Skip to main content

Singapura

Sastera, budaya sama penting demi kelangsungan identiti dan nilai yang diwarisi: Zhulkarnain

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 16 Aug 2026 07:31PM Dikemas Kini : 09 Sep 2026 08:08PM
SINGAPURA: Sastera dan budaya perlu bergerak seiring demi memastikan identiti serta nilai-nilai yang diwarisi masyarakat Melayu terus terpelihara.

Perkara ini ditekankan Pengerusi Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS) Zhulkarnain Abdul Rahim pada Sabtu (15 Ogos) ketika menyampaikan ucapan dalam satu majlis sempena Hari Mastera.

Majlis yang dianjurkan di Auditorium Taman Warisan Melayu itu meraikan perkembangan kesusasteraan Melayu, selain mengiktiraf usaha Mastera yang dijalankan sejak 1995.

Tema yang diangkat tahun ini pula adalah "Kesusasteraan Memimpin, Kebudayaan Terjamin".

"Tanpa kesusasteraan, kebudayaan akan tempang. Tanpa kebudayaan, pastilah kesusasteraan menjadi pincang. Maka membangun kesusasteraan adalah kerja membangun kebudayaan," tegas Encik Zhulkarnain yang juga merupakan Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri merangkap Ehwal Luar.

"Kedua-duanya harus memimpin dan menjamin. Memimpin arah tuju masyarakat dan menjamin kelangsungan identiti serta nilai-nilai yang kita warisi bersama," tambahnya.
Related article image
Encik Zhulkarnain Abdul Rahim memberi ucapan pada Hari Mastera 2026. (Gambar: BERITA Mediacorp/Athirah Karim)

Encik Zhulkarnain selanjutnya menarik perhatian bahawa prinsip tersebut menjadi pegangan MBMS dalam setiap usaha yang dijalankan.

"Kami percaya bahawa sastera Melayu di Singapura bukan bukan sekadar warisan yang perlu dipelihara tetapi juga ianya kekuatan yang perlu terus dipupuk dan digerakkan ke hadapan," kata beliau.

10 SAHABAT SASTERA DILANTIK

Majlis yang diadakan pada Sabtu (15 Ogos) turut menyaksikan pelantikan 10 Sahabat Sastera baharu.

Pelantikan tersebut memberi peluang kepada mereka untuk menyumbang kepakaran dan tenaga dalam acara-acara kesusasteraan.

Jumlah individu yang dilantik kali ini lebih tinggi berbanding pelantikan sebelumnya pada 2024. Tiada pelantikan diadakan pada tahun lalu ketika Singapura menjadi tuan rumah Mastera.

"Kebetulan lebih banyak kita lihat kepakaran anak-anak muda ini... bakat mereka itu yang telah kita kenal pasti bersesuaian dengan perancangan kita," ulas Timbalan Pengerusi MBMS Dr Azhar Ibrahim Alwee yang turut berkongsi antara rancangan yang akan melibatkan para Sahabat Sastera.
Related article image
Timbalan Pengerusi MBMS merangkap Pengerusi Mastera, Dr Azhar Ibrahim Alwee (Gambar: BERITA Mediacorp/Athirah Karim)

"Insya-Allah mereka akan sama-sama menjayakan Anugerah Persuratan pada hujung tahun dan juga beberapa penyelidikan yang kita mahu gerakkan untuk menyambut 100 tahun Masuri S.N. pada tahun depan. (Ini) selain mempersiapkan mereka untuk Mastera di negara tetangga," kongsi Dr Azhar lagi.

Setiap tahun, negara-negara anggota Majlis Sastera Asia Tenggara (Mastera), iaitu Singapura, Malaysia, Indonesia dan Brunei Darussalam, akan menyambut Hari Mastera masing-masing sebagai pembuka tirai kepada kegiatan Mastera.

Tahun ini, Mastera akan berlangsung di Sarawak, Malaysia pada bulan September.

HARAPAN SAHABAT SASTERA 2026

Antara Sahabat Sastera yang dilantik tahun ini ialah Habeebullah Basha S/O Jafar Sathik Basha.

Related article image
Habeebullah Basha S/O Jafar Sathik Basha (Gambar: BERITA Mediacorp/Athirah Karim)
Menerusi pelantikan tersebut, guru Sekolah Menengah St. Gabriel's itu berharap dapat memberi semangat kepada golongan muda, termasuk anak-anak muridnya, untuk melibatkan diri dalam bidang sastera.

"Saya rasa generasi kini kurang melibatkan diri mereka dalam bidang sastera dan saya rasa ini sesuatu yang sangat penting sebagai seorang Sahabat Sastera untuk memberi semangat dan mengingatkan generasi muda bahawa sastera bukan sahaja sesuatu yang dipaksa untuk dilakukan ataupun dipelajari di sekolah sahaja," jawab Encik Habeebullah ketika ditanya BERITA Mediacorp tentang bagaimana beliau ingin menyumbang tenaga selaku Sahabat Sastera.

"Saya harap saya dapat ilham ataupun idea-idea untuk menjalankan amanah saya sebagai Sahabat Sastera agar saya dapat terus menyumbang kepada masyarakat," katanya lagi.

Seorang lagi Sahabat Sastera yang dilantik ialah penuntut kursus Bahasa dan Kesusasteraan Melayu di Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS), Siti Fatimah Jamalludin.
Related article image
Siti Fatimah Jamalludin (Gambar: BERITA Mediacorp/Athirah Karim)

Cik Fatimah berharap pelantikannya dapat mendorong lebih ramai anak muda untuk menjadi pelapis kesusasteraan Melayu di Singapura.

"Saya rasa anak-anak muda seperti kami amat penting kerana kami merupakan tunjang untuk melanjutkan (dan) melaksanakan kesusasteraan dalam masyarakat Melayu, tidak kira (dari segi) bahasa, tidak kira dari segi seni teater atau dari segi lagu. Dengan cara begini, kami harap untuk memberi semangat perangsang untuk lapisan-lapisan yang lebih muda dari kami," katanya.

Beliau juga berharap dapat menjadi suara bagi golongan pelapis muda serta memberi mereka keyakinan untuk mencabar diri dalam bidang kesusasteraan Melayu.

Senarai penuh 10 Sahabat Sastera 2026:

  • Mohammad Rashikin Bin Rajah
  • Siti Fatimah Binte Jamalludin
  • Muhammad Hasif Bin Salehun
  • Purinita Danielle Justine Jay Kaur D/O Gurmit Singh
  • Habeebullah Basha S/O Jafar Sathik Basha
  • Ahmad Syatibi Bin Aziz
  • Fadhli Rusydi Bin Fadzil
  • Naufal Aiman Bin Jasni
  • Muhammad Hasyir Bin Mazharul Yusoff
  • Muhammad Nabil Naqiuddin Bin Mohammad Iskandar Naim
Sumber : BERITA Mediacorp/ak
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita