Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Sasaran S$120,000 tercapai, SimplyIslam.sg hulur bantuan kepada 400 keluarga memerlukan

Sambutan Hari Raya bagi sekitar 400 keluarga berpendapatan rendah lebih meriah di bawah inisiatif Ramadan Charity Basket, anjuran pusat pendidikan SimplyIslam.sg.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Sambutan Hari Raya bagi sekitar 400 keluarga berpendapatan rendah lebih meriah di bawah inisiatif Ramadan Charity Basket, anjuran pusat pendidikan SimplyIslam.sg.

Menurut Pengarah Operasi Akademik SimplyIslam.sg, Ustaz Muhd Salleh Abdul Aziz, edisi ke-14 acara tahunan sempena Ramadan itu mendapat sambutan luar biasa dari segi derma yang terkumpul dan penerima bantuan.

"Alhamdulillah sasaran pada tahun ini telah tercapai sebelum hari agihan barang-barang keperluan dapur di sini. Jadi kami dapat mengumpulkan sebanyak S$120,000. Jadi dana yang terkumpul pada tahun ini akan digunakan pada bulan Ramadan dan diberikan terus habis kepada mereka yang memerlukan.

"Tahun ini kami terima permohonan sebanyak 400 keluarga iaitu jumlah yang terbesar sepanjang sejarah Ramadan Charity Basket," tambah Ustaz Salleh.

S$120,000 yang berjaya dikumpulkan sebelum agihan bermula amat menggalakkan jika dibandingkan dengan pungutan tahun lepas dimana hanya S$70,000 sahaja berjaya terkumpul daripada sasaran S$100,000 yang ditetapkan untuk Ramadan 2020.

BANTUAN HABUAN DAN WANG DIHARAP BANGKIT SEMANGAT RAYA

Sekitar 120 sukarelawan berbilang usia dan agama menyertai usaha yang berlangsung selama dua hari pada 1 dan 2 Mei.

Mereka kemudian mengambil butiran keluarga yang dibantu dan barangan untuk diderma.

BERITAmediacorp difahamkan senarai nama-nama penerima bantuan diberikan oleh Kelab Masyarakat Pasir Ris East, Kelab Masyarakat Marine Parade, Persatuan Bertindak Ginjal Masyarakat Islam (MKAC) dan Tabung Amal Aidilfitri (TAA).

(Gambar: Syawal Yusoff)

Setiap keluarga penerima bantuan mendapat habuan bernilai S$100 yang dibungkus di dalam tiga beg berasingan berisi barangan keperluan dapur seperti minyak masak, kicap, biskut dan kuih raya serta beras seberat lima kilogram.

Wang berjumlah S$130 turut disertakan dan dihantar ke rumah mereka.

Anggota Parlimen GRC Pasir Ris-Punggol, Sharael Taha, yang bermula sebagai relawan projek ini, hadir sama untuk memberikan sokongan semasa pengagihan kepada 40 penghuni rumah sewa di Pasir Ris.

"Ini adalah satu kegiatan yang sangat baik bagi masyarakat kita untuk bersatu untuk menolong keluarga-keluarga kita yang berkeperluan. Saya berharap keluarga-keluarga ini dapat merasakan meriahnya Hari Raya.

"Saya berterima kasih kepada kakitangan pengurusan daripada SimplyIslam.sg untuk mengadakan aktiviti ini supaya sukarelawan-sukarelawan dapat bersama menolong keluarga-keluarga di bulan Ramadan ini," kata Encik Sharael.

Kenikmatan membantu mereka yang kurang kemampuan jelas dirasakan Encik Muhd Farhan Mashud yang mula menjadi sukarelawan sejak tahun lalu bersama ayahnya.

Pengalaman manis menghantar habuan tahun lalu mendorong bapa dua orang cahaya mata ini untuk terus berbakti.

"Ada rumah-rumah yang kami pergi ini, adalah nampak mereka ini mengharap sangat dan mereka sangat gembira apabila kami datang membawa barang yang ada dalam bakul ini. Jadi dari situ saya rasa macam saya dapat buat mereka gembira. Saya bersyukur dengan kehidupan saya dan seberapa boleh akan terus menolong lebih ramai orang," ujar Encik Farhan. 

Sumber : BERITA Mediacorp/sy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan