Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Sasterawan mapan Suratman Markasan meninggal dunia pada usia 93 tahun

Anggaran Waktu Membaca:
Sasterawan mapan Suratman Markasan meninggal dunia pada usia 93 tahun

Sasterawan mapan Cikgu Suratman Markasan meninggal dunia pada 27 Feb 2024.

SINGAPURA: Sasterawan mapan Suratman Markasan meninggal dunia pada awal pagi Selasa (27 Feb). Beliau berusia 93 tahun.

Khabar tentang pemergiannya dikongsi ramai di media sosial yang mengenalinya, termasuk penulis Kamaria Buang. Sumbernya pula dikatakan adalah daripada anak Allahyarham sendiri, Dr Suriani Suratman.

BERITA Mediacorp turut mendapatkan pengesahan daripada pustakawan Lembaga Perpustakaan Negara (NLB), Herman Rothman. Beliau sebelum ini bekerja rapat dengan Allahyarham bagi Kelab Membaca Ilham Pustaka NLB sejak 2017.

Jenazah Allahyarham bertolak dari Blk 809A Choa Chu Kang Ave 1 untuk dibawa ke pusara pada sekitar jam 10.15 pagi.

Cikgu Suratman dikatakan sudah lama sakit dan keluar masuk hospital. Wawancara terakhir beliau bersama media, iaitu Detik Personaliti, bahkan sempat ditangguhkan beberapa kali kerana keadaan kesihatannya yang tidak mengizinkan.
Masalah gout yang dialami juga menyukarkannya untuk bergerak sendiri, terutama sekali sejak tahun lalu.

SEKILAS SUMBANGAN CIKGU SURATMAN MARKASAN

Allahyarham sememangnya salah satu penyair dan penulis novel yang disegani di Singapura.

Kerjaya beliau dalam bidang sastera bermula sejak awal 1950-an. Banyak pengiktirafan yang diterima beliau termasuk Pingat Budaya Singapura, Anugerah Sasterawan Mastera dan Hadiah Kesusasteraan Singapura.

Kebanyakan karya Cikgu Suratman bertemakan kehidupan di kota Singa mahupun keprihatinan masyarakat Melayu tempatan.

Beliau malah menyisipkan pelbagai kritikan yang berlandaskan pengamatannya mengenai kesan perubahan sosial, budaya dan politik pada masyarakat Melayu.

Satu lagi tema yang sering diterapkan dalam penulisannya berkait dengan agama dan kehidupan moden. Beliau percaya pegangan agama dan etika sangat penting agar seseorang itu terus dipandu nilai-nilai moral.

Sejumlah sajaknya pula menyentuh tentang cinta, dengan ada daripadanya ditujukan khas buat isterinya, Allahyarhamah Saerah Taris.
Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan