SU/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan